Tuesday, November 4, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG:

USIA 60-AN KURANGKAN BERPUISI:
TAPI TUMPUKAN MENJADI PENTERNAK

Assalamualaikum,


Memang sudah lama saya tak dihubungi oleh Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Pahang, Syed Adnan Dato’ Syed Abdullah (Abang Engku). Apabila saya hubungi beliau pagi ini (3 November 2008) secara sinikal pula beliau memberitahu, seolah-olah saya sengaja mahu menjauhkan diri daripadanya. Sempat juga Abang Engku beritahu fasal pembabitan aktivis budaya di Temerloh L Mankadir Shamsi dalam kerjaya terbarunya sebagai penternak kambing dan lembu yang berjaya. Mereka yang berhasrat untuk melaksanakan aqiqah atau korban yang memerlukan kambing atau lembu memang boleh menghubungi Mankadir. Apalagi dalam usia 60-an mungkin Mankadir lebih menumpu kepada usaha yang boleh membantu kepentingan masyarakat bersama.

Sebelum itu bapa saudara saya penyair Yassinsalleh yang berhasrat mahu hubungi Abang Engku. Tetapi tiada kaitan dengan pencapaian Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak yang sudah terpilih secara automatik menjadi Presiden UMNO, selepas 36 tahun ayahnya Allahyarham Tun Abdul Razak dipilih menjadi Presiden UMNO pada 1972. Malah jawatan Presiden UMNO itu sendiri adalah idea Tun Abdul Razak bagi memodenkan UMNO yang sebelum itu jawatan berkenaan dikenali ‘Yang Dipertua Agung’ UMNO dianggap terlalu konvensional. Pada period Tun Abdul Razak juga jawatan ‘Ketua Kaum Ibu UMNO’ ditukar kepada ‘Ketua Pergerakan Wanita UMNO’. Begitulah!



PERIOD MAHU REMAJAKAN UMNO
SAHAM MELONJAK BERBANDING DI AS


Semalam (2 November 2008) Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz menelefon mengenai persaingan merebut jawatan tertinggi UMNO, Mac 2009 nanti. Beliau merungut apabila kenang saham UMNO melonjak tinggi berbanding saham di luar negeri termasuk negara-negara yang dianggap kukuh ekonomi seperti Amerika Syarikat (AS), Jepun, Korea Selatan atau negara-negara Kesatuan Ekonomi Eropah yang dikatakan goyah, payah dan melayah. Aduhai! Dalam masa agenda mahu meremajakan UMNO menurut Dato’ Kamal Amir, pimpinan muda dididik bagi sesiapa mengangkat tangan mencalonkan nama-nama tertentu pada Mesyuarat Agung Bahagian hingga RM700, RM1,000 dan RM1,500. Justeru mereka yang terdidik dengan ‘politik wang’ inilah akan meneruskan sinambung legasi pimpinan UMNO.

Tak hairanlah Haji Abu Bakar Ninggal juga menelefon tengahari ini (3 November 2008), pemilihan Dato’ Seri Najib bakal menjadi Presiden UMNO tak bermakna diterima secara mutlak (apalagi Bahagian Gua Musang, secara terbuka menolak pimpinannya). Sistem pemilihan UMNO berdasarkan kouta itulah yang mengangkat Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Dato’ Seri Mohd Najib memimpin UMNO pada 2003, di samping ditangguhkan pada 2006 atas sebab-sebab heh heh heh! Akhirnya kata Haji Abu Bakar, Mac 2008 gandingan Pak Lah-Najib diberi pengajaran bahawa pemilihan mereka pada 2003 bukanlah secara mutlak. Bagaimanapun lupakan sahaja fasal pemilihan UMNO, kerana bulan ini jemaah haji kita akan berlepas ke Mekah al-Mukarramah bagi menunaikan ibadat yang lebih bermakna, berguna dan sempurna daripada pemilihan UMNO.

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA:

MEDIA BARAT ANGGAP PENGGANAS
MESEJ MUJAHID KPD KEPONGAHAN BUSH.


Hukuman mati yang dikenakan ke atas Amrozi, 47 abangnya Mukhlas, 48 dan Imam Samudra,38 oleh mahkamah di Indonesia berikutan terbabit dalam pengeboman di Bali pada 2002 yang mengorbankan 202 jiwa, dianggap oleh media barat sebagai pengganas. Bagaimanapun keganasan yang membabitkan Amrozi, Mukhlas dan Imam Samudra adalah mesej kepada kuasa-kuasa barat terutama Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya supaya tak menceroboh negara-negara Islam. AS di bawah Presiden George W Bush adalah pelopor kepada keganasan sejagat dengan pencerobohan tak berperi kemanusiaan bagi mencapai matlamat kebangsatannya. Sebaliknya majoriti rakyat AS menolak sama sekali retorik keganasan sejagat George Bush, apabila pilihanraya Presiden AS besok (4 November 2008).

Sekiranya majoriti rakyat AS memilih Barrack Obama dari Parti Demokrat ianya satu sinikal kepada Bush dan Parti Republikan mereka menerima nama yang hampir dengan musuh Bush iaitu Osama bin Laden. Apabila rakyat AS menghantar Obama ke Rumah Putih, maknanya mereka turut menghantar kelibat ‘Osama’ ke gapura istana Presiden AS yang menjadi impian setiap pemimpin politiknya. Justeru hukuman mati yang dijalankan ke atas Amrozi, Mukhlas dan Imam Samudra mungkin sahaja sebelum Obama dihantar ke Rumag Putih. Apalagi pencerobohan ke atas Pakistan dan Syria juga digerakkan oleh Bush dengan segala kepongahannya menjelang pilihanraya Presiden AS. Sebaliknya menjelang hukuman mati ke atas tiga mujahid terbabit, polis Indonesia mendedahkan mereka menemui dan mematikan dua butir bom di kawasan penduduk Hindu di Sulawesi minggu lalu. Entahlah!

INFO SASTERA & BUDAYA:

NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz


(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan kelmarin…)

(28)

9
DENDAM BAPAK PROFESOR

KEPAKARAN TEKNOLOGI MENGANGKAT
KUASA RAJA BONEKA DI PULAU TERUMBU

DIA dipaksa bangunkan jana nuklear bawah tanah kalau mahukan ganjaran lumayan. Tetapi gnajaran lumayan itu tak mampu ubati penyakit anak gadisnya yang sudah amat kritikal. Sebab itu dia tak mahu berterusan menjadi boneka yang sentiasa diawasi oleh gerombolan pengganas terbabit.

Ketika bertemu Si Tongkol dalam perjumpaan sulit di Vasteras, bekas kolonel tentera itu sanggup membantu. Dia boleh membolos keluar tinggalkan Sweden melalui kawasan balkan. Tetapi Profesor Adri menyedari dia akan terus diburu kalau balik juga menjengah pusara anak gadisnya di Bandong. Justeru Si Tongkol mempelawa menyertai kumpulan penyeludup senjata di perairan antarabangsa.

Baik di mana-mana sahaja Bapak Profesor hidup bagaikan boneka. Keampuhan ilmu teknologinya sentiasa diperalatkan. Orang lain mencari kesempatan dengan kepakaran yang dimilikinya. Dia tak pernah menggunakan kepakaran sendiri mendapat manfaat dan kebahagiaan dirinya. Sebab itu dia mahu cipta sendiri boneka-boneka yang boleh dikerah apabila dipantau melalui alat kawalan jauh.

“Nah, sekarang aku menjadi raja segala boneka!” laungan Bapak Profesor bergema di corong mikrofon.

Siapapun di bilik makmal itu tak menyahut apa-apa. Mereka berasa cemas kerana Si Tongkol juga tak bersuara. Kalau Si Tongkol tak menyerah diri nescaya mereka akan dibunuh tentera-tentera boneka Bapak Profesor. Ketika itu mereka menyedari peluang untuk menyelamatkan diri terlalu tipis.

Memang mereka bertiga tak dapat berkomunikasi. Masing-masing tak mampu untuk memberi isyarat bagaimana mahu bertindak. Segalanya terserah kepada keputusan Bapak Profesor yang memegang punat butang di tangannya. Bapak Profesor boleh lakukan apa sahaja, cukup dengan menekan butang kawalan yang dipantau!

Dalam masa mereka bertiga terkebil-kebil mata menunggu arahan seterusnya daripada Bapak Profesor, tiba-tiba dinding logam tungsten yang padu bergegar ditendang kuat. Dari luar objek tentera boneka membolos masuk dengan kasar. Dinding logam tungsten itu terpokah apabila disentap kuat. Tenaga objek tentera boneka yang baru itu berupaya memusnahkan dinding berkenaan.

Sebaik sahaja objek tentera boneka mendekati rakannya, tak bertangguh pula diterpa. Berlaku pergelutan yang tak diduga antara tentera boneka berkenaan. Apabila tentera boneka yang mengawal bilik makmal melepaskan pantulan cahaya dari mata, sekaligus pula melantun semula ke arah mereka. Tentera boneka pengawal makmal jatuh terlentang tetapi bingkas banguna semula.

“Kenapa kmu belot, wira pulau?” kedengaran tentera pengawal bilik makmal tersebut bersuara serentak yang dipantau dari bilik operasi Bapak Profesor. “Kamu semua adalah wira pulau, justeru perlu ikut arahanku!” tegas Bapak Profesor seterusnya.

Memang tentera-tentera boneka yang dicipta Bapak Profesor dinamai wira pulau. Mereka menguasai planet boneka di pulau terumbu batu karang berkenaan. Sudah lama Bapak Profesor bercita-cita menjadikan planet boneka sebagai kemuncak kerjayanya. Dia mahu buktikan kepakaran teknologi yang dimiliknya mampu dibangunkan sendiri. Bukan dijadikan alat oleh Si Tongkol!

Tetapi tentera boneka yang belot tak berfungsi lagi peti suaranya. Ia bertindak juga di luar kawalan Bapak Profesor. Ketika diterkam oleh rakan-rakannya yang masih setia, ia bertindak pantas menjatuhkan mereka. Tentera boneka yang belot itu seolah-olah mampu mencari kelemahan kawannya. Sengaja ia menjatuhkan rakan-rakannya dalam posisi tertangkup. Biar matanya tak terkena pantulan cahaya.

Ketika kekecohan di bilik makmal bertambah tegang, tiba-tiba sahaja Bapak Profesor menjengah masuk. Tetapi segalanya sudah terlambat.

(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).

(bersambung)

PUISI

Ku Cari Kerlingmu

Ku cari kerlingmu, Delilah
di sebalik bayang bayang batu-batu bukit
ku lihat matamu terpahat
di celah rekahan dinding gua
melakar keperkasaan fizikal Samson
meruntuhkan sebuah empayar
di bawah lambakan puing-puing bangunan
(Injil; Judges: 13-16).

Angkatkan bayangmu
kilau matahari yang parah
ufuk senja terluka
burung-burung termangu
- siangnya mimpi berkala Ritcher
malamnya diganggu igau Abrahah
& kilat yang saling bercanda
menunggu senyummu Delilah.

Biarkan, amarah sang singa
mengganas di depanmu Samson
haiwan teruja di gurun
dengan fokus keperongosan insan
bak bidadari kefasikan Delilah
menunggu alpa legasi mangsa
kilau matahari & hangat memijar
laksana deru naratif helikopter.

Ku cari kerlingmu, Delilah
di bawah puing-puing keruntuhan empayar.

-Dharmala N.S.
Kuala Lumpur
2 November 2008.

INFO SUARA PROLITAR:

MACAM KISAH PAK PANDIR
TANGKAP UMPAN BELALANG RUSA

Mulai tahun depan tambang pengangkutan naik. Ketika minyak naik, tambang tak boleh nak naik. Minyak dah turun, tambang pengangkutan naik. Macam cerita Pak Pandir pula. Kalau Pak Padir tangkap belalang rusa tak dapat, tapi tangkap rusa boleh pula. Macam mana pula rusa boleh buat umpan mata kail. Peliklah pula! Tapi di Malaysia dah tak pelik apa-apa. Penyiasat persendirian pun boleh hilang. Nak bersumpah laknat pun, ok. Tapi kritik jabatan agama, masuk ISA. Isteri tuntut fasakh selepas suami ditangkap basah, tak boleh. Kena cukupkan dokumen dulu. Harap-harap janganlah ramai sangat kena H/B. Astaga! – (SMS; 3 November 2008; 17:41:28 – Man Cincai, Selayang, Selangor).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

BULAT AIR DEK PEMBETUNG
BULAT ANAK BUAH DEK MUAFAKAT!

Arakian sekalian anak buah harakah Melayu (UMNO) berasa gembiralah mereka apabila Orangkaya Pekan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sudah dipilih ia memimpin harakah itu, semalam 4 Zulkaedah 1429 (atau seperti kata anak cucu fakir 2 November 2008). Maka Orangkaya Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Dato’ Seri Shafie Apdal pun berkatalah, ‘Kemenangan itu adalah petanda baik yang membuktikan sokongan padu anak-anak buah di peringkat akar umbi.’ Sebermula sekalian hamba Melayu itu bukanlah sama dengan anak-anak buah harakah Melayu atau Orangkaya Dato’ Seri Shafie, kerana yang dikatakan sokongan padu ialah ‘bulat air dek pembetung, bulat anak buah dek muafakat; kok bulat boleh digolek, kok pipih boleh dilayang.’ Adapun pemilihan dalam harakah Melayu itu banyaklah didengar ‘memahat di luar baris, berketak di luar sangkar.’


Syahdan, setelah hari siang maka Feringgi pun naiklah ke darat. Maka Sultan Ahmad pun naik gajah, Juru Demang namanya; Seri Udani di kepala gajah, Tun Ali Hati dibuntut. Maka baginda pun keluarlah dengan segala hulubalang. Maka peranglah Feringgi beramuk-amukan. Seketika perang itu, maka rakyat Feringgi pun undur daripada tempuh orang Melaka. Arakian maka tampil Alfonso d’Albuquerque dengan seribu rakyat soldadu beristinggar, menempuh pada segala orang Melaka, bunyi pelurunya istinggar itu seperti kacang jatuh ke bidai, demikianlah. Daripada sangat tempuh anak Portugal, maka pecahlah perang orang Melaka, lalu undur. Sebermula disebut orang akan Sultan Ahmad itu sudah mendengar akan anak Melaka itu menyokong padu baginda seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:




HIDUP BAHASA MELAYU!

Sunday, November 2, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


KONVO DI UNISEL JADI PENAWAR:
PENCAPAIAN KAKAK & KEHILANGAN ADIK

Assalamualaikum,


Hari ini (2 November 2008) konvokesyen Universiti Industri Selangor (Unisel) di Bestari Jaya (Batang Berjuntai), anak saya Nurul Salwa turut menerima ijazah dengan Kepujian Kelas Kedua (Tinggi). Memang terasa gembira dengan pencapaian akademiknya dalam bidang pengkomputeran, tetapi masih belum mampu melupakan pemergian permata hati keluarga Ikram Hafiz buat selama-lamanya dalam usaha melanjutkan pengajiannya. Memang kepedihan terasa apabila melalui lokasi nahas jalanraya yang mengorbankan nyawanya, bagaimanapun ketentuan Illahi tak siapa pun mampu menolaknya. Allahyarham Ikram Hafiz memilih Unisel semata-mata mahu mengikuti jejak kakaknya, sekalipun beliau turut menerima tawaran dari UiTM di Shah Alam dan dua lagi IPTS. Alhamdullillah, pencapaian Nurul Salwa mampu menjadi penawar kesedihan keluarga berikutan kehilangan Allahyarham Ikram Hafiz.

Semalam jam 9.30 pagi (1 November 2008; 8.30 pagi waktu Indonesia), mantan Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah menelefon dari Bukittinggi, Sumatera Barat, Indonesia dalam kunjungan bersama isterinya selama seminggu. Memang beliau seronok berkunjung ke Ranah Minang kerana buat pertama kali jejakkan kaki ke bumi yang popular dengan aura Adat Minangkabaunya. Dato’ Dr Mohd Mansor kononnya kagum dengan taklimat yang diberikan mengenai pemakaian Adat Minangkabau memberi perlindungan kepada wanita, sekalipun tak dihebohkan seperti ‘women libs’ di barat. Sekitar dekad 1990-an memang kerap saya ke Bukittinggi bersama Allahyarham Mamak Bandaro (Tan Sri Abdul Samad Idris), di samping ke Padang, Payakumboh, Baso, Batusangkar, Padang Panjang, Danau Maninjau, Danau Singkarak atau Teluk Bayur (yang popular menerusi lagi Ernie Djohan).

PEMIMPIN BERPENGARUH TAK BERKUASA
& PEMIMPIN BERKUASA TAK BERPENGARUH

Isu pemilihan dalam UMNO juga terus menjadi perbincangan di kalangan kawan-kawan selepas 118 Bahagian daripada 192 mengadakan Mesyuarat Agung setakat ini. Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak terus menerima 117 pencalonan, di samping Tengku Razaleigh Hamzah sekadar 1 sahaja, itupun menerusi Bahagian Gua Musang yang sentiasa berdiri teguh di belakang beliau. Memang sukar mahu diramalkan 74 Bahagian lagi, sama ada bersedia atau tidak untuk mencalonkan Tengku Razaleigh antara tokoh UMNO yang setanding dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Musa Hitam pada dekad 1970-an dan 1980-an. Malah ketika memberikan ceramah dalam forum di UKM pada 1995, Menteri Penerangan Dato’ Ahmad Shabery Cheek (Ketua Penerangan PSM46 ketika itu) membuat analitikal antara pemimpin berpengaruh dan pemimpin berkuasa.

Secara kebetulan saya juga dijemput sebagai ahli panel bersama Dato’ Ahmad Shabery dan Dr Harun Taib (PAS), di samping Dr P Ramasamy mempengerusikan majlis anjuran pelajar-pelajar UKM ketika itu. Justeru Dato’ Ahmad Shabery memberitahu, Tengku Razaleigh sebagai contoh pemimpin yang berpengaruh tetapi tak mempunyai kuasa, sebaliknya Tun Dr Mahathir Mohamad pemimpin yang berkuasa tetapi tak mempunyai pengaruh. Sebaliknya ketika saya bersama pimpinan PRIMA membuat kunjungan hormat menemui Tun Dr Mahathir di Yayasan Pimpinan Perdana, Putrajaya pada 2007 beliau mengakui tak mempunyai kuasa. Bagi Tun Dr Mahathir kebobrokan pihak yang berkuasa perlu dihalang menerusi mesej dalam usaha memperbetulkan keadaan. Memang Tengku Razaleigh dan Tun Dr Mahathir sedangkan menyampaikan mesej berkenaan. Dengan satu Bahagian Gua Musang mencalonkan Tengku Razaleigh, sudah cukup menjadi mesej untuk disampaikan. Barangkali!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA

BAHASA MELAYU MENYATU-PADU:
MEREKA MUFLIS IDEA YANG POLITIKKAN


Pejuang Bahasa Melayu tak pernah mempolitikkan isu bahasa, kerana sejak pra merdeka ianya menjadi alat menyatu padukan gerakan nasionalisme menerusi akhbar-akhbar dan persuratan, beritahu bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah ketika menghubungi sekretariat PRIMA dari Bukittinggi, Sumatera Barat, Indonesia hari ini (1 November 2008). Katanya, yang mempolitikkan isu bahasa ialah orang politik yang muflis idea semata-mata menimbulkan sentimen kaum bagi meraih sokongan. Justeru beliau menambah, masyarakat bukan Melayu tak perlu terpedaya dengan pemikiran politik muflis hingga memutar belitkan fakta. “Pada period kesultanan Melaka pun hubungan perdagangan di peringkat antarabangsa juga adalah menggunakan Bahasa Melayu,” menurut Dato’ Dr Mohd Mansor.

Katanya lagi, berdasarkan beberapa frasa perutusan surat yang dibuat oleh kesultanan Melaka dengan negara-negara luar termasuk Pasai, Gujerat, India, Siam, Majapahit atau China adalah menggunakan Bahasa Melayu. Justeru Dato’ Dr Mohd Mansor menolak sebarang usaha mahu menggunakan empat bahasa ke atas papan tanda seperti yang diumumkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang. Seterusnya beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor, sekiranya dengan pengisytiharan Pulau Pinang sebagai tapak warisan sejarah menjadi alasan papan tanda jalan perlu menggunakan empat bahasa, bagaimana kalau Alor Setar, Kota Bharu, Kuala Lumpur atau Ipoh juga diisytihar ‘tapak warisan’. “Aktivis bahasa tak pernah mempolitikkan isu bahasa, tetapi aktivis politik yang mempolitikkan isu berkenaan,” kata Dato’ Dr Mohd Mansor menambah.


Memang Bahasa Melayu berperanan sebagai mekanisma menyatu padukan rakyat di negara ini sejak pra merdeka, justeru tak wajar ianya dipolitikkan, jelas penganalisis politik Haji Mohd Sayuti Omar. Beliau bersetuju dengan pandangan Dato’ Dr Mohd Mansor pegisytiharan Pulau Pinang sebagai tapak warisan bukanlah alasan bagi papan tanda jalan di negeri itu menggunakan empat bahasa. Haji Mohd Sayuti yang pernah membuat lawatan ke negara-negara Balkan dan Asia Barat mengakui, pelancong dan pengunjung tetap memahami arah tunjuk jalan berdasarkan papan tanda menggunakan bahasa tempatan sahaja. “Justeru aktivis politik tak seharusnya menjadikan isu bahasa sebagai rangsangan meraih sokongan dengan menjadikan orang bukan Melayu mangsa kerakusan mencari pengaruh,” beritahu Haji Mohd Sayuti.

Beliau seterusnya mengakui terbabit merumuskan ‘Deklarasi Janda Baik’ dalam perjumpaan aktivis bahasa dan penulis-penulis Melayu di Janda Baik, Bentong, Pahang pada 26 Oktober 2008 lalu. Perjumpaan yang dipelopori oleh penulis buku-buku politik kontroversi, S.H.Alattas bersetuju merumuskan 15 perkara yang terkandung dalam deklarasi berkenaan sebagai manifestasi majoriti mangsa Melayu. Menurutnya lagi kandungan 15 Perkara dalam ‘Deklarasi Janda Baik’ boleh dilayari menerusi laman blog http://msomelayu.blogspot.com/ iaitu diluluskan menjadi pendekatan bersama. “Dalam perjumpaan di Janda Baik itu, adalah susulan dari pertemuan di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 21 Oktober 2008, di samping akan dijadikan agenda berterusan dari semasa ke semasa,” katanya.
INFO SASTERA & BUDAYA

NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz


(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan kelmarin…)

(27)

9
DENDAM BAPAK PROFESOR

MAHU TEGAKKAN BENANG BASAH:
PERBALAHAN DUA PENYANGAK BONEKA

DALAM masa mereka bertiga terlentang di katil tak boleh bergerak apa-apa, skrin TV di dinding batu terpasang. Tetapi ianya mengalami kerosakan kerana tak berfungsi. Hanya kelihatan garis berjalur-jalur dengan tak menonjolkan gambar di skrin. Suara juga tak kedengaran, kecuali bunyi bising tersekat-sekat bagaikan guruh di udara.

“Kolonel Si Tongkol, dalam tempoh 24 jam kalau kamu tak menyerah, kawan-kawan kamu akan dibunuh!” kedengaran suara Bapak Profesor di corong mikrofon setelah skrin TV di dinding tak berfungsi.

Tetapi Si Tongkol tak menyahut. Mereka juga tak mengetahui tempoh 24 jam kerana tak kelihatan jam di dinding. Jangan di tangan pula tak dapat dilihat akibat tangan tergari. Bung Hirman sekadar mengeluh sambil mengerling dua orang rakannya yang gelisah tak menentu. Apalagi Jojo yang mengalami kecederaan berterusan mengerang akibat tak diberi rawatan.

“Kamu semua sudah memusnahkan hidup aku, sekarang aku akan musnahkan pula hidup kamu, mengerti!” Bapak Profesor ketawa berdekah-dekah di corong mikrofon seperti orang tak siuman.

Siapapun tak menyahut. Baik Si Tongkol mahupun Jojo atau Bung Hirman dan Bung Superman hanya mendiamkan diri. Mereka tak boleh bersuara kerana gelombang bunyi akan menyebabkan tentera-tentera boneka bertindak balas. Setiap detik memang mereka diawasi selagi masih berjejak di planet boneka ciptaan Bapak Profesor.

“Kamu semua menyebabkan kematian anak gadisnya, justeru kamu wajar menerima pembalasan!” ujar Bapak Profesor terus ketawa berdekah-dekah.

“Jangan salahkan orang lain kerana kesilapanmu, Profesor Adri,” kedengaran pula buat pertama kali Si Tongkol menyebut nama sebenar Bapak Profesor. “Kamu yang mengejar kekayaan duniawi untuk ubati anak gadismu,” jawapannya menyebabkan Bapak Profesor mendengus marah.

“Apa maksudmu, Kolonel Si Tongkol?” bentak Bapak Profesor yang dipanggil oleh Si Tongkol dengan nama Profesor Adri.

“Kamu sendiri tahu Profesor Adri, anak kamu tak bisa diubati,” ujar Si Tongkol mahu dedahkan rahsia Bapak Profesor. “Kanser hatinya sudah seratus peratus, tetapi kamu mahu buktikan kecanggihan teknologi mampu pulihkan penyakit anak kamu,” jelasnya sengaja menyakiti hati Bapak Profesor.

“Anak gadisku tak mati, kalau aku tak dicolek gerombolan pengganas,” Bapak Profesor meluahkan perasaan hatinya. “Aku dipaksa menjadi hamba sama seperti boneka, semata-mata mahu memuaskan hati kamu semua!” katanya membentak marah.

“Harus diingat Profesor Adri, bukan saya yang mencolek,” segera Si Tongkol memberi penjelasan. “Tetapi sayalah orang yang selamatkan kamu dari menjadi tawanan seumur hidup kumpulan pengganas antarabangsa,” ujarnya mengingatkan.

“Kamu juga sama seperti mereka, Kolonel Si Tongkol,” sahut Bapak Profesor sengaja mengejek. “Aku kamu jadikan macam boneka untuk hasilkan senjata, kemudian kamu seludup dengan mendapat ganjaran lumayan,” dia mendengus melepaskan geram.

Ternyata perbalahan itu menyebabkan mereka saling mendedahkan rahsia masing-masing. Bapak Profesor mengakui terlalu lama hidup tertekan bagaikan boneka yang sentiasa dikawal mereka yang mencari kesempatan kerana keampuhan ilmu teknologinya. Dalam masa mengalami kesempitan wang akibat anak gadisnya menderita penyakit barah hati, dia dicolek gerombolan pengganas antarabangsa.

(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).

(bersambung)

PUISI LAMA

Kalau Berkalau

Kalau kail panjang sejengkal
Jangan lautan dalam hendak diduga.

Kalau kucing makan di lantai
Kenapa ditadahkan pinggan emas?

Kalau terkilat ikan di air
Sudah ku tahu jantan betinanya.

Kalau memang dah tak tahu menari
Kenapa dikatakan lantai jongkang jongket?

Kalau harapkan guruh di langit
Jangan air ditempayan yang dicurahkan.

Kalau dah celaka menimpa badan
Jangan ibu yang mengandung disalahkan.

-Dr Seri Intan Mokhtar
Tapah, Perak.
1 November 2008.


INFO SUARA PROLITAR

PERANGAI MELAYU PENINGKAN MELAYU:
PELOPOR GERAKAN NASIONALISME DIPINGGIR

Memang tak wajar disalahkan kerajaan negeri Perak sama ada sekarang mahupun sebelum ini apabila mengabaikan rumah kelahiran pelopor gerakan nasionalisme terawal Allahyarham Dr Burhanuddin Mohd Noor (Dr Burhanuddin al-Helmi) di Taiping. Kalau kerajaan negeri di bawah pimpinan UMNO pun tak peka dengan premis No 21 Jalan Hale, Ipoh, tak hairanlah rumah kelahiran Dr Burhanuddin juga dianggap tak bernilai secara artifak mahupun sejarahnya. Mungkin sahaja aktivis UMNO sekarang yang rakus berebut-rebut jawatan pimpinan tertinggi tak menyedari premis No 21 Jalan Hale itu adalah ibu pejabat UMNO pertama sebaik sahaja diproklamir di Johor Bahru pada 11 Mei 1946. Generasi muda UMNO digalakkan memperingati tarikh 11 Mei (bukan 1 – 4 Mac 1946), tetapi tak peduli dengan premis No 21 Jalan Hale, Ipoh.

Mungkin sahaja Menteri Besar Perak pertama pasca merdeka Allahyarham Tan Sri Ghazali Jawi tak berminat memperingati premis berkenaan, disebabkan ianya pejabat guaman musuh politiknya Dato’ Panglima Bukit Gantang Haji Abdul Wahab bin Tok Muda Abdul Aziz, tetapi apa salahnya Menteri Besar Perak selepas beliau sama ada Dato’ Shaari Shafie, Dato’ Ahmad Said, Tan Sri Kamaruddin Mat Isa, Dato’ Muhammad Wan Teh atau Dato’ Seri Tajul Rosli Ghazali membuat penilaian semula? Kalau Tun Hussein Onn tak membuat comeback politik untuk menjadi Perdana Menteri, mungkin juga Menara Dato’ Onn tak ditampilkan di PWTC. Atau apa salahnya Jalan Parlimen sekarang ditukar kepada Jalan Tunku Abdul Rahman Putra bagi mengenang jasa tokoh berjasa dalam sejarah tanah air?

Tetapi begitulah perangai bangsa Melayu sejak membina empayar di Melaka pada 1401, lebih mementingkan glori sendiri hingga sanggup melupakan jasa orang lain. Tak hairanlah hukuman ke atas Hang Jebat ialah rumahnya diterbalikkan bumbung ke bawah dan dibuang ke laut, anak isteri dibunuh supaya tak meninggalkan zuriat serta jenazahnya digantung kaki ke atas kepala di bawah di simpang jalan (sekalipun bertentangan dengan syiar Islam). Matlamatnya, biar jasa Hang Jebat tak dikenang oleh bangsa Melayu yang terkemudian sekalipun membantu menaikkan imej kerajaan Melaka dalam misi bersama Hang Tuah ke Manjapahit, menghalang kemaraan Megat Panji Alam di Terengganu dan terbabit meluaskan pengaruh kesultanan Melaka.

Legasi kesombongan perangai Melayu ini kita lihat berlaku juga di Pahang, kerana hingga sekarang kerajaan negeri tak pernah memikirkan bagaimana mahu memperingati sumbangan Allahyarham Dato’ Dr Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) atau Ibrahim Haji Yaacob. Setidak-tidaknya kerajaan negeri boleh membina ‘Galeri Pak Sako’ sebagai memperingatan sumbangan beliau dalam kesusateraan Melayu. Tetapi, bagi pemikir-pemikir kebobrokan Melayu, sudah tentulah mereka lebih pentingkan glori melunggah kawasan balak daripada ‘Galeri Pak Sako’ atau ‘Galeri Inderapura’ yang boleh turut menterjemah sumbangan Dato’ Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau, Orangkaya Panglima Mansor Chenor atau Orangkaya Haji di Lipis. Perangai Melayu ini yang memeningkan bangsa Melayu sendiri – (Yassinsalleh, Kajang, Selangor)

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

MASYGHOL DENGAN PERANGAI:
MENIKAM KAWAN DARI BELAKANG

Sebermula tersebutlah alkisah Orangkaya Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi terlalu masyghol ia dengan perangai siasah menikam kawan dari belakang. Berkatalah Orangkaya Dato’ Seri Abdullah, ‘Apabila saya dengan ucapan Dato’ Pairin (Orangkaya Dato’ Joseph Pairin Kitingan) tadi, baru saya sedar ini akan menjadi ucapan perpisahan, saya tak suka mengucapkan selamat tinggal, saya tak pernah suka mengucapkannya.’ Arakian tak sepatutnya akan Orangkaya Dato’ Pairin itu dalam ucapan seolah-olah memberi selamat jalan kepada Orangkaya Dato’ Seri Abdullah, kerana mereka akan sering bertemu kemudian nanti. Maka sewajarnya Orangkaya Dato’ Seri Abdullah memberi peringatan akan sekalian anak Melayu, janganlah habis manis sepah dibuang, adanya.


Syahdan akan Orangkaya Gua Musang itu Tengku Razaleigh Hamzah sudahlah ia menerima perihal nasib siasah menikan kawan dari belakang itu, seperti diberitahu oleh Orangkaya Dato’ Seri Abdullah. Adapun sejak beberapa lama dahulu sekalian anak buah sudah berjanji taat setia, tetapi kemudian hari habislah semuanya hilang entah ke mana, kerana tak diperemasi seadanya. Sebermula akan bekas Orangkaya Perdana Menteri Tun Dr Mahathir mengakulah ia, perihal anak-anak buah di Kubang Pasu tak menerimanya menjadi perwakilan ke perjumpaan harakah Melayu (UMNO) setelah diperemasi 200 bahara seorang. Arakian sukarlah mahu memberikan bukti akan anak-anak buah sekalian menerima 200 bahara seorang, selagi dikatakan siasah menikam kawan dari belakang itu.

Sebermula pada suatu hari Tun Hassan Temenggung duduk di balainya, dihadap orang banyak. Maka Ali Manu Nayan pun datang. Syahdan berkatalah ia kepada Tun Hassan, ‘Orangkaya, semua orang besar-besar di dalam Melaka ini datang ke rumah hamba, melainkan Orangkaya juga yang tiada datang. Jikalau dapat, marilah apa Orangkaya bermain-main ke rumah hamba; hingga berdiri-diri sahaja di hadapan kedai hamba, sepuluh tahil emas hamba persembahkan.’ Maka kata Tun Hassan Temenggung, ‘Nuni haram zadah! Aku engkau hendak beri makan sedekah, jika pada bapa-bapamu yang lain boleh demikian.’ Adapun adat segala orang-orang muda Tun Hassan Temenggung, apabila ia hal tiada belanja, maka ia berkata pada Tun Hassan Temenggung, ‘Tuanku, sekarang lebuh kita tiada betul, banyak kedai anjur menganjur.’

Syahdan segala orang-orang muda, pada tengah rumah saudagar-saudagar yang kaya-kaya itu direntanginya tali, disuruhnya robohkan. Maka segala saudagar itu menyorong, ada yang seratus, ada yang dua ratus, ada yang tiga puluh, empat puluh kepada seorang. Arakian maka diambilnya oleh segala orang muda-muda Tun Hassan Temenggung, maka diperbahaginya ramai-ramai dengan segala pertanda, itulah makanannya. Maka tali itu diperbuatnya seperti sebenarnya, maka segala kedai yang anjur menganjur itu juga disuruhnya buang. Arakian ada seorang saudagar Nina Sura Dewana namanya, penghulu segala sudagar di dalam negeri Melaka, maka berdakwalah ia dengan Raja Mendaliar seperti disebutkan dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:





HIDUP BAHASA MELAYU!

Friday, October 31, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG:

Assalamualaikum,



Kalau berbincang isu Bahasa Melayu dengan Haji Yahaya Ismail, memang boleh habis sehari suntuk pun tak akan jemu. Beliau tak akan berkompromi dengan kepongahan kerajaan negeri Pulau Pinang mahu menggunakan empat bahasa bagi papan tanda jalan, seperti pernah dilakukan oleh Parti Gerakan sebaik sahaja mengambil alih kerajaan negeri Pulau Pinang pada 1969. Bagaimanapun kos membina papan tanda jalan menjadi sia-sia, apabila ianya perlu dibuang selepas menerima bantahan yang keras kerana tak selaras dengan kehendak majoriti rakyat. Ironinya, apabila menyentuh isu perpaduan nasional biasannya orang Melayu diminta memelihara intergriti kaum, sebaliknya bukan Melayu sengaja membiarkan api menyerap ke dalam sekam. Secara terbuka kita sekadar mendengar Pemuda MCA mendesak hapuskan kuota 30% ekuiti sekonomi kepada bumiputra yang dianggap menyulitkan pelabur-pelabur luar membawa pelaburan.


Di kalangan masyarakat pula saya sendiri hampir hilang sabar apabila jiran bukan Melayu sengaja membawa anjing peliharaannya membuang najis di hadapan rumah saya (yang kebetulan terdapat pokok belimbing, jambu batu dan lengkuas). Si jiran terbabit menunggu hingga jam 12.00 malam untuk membawa anjing peliharaannya membuang najis, disebabkan rumahnya (rumah teres dua tingkat) tak mempunyai ruang. Sepatutnya jiran bukan Melayu terbabit memahami, anjing memang tak sesuai di pelihara di tengah masyarakat Melayu, apalagi sengaja di hantar ke hadapan rumah saya. Kalau orang Melayu berkeras, maka akan timbul tohmahan mahu menghalang kebebasan orang bukan Melayu. Apakah orang Melayu sahaja perlu bertolak ansur dalam isu kebebasan hak asasi, ketika orang bukan Melayu mahu membolot segala kepentingan dalam isu kebebasan itu?



Sebelum solat Jumaat hari ini (31 Oktober 2008), Haji Abu Bakar Ninggal menelefon berkaitan kes bunuh warga Mongolia, Altantoya Shaariibu. Tak perlulah nak komen apa-apa, kerana saya tertumpu menonton CD ‘Samson and Delilah’ terbitan dekad 1950-an dengan penampilan aktor Victor Mature dan aktres Hedi Lamarr. Memang epik Samson dan Delilah menjadi kegemaran saya sejak kecil lagi (malah tak jemu-jemu ditonton), kerana ianya adaptasi dari surah ‘Judges’ 13-16 dalam Injil. Begitulah! Ibarat tamsilnya begitu simple iaitu ‘kegagahan’ seorang lelaki dengan kuasa fizikal iaitu Samson di samping ketamakan seorang wanita dengan kuasa spritual bersenjatakan kecantikan yang dianugerah Illahi. Lelaki yang perkasa dengan kekuatan fizikal akhirnya terperosok ke dalam seksaan lahiriah, apabila tewas di dalam nafsu kecantikan Delilah. Begitulah!


Memang penulis blog Sallehuddin Hashim terkekeh-kekeh ketawa apabila diberitahu saya seronok menonton ‘Samson and Delilah’. Mungkin anak-anak muda sekarang pun tak kenal dengan aktor Victor Mature dan akters Hedi Lamarr yang ditampilkan menerusi filem berkenaan. Barangkali Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz juga baru terbangun tidur, kerana beliau terpinga-pinga apabila dihubungi. Beliau juga macam tak percaya saya kaki wayang, apabila menonton CD ‘Samson and Delilah’. Tetapi ‘Samson and Delilah’ bukan sekadar kisah epik, malah masih menjadi sebahagian realiti kehidupan sekarang. Sama ada secara sedar mahupun sebaliknya Samson dan Delilah tetap menampilkan kelibat mereka di depan kita dalam identiti yang berbeza. Percayalah!

-Pak Dharma




INFO HAK ASASI MANUSIA:


KERAJAAN NEGERI PP DIDESAK
MINTA MAAF KEPADA ORANGN MELAYU



Pejuang Bahasa Melayu sejak dekad 1960-an Haji Yahaya Ismail, mahukan kerajaan negeri Pulau Pinang meminta maaf kepada orang Melayu berikutan keputusan mahu menggunakan pelbagai bahasa di papan tanda jalan di negeri itu. Haji Yahaya (Pak Ya), yang juga bekas Setiausaha Front Bertindak Bahasa Kebangsaan pada 1966, menganggap kerajaan negeri Pulau Pinang mengguris perasaan hati nurani bangsa Melayu, seolah-olah mencabar hak-hak yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Katanya, setiap komponen parti dalam pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang harus menerima tanggungjawab dengan keputusan tersebut. “Jangan sampai nasi sudah menjadi bubur, atau sudah terantuk baru mahu mengadah,” beritahu Pak Ya ketika menghubungi sekretariat PRIMA pagi ini (31 Oktober 2008).



Seterusnya Pak Ya memberitahu, ‘Deklarasi Janda Baik’ yang diumumkan pada 26 Oktober 2008 lalu adalah manifestasi penulis-penulis dan aktivis budaya termasuk semua karyawan seni yang menghadiri perjumpaan tersebut (sila rujuk http://msomelayu.blogspot.com/). Beliau juga turut mengakui perjumpaan susulan akan digerakkan dalam tempoh terdekat, di samping pertemuan akan dibuat Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak berdasarkan temu janji yang dirancang. Katanya ‘Deklarasi Janda Baik’ adalah memorandum yang akan turut disembahkan kepada semua DYMM raja-raja Melayu termasuk juga pemimpin-pemimpin Melayu. “Di harap baginda raja-raja Melayu dan pemimpin-pemimpin Melayu bersedia menerima rombongan kami,” menurut Pak Ya menambah.



Sementara itu mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dato’ Abdul Aziz Deraman memberitahu, DBP sekadar diberi kuasa menegur dan menasihat dalam kes penggunaan Bahasa Melayu seperti terkandung dalam Akta Pindaan 1995 sahaja. Setakat ini belum dibuat sebarang pindaan kepada kuatkuasa penggunaan Bahasa Melayu sejajar dengan fungsinya sebagai bahasa rasmi negara, beritahunya apabila diminta memberi penjelasan kepada rungutan penulis blog Sallehuddin Hashim berkaitan isu kerajaan negeri Pulau Pinang mahu melaksanakan penggunaan pelbagai bahasa kepada papan tanda jalan di negeri berkenaan. “Selagi amendment tak dibuat untuk memberi kuasa kepada DBP memang sukarlah, apalagi yang ada hanya kuasa menegur dan menasihat seperti dalam Akta Pindaan 1995,” kata Dato’ Abdul Aziz.




INFO SASTERA & BUDAYA:


NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz


(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).



(sambungan kelmarin…)



(27)



9


DENDAM BAPAK PROFESOR



PASRAH DENGAN TAKDIR MENIMPA:
M-16 TAK MAMPU LAWAN KOMPUTER.



TERPAKSA Jojo mendiamkan diri. Dia tahu orang tua itu masih berdendam. Memang dendam lama yang bersarang di hatinya menjadikan Bapak Profesor terlalu marah.



Tetapi kemarahan Bapak Profesor bukan sekadar dendam lama. Apalagi kematian anak gadis kesayangannya ketika dia diperas dalam tawanan kumpulan gerila. Malah dia tak menyangka virus komputer mula menggugat. Asal sahaja melihat dinding kebal logam tungsten yang dibina musnah, kemarahan Bapak Profesor semakin meluap-luap.



Ketika melintasi katil Bung Hirman dan Bung Superman terlentang, Bapak Profesor tak bercakap sepatah pun. Selepas menatap muka dua orang tawanan itu, dia terus keluar dari bilik makmal berkenaan. Dinding kebal yang terbuka tak ditutup semula disebabkan bahagian bawahnya sudah rosak teruk selepas disimbah cecair asid alkali dan sebatian hidrokarbon.



“Mujur kemarahannya tak dilepaskan kepada kita,” ujar Bung Superman mengerling ke arah Bung Hirman.



Belum sempat Bung Hirman menyahut dua objek tentera boneka lantas menerpa ke arah Bung Superman. Gelombang suara Bung Superman mudah dikesan. Siapa sahaja terkurung di bilik makmal itu tak boleh bersuara apa-apa. Mereka akan dibelasah tentera boneka asal sahaja kedengaran gelombang suara.



Ketika itu Bung Hirman menyedari gelombang bunyi mudah dikesan oleh objek tentera-tentera boneka ketika bersembunyi di dalam belukar. Setiap kali melepaskan tembakan M-16 ke arah objek tentera boneka, tak satu pun objek berkenaan jatuh tersungkur. Lainlah kalau bertempur di medan perang, M-16 memang berkesan untuk menewaskan musuh.



Ternyata melawan strategi komputer, senjata M-16 bukanlah ampuh. Pantulan bunyi tembakan sama juga macam gelombang suara yang mudah dikesan. Tentera-tentera boneka semakin banyak mengepung.



Terjahan peluru yang menyinggahi logam tungsten objek tentera boneka tak terjejas bagaikan badan roket yang tak cair terkena haba panas. Pantulan cahaya dari mata tentera boneka juga boleh meranapkan pokok-pokok di sekeliling tempat dia berlindung.



Apabila diseru meletakkan senjata, tak bertangguh Bung Hirman keluar dari lokasi persembunyian. Sekaligus pula tentera boneka menggari tangan dan kaki. Dia diusung masuk ke dalam kenderaan bagaikan model keranda. Kemudian bergerak masuk ke dalam terowong di bawah terumbu batu karang.



Ketika melintasi telaga di bawah jambatan kecil, Bung Hirman melihat kocakan ombak laut. Percikan airnya naik ke tebing telaga seolah-olah tempias hujan. Selepas menyeberangi telaga berkenaan, dia terus dicampakkan ke bilik makmal berkenaan. Di situ tentera-tentera boneka yang berkawal mengheret dia naik ke atas katil. Dia terus digari sekalipun setelah dicampak ke katil.



Lama dia terlentang di katil hingga tak boleh bergerak ke kiri mahupun ke kanan, barulah Bung Superman pula dicampakkan ke bilik makmal tersebut. Tetapi dia tak boleh bersuara apa-apa. Asal sahaja mahu membuka mulut menegur rakannya itu, objek tentera-tenter boneka yang berkawal akan menerkam. Tahu sangatlah dia gelombang suara dapat dikesan objek tentera boneka berkenaan.



Setengah jam selepas Bung Superman diseret masuk, kelihatan pula Jojo dalam keadaan cedera di dada dan tangan ditolak ke bilik tersebut. Dia juga digari sekalipun mengalami kecederaan. Ketika menjadi tawanan memang mereka tak ada pilihan untuk membantah. Segalanya pasrah dengan takdir yang menimpa.



(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).



(bersambung)





PUISI LAMA



Sekali, Sekali!

Sekali membuka pura
Dua tiga hutang yang langsai.


Sekali mendayung perahu
Dua tiga pulau terlangsung.

Sekali jung berlabuh di pangkalan
Anjing bercawat ekor berpanjangan.


Sekali pelepah bawah jatuh ke tanah
Pelepah di atas jangan ketawa berdekah.


Sekali merpati makan di tangan
Jangan disimpan segala angan-angan.

Sekali tersauk ikan di bawah batang.
Belum tentu penuh keruntung dibawa pulang!


-A. Leman.
Bagan Datoh, Perak.
31 Oktober 2008.



BELASUNGKAWA KEPADA AKTIVIS TEATER
KEPUASAN NASIR ALI MENGHARUNG UJIAN



Aktivis teater tersohor di ibu kota, Nasir Ali, 55 meninggal dunia kira-kira jam 3.30 pagi ini (31 Oktober 2008) setelah beberapa lama menghidap ‘kencing manis’. Saya diberitahu mengenai berpulangnya ke rahmatullah Nasir Ali, apabila menerima panggilan telefon dari anak saya Khairil Nizam jam 5.00 petang ini. Nasir yang dedaktif dengan pembabitannya sebagai aktivis teater, pernah meletakkan jawatannya di DBKL semata-mata mahu melanjutkan pengajian seni lakon di Australia sekitar dekad 1990-an. Sekalipun menganggur apabila balik ke tanah air, tetapi Nasir merasakan kepuasan sebagai penggiat teater. Justeru tak hairanlah, beliau bersedia mengharungi segala ujian pahit getir, semata-mata memberi tumpuan kepada kegiatan berteater.




Pertama kali saya diperkenalkan kepada Nasir melalui Shafie Ibrahim aktivis teater sekitar dekad 1960-an dan 1970-an yang juga Pengerusi Angkatan Anivverseri Kuala Lumpur ketika itu. Di bawah pimpinan Shafie, Nasir mula terbabit dalam pementasan sempena Mauludir Rasul di surau Rumah Pangsa Sentul sekitar dekad 1970-an. Shafie meminta saya menulis skrip pantomen berjudul ‘Seksa’ yang diadaptasi daripada cerpen saya yang mempunyai judulnya yang sama. Secara beransur-ansur Nasir terbabit pula dalam drama TV diikuti filem, sekalipun diberi peranan kecil. Ketika skrip saya ‘Kosai’ (adaptasi dari novel ‘Jejak Pulang’) diterbitkan menerusi slot drama swasta, pada peringkat awalnya penerbit terbabit bersetuju menawarkan watak ‘Kosai’ kepada Nasir, tetapi di luar pengetahuan saya beliau diketepikan.


Justeru apabila penerbit yang sama mahu menerbitkan ‘Rakit’ yang diadaptasi daripada cerpen saya (pemenang hadiah pertama Cerpen Esso-Gapena 1981), saya mahukan Nasir diberi watak penting. Selepas diolah semula skrip berkenaan, saya bersetuju Nasir diberi watak antagonis. Beliau kerapkali kecewa apabila beberapa skrip saya yang diterbitkan oleh penerbit drama swasta meminggirkan namanya, menyebabkan saya juga mengambil sikap ‘berpuasa’ menulis skrip drama TV. Bagaimanapun satu ketika apabila pengarah Wak Sirim mahukan skrip, memang saya memberikan prasyarat mengambil Nasir. Saya menulis skrip ‘Rumah Pangsa’, sebaik sahaja Wak Sirim bersetuju memberikan watak Kassim (Baba) kepada Nasir. Begitulah!


Kali terakhir beliau meminta kerjasama ialah mementaskan teater ‘Ledak Kebangkitan’ sempena menyambut kemerdekaan 2006, di samping ‘Dunia Syukri’ untuk pertandingan teater Kuala Lumpur. Sekalipun teater ‘Ledak Kebangkitan’ dikritik oleh media, tetapi ianya diberi liputan meluas. Memang Nasir Ali menyedari kritikan yang disasarkan kepada teaternya disebabkan penulisnya (yang dianggap bukan pro kerajaan), tetapi beliau enggan menerima skrip yang lain. Ketika adiknya berhadapan dengan kes yang membabitkan perundangan, beliau tak berharapkan bantuan mereka yang pro kerajaan. Sebaliknya beliau lebih terhibur meminta bantuan saya bagi menyelesaikan kes tersebut. Bagi pihak PRIMA, saya mengucapkan takziah kepada keluarga Nasir Ali, semoga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya. Al-Fatihah.- (Pak Dharma)



INFO SUARA PROLITAR:


MURID SENIOR BELASAH RAKAN
SALAH DISIPLIN ATAU DISIPLIN SALAH?


Laporan berita TV3 malam ini, 31 Oktober 2008, seorang pelajar di Sekolah Tunku Abdul Malik di Kedah kena belasah. Dia dituduh mencuri oleh 10 seniornya. Tahap disiplin di sekolah nak salahkan siapa? Salah disiplin atau disiplin salah? Kalau guru-guru prihatin, di samping segera bertindak, perkara letakkan undang-undang di tangan sendiri boleh diatasi. Kadangkala guru-guru ‘sengaja cari salah murid’ bukan ‘membantu selesai masalah’. Akhirnya murid-murid senior bertindak sendiri. Kes macam ni, bukanlah baru. Banyak dah! Cuma yang kecil-kecil tu ibu bapa diamkan aje. – (SMS: 31 Oktober 2008; 20:43:16 – Hj Soh, Rawang, Selangor).



KOMENTAR
bersama Pak Parjo



ALKISAH HAKIM MELETAK JAWATAN
KADI YUSOF PULA MEMECAT DIRINYA


Syahdan tersebutlah alkisah akan Hakim Mahkamah Tinggi di negeri Melayu itu, Dato’ Ian Chin Hong Chong meletakkan jawatanlah ia, bulan hadapan. Pada suatu masa dahulu akan Dato’ Ian Chin itu pernahlah ia mengaku diugut pecat kalau keputusan yang dibuat tak memihak kepada kerajaan. Arakian tak tahulah fakir akan jawatan hakim itu, kerana pada masa dahukala fakir hanya kenal akan Tuan Kadi sahaja. Sebermula akan Tuan Kadi itu tempat semua orang banyak berhakim. Adapun kejadian Dato’ Ian Chin itu meletakkan jawatan hanya diberitahu oleh Orangkaya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, T Murugiah ketika ditanya orangkaya-orangkaya di Balairongseri. Maka akan Orangkaya Jerlun Dato’ Mukhriz Tun (Tabib) Mahathir, mahukan hakim itu dihadapkan ke tribunal (tak tahulah fakir akan maksudnya, kerana pada masa fakir dahulu tak pernahlah didengar perkataan itu), kerana kesalahan memberitahu pernah diugut itu.



Arakian Kadi Yusof pun jenuhlah, maka ia memecat dirinya daripada kadi, bernama Maulana Yusof. Maka anaknya pula menjadi kadi, bernama Kadi Menawar. Adapun Kadi Menawar itu, terlalu tahu menetakkan beladau. Ia belajar pada Raja Maluku yang datang menghadap ke Melaka itu. Apabila Kadi Menawar duduk dihadap segala muridnya, tempat duduknya itu berkisi-kisi. Maka kata Kadi Menawar pada segala muridnya, ‘Berapa batang kehendak tuan hamba, hamba putuskan kisi-kisi ini, hamba tetakkan dengan beladau hamba ini?’ Maka sembah segala muridnya, ‘Dua batang’. Arakian ditetak oleh Kadi Menawar, dua batang putus. Syahdan akan Kadi Menawar itu walau pun dia tempat berhakim, tetapi belajar jugalah ia akan ilmu kepahlawanan, kerana untuk berjaga-jaga bukanlah mahu mencari musuh seperti dikarang dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:



HIDUP BAHASA MELAYU!

Tuesday, October 28, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG

DEBAT TERBUKA PIMPINAN PEMUDA
DR KHIR TOYO MELONJAK DAN MARA

Assalamualaikum,


Cabaran yang dibuat calon Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bagi menggerakkan debat terbuka, seolah-olah melembabkan pencalonan ke atas pendahulu pesaingnya Dato’ Mukhriz Tun Dr Mahathir. Malah Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo yang menyambut cabaran Khairy juga bukan sahaja melepasi kouta pencalonan, malah terus menerima sokongan luar biasa. Sebaliknya Dato’ Mukhriz yang enggan berdebat, tiba-tiba menghadapi laluan lembab, ketika dua pesaingnya menerima pencalonan yang laju, maju dan teraju! Fenomena berkenaan seolah-olah mengimbau kembali persaingan bagi jawatan Ketua Pemuda pada 1982, apabila calonnya Dato’ Seri Anwar Ibrahim mencabar Dato’ Suhaimi Kamaruddin berdebat. Berikutan keengganan Dato’ Suhaimi berdebat, beliau tewas dengan majoriti 10 undi sekalipun menerima pencalonan yang banyak.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Dato’ Mustapha Mohamad pula mendakwa belum tiba masanya bagi UMNO menggerakkan perdebatan. Ironinya, kalau sekarang masih belum tiba masanya setelah 51 tahun merdeka, bilakah pula masa yang dinanti-nanti itu akan tiba? Tun Dr Mahathir Mohamad juga dilaporkan tak bersetuju digerakkan debat berkenaan, mungkin sahaja menyedari Dato’ Mukhriz bukanlah pemidato yang mampu berdebat. Apalagi isu debat pimpinan politik bukanlah perkara baru, malah sudah digerakkan sejak dekad 1960-an yang dipelopori oleh bekas Presiden Gerakan Profesor Syed Hussein al-Attas (Allahyarham). Ketika itu sasarannya ialah Menteri Pelajaran, Tan Sri Khir Johari (Allahyarham) dalm isu dasar pendidikan kebangsaan.

Bagaimanapun Tan Sri Khir enggan berdebat, sebaliknya menyambut cabaran tersebut dengan mencadangkan Tun Dr Mahathir, pengerusi biro pendidikan UMNO ketika itu menghadapi Profesor Syed Hussein. Sebaliknya Tun Dr Mahathir sendiri menyalahkan Tan Sri Khir yang mahukan perdebatan tersebut. Maknanya, sejak dekad 1960-an lagi Tun Dr Mahathir enggan menggerakkan perdebatan terbuka dalam isu politik. Justeru kesediaan Dato’ Seri Mohd Khir berdebat melonjakkan kualiti pimpinannya kepada perwakilan Pemuda UMNO apabila melepasi kouta pada 27 Oktober 2008, ketika beliau ketinggalan dengan 36 pencalonan sahaja. Khairy pula membuat cabaran untuk berdebat sebaik sahaja melepasi kouta 39 pencalonan. Begitulah!

Berikutan keengganan Dato’ Mukhriz menerima cabaran berdebat, beliau yang mendahului dengan 68 pencalonan sebelumnya, sekadar menambah dua pencalonan menjadi 70 pada 28 Oktober 2008. Berbeza dengan Dato’ Seri Dr Mohd Khir yang bersedia untuk berdebat melonjak kepada 47 pencalonan pada 27 Oktober 2008, malah memintas Khairy sekadar 46 pencalonan. Bagaimanapun pada 28 Oktober 2008, Khairy kembali mendahului Dato’ Seri Dr Mohd Khir dengan 48-47, di samping Dato’ Mukhriz kekal 70 pencalonan. Sekiranya Khairy dan Dato’ Seri Dr Mohd Khir mampu memintas Dato’ Mukhriz dalam persaingan seterusnya, maknanya isu debat terbuka mampu memutar jarum arloji kepada ‘cencaru makan petang’. Heh heh heh!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA


UMNO TOLAK PEJUANG PROLITAR
TREND PENCALONAN PIMPINAN TERTINGGI.

Bekas Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan di Parlimen (BBC) Dato’ Ruhanie Ahmad masih belum menerima sebarang pencalonan bagi jawatan MT UMNO hingga setakat hari ini (28 Oktober 2008), sekalipun beliau sudah mengumumkan menawar diri, kata aktivis budaya Yassinsalleh. Beliau melahirkan rasa terkilan dengan budaya UMNO sekarang lebih mementingkan ‘politik wang’, berbanding keikhlasan perjuangan apabila Dato’ Ruhanie (Ron) dianggap sebagai pejuang prolitar (marhaen) iaitu kelas bawahan. Menurut Yassinalleh, sepanjang perkhidmatan Dato’ Ron sebagai Pengerusi BBC, beliau merupakan Ahli Parlimen UMNO yang disegani oleh pihak pembangkang, apabila hujah-hujahnya mempunai fakta yang sukar ditangkis lawan. “Kalau UMNO meneruskan budaya menolak tokoh yang berprinsip, UMNO akan menjadi denosour,” beritahu Yassinsalleh selanjutnya.

Selasa lalu (21 Oktober 2008) Dato’ Ron mengumumkan menawar diri bertanding jawatan MT UMNO, Mac 2009 nanti sekalipun terlambat membuat keputusan tersebut. Dato’ Ron membuat tawaran tersebut selepas merasakan perlunya ‘pemikiran alternatif’ dalam MT UMNO, disamping kewajaran penulis laman blog diwakili menerusi pimpinan tertinggi UMNO. Justeru Yassinsalleh menambah, Bahagian-Bahagian UMNO yang masih belum mengadakan mesyuarat agung perlu mengambil langkah positif dengan mencalonkan Dato’ Ron bagi mengisi jawatan MT untuk memberi perimbangan dalam kesinambungan perjuangan bangsa. Setakat 28 Oktober 2008 Dato’ Noh Omar dilihat menerima pencalonan tertinggi bagi jawatan MT dengan 90 pencalonan. “Sekiranya UMNO mahu berubah perlulah membawa perubahan secara keseluruhan,” ujar Yassinsalleh menambah.

DBP WAJAR DIBERI KUASA KHAS
DAKWA SESIAPA PERLEKEH BAHASA

Penulis laman blog Sallehuddin Hashim mahukan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diberi kuasa menerusi undang-undang bagi mengambil langkah positif dalam isu Bahasa Melayu. Katanya, selagi tak diwujudkan agensi yang berfungsi mengawal selia Bahasa Melayu di bawah peraturan undang-undang, pelbagai pihak boleh melakukan tindakan sewenang-wenang memperlekeh Bahasa Melayu. Seterusnya Sallehuddin menambah, tak ada gunanya di mulut mengakui Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, tetapi tingkah laku memperlekeh kedaulatannya. Sallehuddin memberitahu demikian ketika mengulas langkah kerajaan negeri di Pulau Pinang mahu menggunakan empat bahasa bagi papan tanda jalan atas alasan negeri berkenaan sudah diiktiraf sebagai ‘tapak warisan’. “Memang aneh apabila sudah diiktiraf tapak warisan, ianya perlu memperlekeh Bahasa Melayu,” kata Sallehuddin.

Sementara itu Jurucakap PRIMA, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz menyifatkan langkah menggunakan empat bahasa bagi papan tanda di Pulau Pinang bukan sahaja memperlekeh Bahasa Melayu, malah secara terbuka kerajaan negeri Pulau Pinang sudah menerima pandangan Ketua Wanita Gerakan, Dato’ Tan Lian Hoe iaitu orang Melayu juga golongan imigran. Maknanya beritahu Dato’ Kamal Amir, orang Melayu menerima nasib Pak Kaduk ‘ayam menang kampung tergadai’ atau menjadi dagang di negeri sendiri. Seterusnya Dato’ Kamal Amir menggesa orang Melayu menerima ‘Deklarasi Janda Baik’ yang dirumuskan oleh penulis-penulis Melayu pada 26 Oktober 2008 lalu (sila rujuk http://msomelayu.blogspot.com/). “PRIMA menyokong ‘Deklarasi Janda Baik’ dan resolusi pada 21 Oktober 2008 di Kuala Lumpur,” beritahu Dato’ Kamal Amir.

INFO SASTERA & BUDAYA

NOVEL
‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz
(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan kelmarin…)

(26)

9
DENDAM BAPAK PROFESOR

DALAM KURUNGAN JADI TIKUS:
DI LUAR TUNJUK GAGAH PERKASA

BILIK makmal yang lengkap dengan peralatan teknologi tak ubah macam bilik kurungan juga. Pintu masuk ke bilik makmal berkenaan hanya dinding logam tungsten itu sahaja. Sekiranya dinding keluli padu itu berganjak ke tepi macam grill ditolak, barulah pintu ternganga. Tetapi sebahagian kecil dinding berkenaan sudah terbelengot bagaikan zink terpokah.

Ketika dinding kebal itu terbuka, Bapak Profesor tak terus membolos masuk. Dia berhenti sejenak memerhati bahagian dinding berkenaan yang terbelengot. Mendengus marah Bapak Profesor setelah menyedari kekebalannya mula tergugat. Tak disangka dinding keluli padu daripada logam tungsten itu boleh dimusnahkan.

“Aku beri tempoh 24 jam pada Kolonel Si Tongkol, kalau dia tak menyerah kamu semua akan dibunuh!” jerkah Bapak Profesor memerhati tiga orang tawanan yang terikat kaki dan tangan. Mereka tak mampu melawan disebabkan gari yang mencengkam pada pergelangan kaki dan tangan tak boleh dibuka. Suiznya terletak pada punat butang di tangan Bapak Profesor.

Tentera boneka yang berkawal tak banyak di dalam bilik makmal itu. Setiap tawan dikawal dua objek tentera boneka yang sentiasa dipantau oleh Bapak Profesor. Sebab itu para tawanan sekadar terlentang sahaja di katil menyerahkan diri kepada takdir Illahi.

“Di luar kamu seorang yang garang, kenapa di sini macam tikus?” Bapak Profesor membentak ketika melintasi katil Jojo.

Lelaki berketurunan India itu tak menyahut. Dia terkebil-kebil mata kerana terlalu ketakutan. Ketika itu dia merasakan dirinya memang kerdil. Bukan lagi pelaut yang gagah mengharung ombak bergelora. Kalau kebiasaannya dia menyergah tawanan dalam bilik kurungan, tetapi ketika itu dia sendiri dibuli oleh Bapak Profesor.

“Kenapa dia tak berani bersuara, apa kamu sudah bisu?” segera Bapak Profesor menampar pipi Jojo. “Nah, sekarang tunjukkan diri kamu anak jantan, opportunis!” sindirnya dengan menyimpan dendam.

Memang lama dia berdendam pada lelaki berkenaan. Sejak dicolek ketika masih lagi mengajar di Institut Teknologi Bandung, memang Jojo ikut terbabit. Lelaki itu sentiasa mengherdik asal sahaja dia merayu meminta simpati. Ketika dipaksa bekerja di institusi jana teknologi bawah tanah di Sweden pun, Jojo tetap berlagak keras terhadapnya.

Setiap kali berpindah randah di pekan-pekan kecil di utara benua Eropah itu, memang Jojo yang mengawal pergerakannya. Jojo akan membentak sekiranya dia enggan lakukan kerja-kerja mengikut jadual kumpulan gerila berkenaan.

Apabila dia dapat membolos diri dari kawalan setelah dibantu oleh Si Tongkol, tiba-tiba Jojo ikut sama menyertai kumpulan bekas kolonel tentera itu. Tahu sangat Bapak Profesor mengenai pakatan Si Tongkol seludupkan senjata api. Memang dia sendiri bangunkan jana teknologi di pulau kecil itu. Dia hasilkan objek tentera-tentera boneka terlebih dahulu, sebelum membina kilang senjata.

“Bapak Profesor tak wajar berdendam, saya hanya laksanakan tugas aje!” sahut Jojo menyedari orang tua itu menyimpan dendam terhadapnya.

“Laksana tugas mahu tunjuk kuasa, begitu?” Bapak Profesor mengherdik kuat. “Sekarang kamu boleh laksanakan tugas dan tunjukkan kuasa sekaligus!” sekali lagi Bapak Profesor menampar pipi lelaki tersebut.

(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).

(bersambung)


PUISI LAMA

Pembetulan Pantun Melayu

Anak indung anak ketitir
Anak merbah terlompat-lompat
Yang dikendong habis tercicir
Yang dikejar haram tak dapat.

Yang betulnya:

Anak indung anak ketitir
anak merbah terlompat-lompat
UMNO sombong, laluannya getir
PKR megah, harapan mendapat.

Bukit Putus, Rimba Keluang
Direndang jagung hangus berisi
Hukum putus badan terbuang
Dipandang gunung sama ditangisi.

Yang betulnya:

Bukit Putus, Rimba Keluang
direndang jagung hangus berisi
desas desus pemimpin dibuang
UMNO terdorong hilanglah visi.

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi baik dikenang juga.

Yang betulnya:

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
memang padan UMNO berpecah
Najib naik, samalah juga.

Pucuk pauh delima batu
Ikan semilang di tapak tangan
Walaupun jauh beribu batu
Jauh di mata di hati jangan

Yang betulnya:

Pucuk pauh delima batu
ikan semilang di tapak tangan
UMNO jatuh, Melayu bersatu
sejarah hilang dalam angan-angan!

-Alba,
Jelebu, N.S.
28 Oktober 2008.



INFO SUARA PROLITAR

PENDAPATAN PENEROKA RM1,000
DR YUSUFF NOOR DIMINTA KE FELDA

Dalam ‘Selamat Pagi Malaysia’, Pengerusi FELDA Tan Sri Dr Mohd Yusuff Noor beritahu pendapatan peneroka Felda tak kurang RM1,000 sebulan, walaupun harga pasaran dunia getah dan kelapa sawit jatuh. Sebaik-baiknya elok juga Tan Sri Dr Mohd Yusuff tinggal bersama peneroka dalam tempoh sebulan. Sekarang ini musim hujan, berapa hari sahaja peneroka boleh menoreh. Peneroka nak kerja di luar jadi pemandu lori atau bas ekspres, tentulah tak boleh. Tak siapa nak ambil pekerja sebulan dua sahaja.Gali kolam ikan pun tak berbaloi, sebab makanan ikan dah mahal. – (SMS; 28 Oktober 2008; 16:33:42 – Sali Long, Felda Titi, Jelebu).

SIAPA AGAKNYA AKAN DISALAHKAN
KALAU INSIDEN TAK DIINGINI BERLAKU?

Sekolah Menengah Hillcrest di Taman Seri Gombak, melancarkan kutipan derma bacathon.Pelajar-pelajar perempuan disuruh mengutip derma rumah ke rumah. Setiap pelajar perlu kutip tak kurang daripada RM30. Apabila pelajar dapat kutip RM20 sahaja, wang diambil kad dipulangkan. Suruh kutip lagi RM10. Pelajar-pelajar ini pergilah rumah ke rumah. Kalau berlaku insiden seperti Allahyarham adik Nurin Jasmin atau adik Sharlinie, siapa agaknya akan disalahkan. Guru-guru nak cari nama pada jabatan pelajaran, pelajar-pelajar disuruh jadi pecacai, begitukah? – (SMS; 28 Oktober 2008; 18:21:51 – Din Shah, Taman Seri Gombak, Batu Caves)

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

ORANGKAYA KUALA KANGSAR DIDESAK
FIKIR SEMULA PERIHAL PERALIHAN KUASA

Sebermula tersebutlah perkataan ketua segala perempuan akan harakah Melayu (UMNO) itu, Orangkaya Tan Sri Rafidah Aziz mendiamkan diri sahaja apabila diminta oleh orang banyak memikirkan perihal peralihan kuasa (sebenarnya silalah berundur). Arakian akan Orangkaya Tan Sri Rafidah percayalah ia segala perempuan harakah Melayu akan terus menyokongnya. Adapun ia masih lagi Orangkaya Kuala Kangsar; tak sama dengan bekas Orangkaya Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil kalahlah ia untuk jadi Orangkaya di Lembah Pantai. Syahdan bekas Orangkaya Tan Sri Aishah Ghani berkatalah ia hari ini 28 Syawal 1429 (28 Oktober 2008), bahawa sekalian anak-anak buah mahukan Dato’ Seri Shahrizat jua, adanya. Arakian, bukanlah bekas Orangnkaya Tan Sri Aishah sahaja berkata begitu, bekas Orangkaya Tun Fatimah Hashim juga turut meminta Tan Sri Rafidah memikirkan semula perihal peralihan kuasa itu, seelok-eloknya biarlah dipercepatkan. Heh heh heh!

Syahdan adapun Tun Fatimah disebut orang raja perempuan besar, tetapi apabila ia hamil dibuangnya. Maka titah Sultan Mahmud dengan Tun Fatimah, ‘Mengapatah maka tuan hami maka dibuangkan? Tiada sukakah tuan beranak dengan beta?’ Maka sahut Tun Fatimah, ‘Apatah kerja raja beranak dengan beta lagi kerana anak raja yang kerajaan telah ada.’ Maka titah Sultan Mahmud, “Jika tuan hamil sekali lagi, janganlah dibuang, jikalau ia laki-laki ialah kita rajakan.’ Telah itu maka Tun Fatimah pun hamillah pula tiadalah dibuangnya. Setelah genap bulannya, maka Tun Fatimah pun beranaklah perempuan, terlalu baik parasnya; serta jadi, disambut oleh Sultan Mahmud, lalu dicium baginda; dinamai Raja Putih, terlalu sangat dikasihi baginda, begitulah perihal kuasa dan pengaruhnya ketua sekalian perempuan itu di zaman dahulu seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:


HIDUP BAHASA MELAYU!