Friday, July 30, 2010

Nostalgia masih memekat


Tanpa semena-mena benak saya kembali menuju lawang kenang yang geli tergeliat saat jemari rindu mengetuk. Sesayap kenang yang terhimpun di kamar itu bergentayangan. Sebatian nostalgia yang memekat mulai meluluh membentuk indah.

Ninda termanggu sepi di anjung sisi rumah besar pusaka di perut kampung. Kesepian itu menyenak lebih 40 tahun lalu bila Almarhum suaminya tetiba rebah di kebun getah. Mereka sedang tekun menoreh demi sesuap rezeki. Ninda ditinggalkan dengan 10 anak untuk dibesarkan sendirian.

Nenek Itam sedang bersantaian di kaki tangga sambil melontarkan pandangan jauh ke jalan besar. Kelibatku yang samar-samar menuju ke arahnya mulai mencuri tumpuannya. Nenek Itam menggelip-ngelipkan matanya. Saat basikalku berhenti di kaki tangga anjung sisi itu barulah dia mengecam wajahku. Cucunya pulang bercuti menziarah keluarga dan sanak-saudara. Memekar kuntuman rasa di ujana kalbunya.

Senyumannya memercup dan tulus. Salam disambut mesra dan tangannya yang berkedut seribu itu kukucup sepenuh syukur. Sesungguhnya DIA Maha Mengasihi dan Maha Besar. Kerna masih meminjamkan ninda kepada kami meski kaki usianya semakin menginjak ke angka 90.

Kami berbasi basa. Seperti biasa ninda akan bergurau dan mengajukan soalan cepu emas.

“Neniek ko dah lopeh megorik,sikik la e nak masuok waktu isyak. Waang bilo la e nak menikah?” Usai menyudahkan ayat; maka berderaianlah kantung ketawa. Namun secara melucu dan nakal saya membalas usikan ninda pula,” Nenek ajo la yang kawin.”

Hahahahaha…

Setelah 17 tahun ninda ke wilayah abadi, saya masih merinduinya. Al-Fatihah untuk Ninda Itam yang teramat disayangi.

Tuesday, July 27, 2010

warkah kepada diri
















kukirimi warkah ini
kepadamu sang diri
disarati guyuran hujan iri
digabaki diksi cemburu berduri
direntap bayu cemas bersiri
namun lahar rasa terpecah ruah
terpijar oleh panahan mentari pasrah
kini langit sedar meniti realiti
saat setem berwajah waras terisi
kemas di sudut ingatan kepada-Nya pasti
yang digelar sang iman semula memimpini
warkah menujujaya ke penjuru destinasi

Ilham Ainol
PPJ Segamat
27 Julai 2010

Thursday, July 15, 2010

Lalai Tangkas Memangkas Leher Usia



Lalai tangkas memangkas leher usia yang tersisa
Pedang tajam yang tidak mengenal erti setia
Bukan mencuba mengukir takdir
atau melawan arus takdir
Cuma mahu meluas pojok fikir
Membasah dinginkan kalbu dengan zikir
Percayalah janji-Nya tidak pernah mungkir

Ilham Ainol
PPJ Segamat
15 Julai 2010

Tuesday, July 13, 2010

Berlabuh Sudah Tirai Teater TLT

para pelajar bersesak di pintu dewan ST,di luar gebar langit terkuak, titisan hujan santak membasahi bumi; di dalam pula pundak penonton bakal diguyuri titisan seni, dinginnya menyegar ke dasar hati...

batik lepas ditayang menghantar makna tirai pementasan dilabuh,dan ditandai dengan nafas tradisi yang mesti diwarisi, dimartabatkan dan diagungkan...
peran utama digalas oleh Abu Bakar dan Hana; memikul beban menyampaikan pesan dalam dialog yang lancar diucapkan; bukan dijajah atau terjajah oleh 'kuasa' cinta agung,tetapi menterjemah cinta ke laras yang paling mulia dan abadi, yakni cinta kepada-Nya,kepada bahasa dan bangsa.

 
barisan pelakon sokongan yang serasi menghulurkan sokongan dan peduli; gerak tari memekar berseri; aksi bersahaja mencuit hati; bukan sekadar berbasa-basi; sokongan padu menyimpul erat isi dan inti seni. Syabas kalian! Kami sempat menyaring sari bererti.
Pn Rahimah Muda, penulis skrip teater TLT bersedia melayani pertanyaan pelajar yang rata-rata berisi. Beliau jelas teruja dan terkesan. Syabas Pn Rahimah! Kami akan menantikan buah tanganmu tahun depan di wilayah ini...

Pn Hjh Nor Hashimah Ali,Pengarah DBPWS sudi menerima cenderahati. Tanpa sokongan dan dukungan beliau teater TLT tidak mungkin menjadi realiti. Terima kasih Pn Hjh ! Tahun depan kita berkolaborasi lagi...

Sokongan padu Tn Rusdi dari DBPWS juga telah melincirkan pengurusan teater ini. Kami seronok mendapat peluang keemasan ini, dan ia bakal menjadi pendorong untuk kami menyusun rencana untuk masa depan. Sekalung tahniah Tuan!

Tenaga penggerak teater TLT ceria bergambar. Meskipun jasad dilekiti keringat,penat pula liat melekat namun mereka puas dan berbangga kerna hasilnya cukup HEBAT!

Ahli PBM yang bertungkus lumus memastikan teater berjalan lancar. Dari mula hingga ke akhir persembahan, mereka setia melunasi amanah yang terpikul di jemala. Usaha kalian saya hargai. Percayalah, kamu semua HEBAT!

Friday, July 9, 2010

Teater "Tanah Lindungan Tuhan" 10 Julai 2010

Teater ini didatangkan khas dari Johor Bharu. Pn Rahimah Muda telah sanggup menukang skrip teater khusus buat warga UiTM dan Segamat. Ia bakal dipersembahkan oleh kumpulan teater Gerbang Unik dan akan diarahkan oleh Sdr Zambri Pangat. Ahli Persatuan Bahasa Mandarin UiTM Johor telah terpilih untuk memeriahkan lagi teater tersebut. Nini, Ain dan rakan-rakan akan berkongsi pentas Dewan Sri Temenggong untuk menterjemahkan isi teater kepada khalayak penonton. Pengalaman yang bakal ditimba nanti akan mewarnai indah kanvas hidup mereka.  Jalinan industri ini perlu dipersubur agar para pelajar dan warga UiTM dapat melebarkan sayap ke wilayah lain yang tentu sekali menyediakan pengalaman yang berbeza daripada kehidupan rutin di kampus.
Teater yang berkisar perjuangan anak bangsa memartabatkan bahasa Melayu dan budaya bangsa digarap penuh seni dan halus.  Niat penjajahan dalam apa bentuk sekalipun wajib dinyahkan dan dibanteras.
Moga persembahan yang julung-julung kali diadakan di 'rimbaraya' kampus ini akan menyemarakkan seketika tumpuan dan mauduk perbualan mereka.

Syabas kepada warga kerja PBM, UPENA Johor, HEP, DBPWS dan PPJ Segamat.

*Teater TLT akan dipersembahkan di Dewan Sri Temenggong, UiTM Johor pada
jam 8 mlm. Tiket (baki) akan dijual di pintu masuk DST.

Thursday, July 8, 2010

Tentang Bengkel,Kg Mukut dan Pulau Tioman

sempat menziarah SK Kg Mukut untuk menyerahkan sumbangan buku;
kebetulan anak-anak murid sedang berhimpun di dewan untuk acara perpisahan cikgu shahir yang bakal berpindah ke menanjung setelah 4 tahun menabur bakti di sana



Gunung Nenek Semukut berseri penuh misteri disinari mentari pagi



Peta lakaran pengunjung asing khusus buat Kg Mukut,Pulau Tioman
(Gambar ihsan PM Ahmad dan Prof SZI)

Bengkel Penulisan Kreatif Siri Ke-4 yang diluncurkan di Kg Mukut,Pulau Tioman telah melabuhkan tirainya pada tengah hari 24 Jun 2010 lepas. 3 hari para peserta bengkel telah diguyuri titisan ilmu bahasa Melayu dan diusapi embun sastera serta terkatarsis geluk rasa lewat dicumbui bayu laut yang bergelora,sesekali dibasahi percikan ombak yang menghempas kejam pantai Kg Mukut dan jeti batu yang dicat putih.

Kala bersantai pada waktu petang,ada yang berkeputusan ke jeram yang terletak tidak jauh dari chalet- puas merendamkan tubuh yang santak diderai rutin seharian di kantor; ada yang gemar mengutip sisa batu karang yang terdampar di dada pantai; dan ada yang hanya menghirup secangkir kopi di anjung kafe sambil menikmati pemandangan laut.
Ah, indah sekali!

Selain berbengkel memurnikan karya,kami juga berkesempatan membaca puisi sambil menikmati pauh yang bertaburan di kaki pokok seputar premis chalet. Yang agak lasak telah ke Air Terjun Kg Juara untuk merasai keindahan dan kedinginan airnya. Yang berminat memancing pula tidak melepaskan peluang untuk melontarkan joran di hujung jeti.

Kami sempat juga mengunjungi Kg Tekek dan Taman Laut Tioman. Di situ terbina sebuah teluk marina yang mengasyikkan kala menyaksikan bot-bot mewah dan feri keluar masuk; manakala di darat pula terdapat kedai bebas cukai tetapi yang berjaya mencuri tumpuan adalah pokok-pokok ru di sepanjang jalan ke kedai tersebut telah dihuni oleh kelelawar. Jeritan dan keriuhan yang terhasil oleh warga yang selesa bergayut terbalik itu amat meralitkan; juga menghairankan. Kenapa 'mereka' berkampung di tengah-tengah kesibukan wilayah yang dihuni oleh manusia?

Di Taman laut Tioman pula tersergam indah Muzium Laut yang menghimpunkan seringkas mungkin namun padat dengan maklumat tentang kelautan dan hidupan kesamuderaan. Di Taman laut yang cetek pula terhimpun ikan-ikan yang jinak dan senang menunggu 'sogokan' makanan daripada para pengunjung. Mereka bebas berenang di sisi perenang dan penikmat alam laut dan hidupan laut yang tidak mungkin dinikmati di menanjung.

Yang paling bermakna adalah kunjungan kami ke SK Kg Mukut untuk menyerahkan buku-buku sumbangan warga UiTM dan para pembimbing bengkel. Kami juga sempat mengucapkan Selamat jalan kepada cikgu Shahir yang akan berpindah ke Cheras pada keesokan harinya. Terlukis garis-garis kesedihan di durja anak-anak murid yang bakal ditinggalkan. Selamat maju jaya cikgu! Kami doakan moga anak-anak murid SK Kg Mukut semakin bijak dan berjaya!