"Ada perkara yang kita perlu sentiasa INGAT iaitu sentiasa ingat akan kebaikan orang pada kita dan keburukan kita pada orang.
Dan ada perkara yang perlu kita lupakan. Iaitu LUPAkan keburukan orang kepada kita dan kebaikan kita kepada orang lain."
Petikan daripada filem Sang Murabbi.
Suatu ketika dahulu saya rasakan saya gembira sentiasa. Mempunyai ramai kawan yang ‘sekufu’ dan banyak menghabiskan masa dengan bercerita mengenai dunia. Branded handbags, kereta, kisah travel dan tak kurang saya terlalu berada dalam dunia mereka yang serba serbi nampak mewah dan bergaya.
Tetapi saya tidak pernah merasakan ketenangan dan keseronokan. Saya tidak merasakan persahabatan itu di dalam hati, cuma sekadar satu keseronokan bak angin lalu. Saya tidak merasakan ‘halawatul liqa’ setiap kali kami berkumpul dan berjumpa. Gelak tawa sahaja yang pecah, namun saya rasa kosong selepasnya.
Akhirnya saya mengambil langkah berdiam diri. Saya mencari erti dalam setiap gelak tawa kami. Saya juga cuba mempelajari serba sedikit makna kawan dalam erti kata persahabatan dan makna sahabat dalam erti kata ukhuwah.
Teringat saya akan pesan Mak tersayang,
"Pilih kawan yang akan tegur kita. Bukan yg suka nak puji kita, bukan juga yang suka kan kita sebab sesuatu yang fizikal."
Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.
(Al Hujurat: 10)
Setelah beberapa lama mencari, Allah menganugerahi saya dengan beberapa orang yang saya rasakan tenang bila bersama dan merasakan sesuatu bila tak berjumpa.
Ya, saya sudah jatuh cinta!
Saya menyayangi mereka kerana Allah dan saya tak rasa kosong malah sentiasa mendambakan pertemuan dengan mereka. Saya memperlajari sesuatu dan sesuatu itu meluaskan furu’ pemerhatian saya kepada ilmu.
Cuma sekali lagi saya teringat pesanan Mak.
“Dalam berkawan, jangan berlebih-lebih. Setiap orang tetap ada privasinya.”
Betul Mak. Setuju dengan Mak. Setiap manusia ada kehidupan mereka sendiri, yang tidak memerlukan ‘orang luar’. Kehadiran sahabat ini pada dasarnya untuk ‘membetulkan’ dan ‘memerhati’ dan sekali sekali merai.
Pada hari itu sahabat-sahabat karib: Setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan takwa (iman dan amal soleh) Az Zuhkruf : 67
Pengalaman berkawan membuatkan kita kadang-kadang telebih emosi dan terbawa-bawa dengan cara kawan kita yang mungkin tak sesuai dengan kita.
Percayalah, perubahan yang kita lakukan selepas mengenali seseorang adalah petunjuk terbaik sama ada dia sahabat atau pun sekadar koleksi kawan-kawan yang menyedapkan hati dan halwa telinga.
Benar.
Kawan biarlah beribu. Juta pun tak apa.
Berkasih biar satu, iaitu pada Yang ESA dan bersahabatlah dengan yang sentiasa merapatkan kita dengan Kekasih kita Yang Satu itu
Aida Ishak
Shah Alam.