4
Restoran mamak yang terletak di
belakang premis Arena Printing kian galak menerima kunjungan orang ramai. Aku
duduk berhadapan dengan kak Lin, manakala abang Joe duduk di sebelah isterinya.
Kata abang Joe, kak Lin bekerja di butik kecantikan yang terletak di bangunan
kedai bertentangan dan Arena Printing. Jadi, sudah boleh aku jangkakan detik
pertemuan mereka.
Abang Joe dan kak Lin memesan roti
canai telur, manakala aku pula hanya memesan roti bakar. Itu sudah cukup untuk
mengalas perut. Apabila pesanan kami sampai, kami terus menikmati hidangan itu
sambil berbual kosong. Sungguh, aku berharap ada cerita yang dapat aku dengar
daripada abang Joe saat ini. Cerita tentang encik Afdhal. Entah kenapa aku
dapat rasakan yang abang Joe akan bercerita padaku.
“Abang, ayang gerak dululah ya, dah
lambat ni. Nanti tak pasal-pasal cik Dahlia kena tunggu kat luar.” Kak Lin
segera menghabiskan baki milo ais yang masih tinggal.
“Aik, takkan bos tak ada kunci?”
balas bang Joe.
“Tak sempat buat lagi, kan hilang hari
tu. Ayang gerak ya.”
Sejurus mencium tangan abang Joe,
kak Lin mula menghilang. Aku pula segera menghabiskan roti bakar yang masih ada
sedikit lagi. Pasti kami juga perlu kembali ke Arena Printing.
“Betul Ana nak tahu pasal Afdhal
ni?” abang Joe tiba-tiba bersuara.
“Hah?” aku tercenggang. Seakan tak
percaya mendengarnya. Memang itu yang aku tunggu-tunggukan.
“Okay, abang Joe rasa... abang Joe
boleh percayakan Ana. Tapi ada satu syarat.”
“Apa dia?” soalku, sudah tidak
sabar.
“Jangan cerita kat orang lain.
Boleh?”
“Insya’ALLAH. Ana simpan rahsia.”
Abang Joe tarik nafas. Lama dia
memandang penyedut minuman yang dipusingkan berkali-kali, mengacau air dalam
gelasnya.
Aku pula penuh semangat, setia
menunggu abang Joe memulakan cerita. Kisah yang sememangnya ingin aku tahu.
“Mungkin ini dugaan dia...” perlahan
cerita dimulakan.
“Maksud abang Joe?” sudah ada soalan
yang diajukan walaupun penceritaan abang Joe masih terlalu awal.
“Ana rasa encik Afdhal tu macam mana
orangnya?”
Soalan abang Joe membuatkan dahiku
berkerut. “Nampak pelik!” hanya jawapan itu yang dapat aku berikan.
“Pelik kenapa?”
“Entahlah abang Joe. Kadang-kadang
encik Afdhal tu nampak macam okay. Kadang-kadang pula nampak macam orang tak
betul pun ada.” Aku berterus terang. Memang itu yang aku rasa.
Abang Joe diam seketika. Kemudian
abang Joe kembali bersuara. “Abang sendiripun dah tak tahu nak buat apa.
Macam-macam cara abang dah cuba. Tapi Afdhal sikitpun tak berubah. Tetap macam
tu juga.”
Penceritaan kedengaran semakin
rumit. Sedangkan intipatinya satupun aku tidak tahu. Memang aku tidak faham.
Tapi itu tidak bermakna aku mahu berhenti mendengar. Jadi aku biarkan saja
abang Joe terus berkata-kata.
“Betul cakap ana. Abang dah tak
boleh nak tipu sesiapa lagi. Semua orang boleh nampak.”
Aku kembali memikir. Kata-kataku
yang mana, yang dimaksudkan oleh abang Joe? Encik Afdhal tak betul? Adakah itu?
“Abang dah give up. Sekarang ni abang cuma boleh tolong uruskan apa-apa yang
patut aje. Lebih daripada tu abang dah tak sanggup. Afdhal takkan boleh baik.”
Jauh abang Joe merenung ke luar restoran. Ada riak kesal pada wajahnya. Sedikit
takungan air juga kelihatan di tubir matanya.
Aku sudah dapat menangkap maksud
abang Joe. Cuma aku tidak tahu kisah itu dengan lebih dalam. Patutkah aku
bertanya lagi? Rasanya tidak! Cukup setakat ini dahulu. Mungkin sampai masanya
nanti aku akan ketahui juga semuanya.
“Kalaulah ditakdirkan abang yang
pergi dulu, siapalah yang nak tengokkan dia?”
Abang
Joe masih bercerita.
Pada awalnya aku juga terdiam. Namun
ada sesuatu yang membuatkan aku beranibbersuara. Baru kini aku teringat. “Apa
yang abang Joe risau? Family encik
Afdhal kan ada? Takkan Fina tak boleh jaga abang dia sendiri?” aku cuba
menenangkan abang Joe. Lagipun sememangnya encik Afdhal punya keluarga. Takkan dia dibuang keluarga pula?
Itu mustahil. Fina tidak pula pernah bercerita begitu.
“Afina?”
“Ha’ah, Afina... adik kandung encik
Afdhal. Takkan abang Joe tak kenal?”
“Sejak bila Afdhal ada adik? Kalau
adapun dah meninggal sebelum sempat lahir.”
“Eh, bukan Fina tu...” aku sudah
hilang kata. Adakah itu bermakna Fina berbohong padaku? Tapi untuk apa Fina
berbuat begitu?
“Tak ada. Afdhal tu sebatang kara.
Dia jadi macam tu pun sebab...” abang Joe tidak menghabiskan katanya.
“Sebab?” aku cuba mendesak agar ayat
itu dihabiskan sehingga ke titik noktah.
“Ana tak payah tahulah.” Abang Joe
enggan berkongsi.
“Kalau Ana nak tahu juga?”
“Tak payahlah Ana. Kalau Ana tahu
sekalipun, Ana takkan boleh buat apa-apa.”
“Abang Joe pandang rendah pada Ana.”
Aku rasa tercabar.
“Bukan macam tu. Abang Joe
sendiripun tak boleh buat apa-apa. Inikan pula Ana yang tak ada kaitan langsung
dengan Afdhal. Bukan masalah biasa-biasa tau, Ana. Ini dah kira masalah mental.”
“Siapa kata Ana tak boleh buat apa-apa?
Abang Joe kenal Ana pun baru sehari, dua. Abang Joe tahu tak yang Ana ada kenal
dengan pakar psikologi?” aku cuba membina maruah.
“Setakat pakar psikologi tak
payahlah, Ana. Dah banyak pakar psikologi yang abang bawa jumpa dengan Afdhal.
Tak lut langsung. Satupun tak jalan. Abang tak percaya dah. Pakar psikologi
konon. Ceh!” abang Joe nampak tidak berpuas hati.
Aku rasa terbakar apabila kerjaya
abang Naim bagai dipijak-pijak oleh abang Joe. Berani dia memperlekehkan
kepakaran seorang pakar. “Alah, pakar yang lain Ana tak tahulah. Ini bukan
sebarangan pakar tau!”
“Dahlah, Ana. Nama aje pakar. Tapi
tak pakar manapun. Kes macam Afdhal pun tak boleh nak settle. Ana jangan kena tipulah. Lagipun mana pula Ana kenal pakar
psikologi ni? Ana pun ada masalah mental juga ke?” abang Joe ketawa kecil.
Bahang panas semakin terasa. Abang
Joe semakin melampau. Terasa seperti abang Naim dikecam hebat. Memang tak puas
hati dibuatnya. Pantang datuk, nenek moyang aku, perkara berkaitan dengan abang
Naim dibuat main dan diperlekehkan. “Pakar psikologi tu, bakal tunang Ana tau,
abang Joe!”
Abang Joe terdiam. Begitu juga
dengan aku. Entah bagaimana aku boleh berkata begitu? Mungkin kerana terlalu
marah, maka akupun terlepas kata. Oh, tidak!
MASALAH!
Hanya perkataan itu yang tidak sudah-sudah menampakkan wajah di minda. Mana
tidaknya, gara-gara mulut lancang berbicara tanpa berfikir panjang, tidak
pasal-pasal kini aku dirayu oleh abang Joe untuk membantu encik Afdhal.
Apa
aku nak buat sekarang? Walaupun terbit rasa kasihan di hati buat encik Afdhal,
namun sikitpun aku tidak punya niat untuk membantu. Aku hamburkan kata-kata
tadi semata-mata ingin mempertahankan abang Naim. Itu sahaja. Tapi, lain pula
jadinya.
Abang
Naim. Betulkah dia seorang pakar psikologi? Kalau ikutkan cerita Pak Lang,
memang dah jadi tugas abang Naim membantu orang yang punya masalah yang sama
seperti encik Afdhal. Pakar psikologi lah tu kan? Persoalannya, bagaimana untuk
aku katakan pada abang Naim supaya membantu encik Afdhal? Takkan percuma? Kalau
percuma, mahukah abang Naim membantu?
Serabut
aku dibuatnya. Jadi aku hanya mendiamkan diri sepanjang perjalanan pulang,
kembali ke Arena Printing.
“Diam
aje dari tadi ni, kenapa?” abang Joe bertanya.
“Tak
ada apa-apalah, abang Joe. Tak ada apa nak cakap.” Aku balas hambar. Sendiri
cari masalah. Macam mana aku mahu tarik semula kata setuju yang aku berikan
untuk membantu encik Afdhal?
Perjalanku
terhenti saat melihat encik Afdhal berdiri di hadapan pintu kaca Arena
Printing. Ya, masih melakukan aktivit yang selalu itu. Teruk sangat agaknya
sakit encik Afdhal ni.
“Abang
Joe.” Jeritku sedikit kuat apabila abang Joe sudah agak jarak di hadapan.
Abang
Joe berhenti, menoleh padaku. Dahinya dikerutkan sambil mengangkat-angkat
keningnya. Mungkin bertanya apa mahuku? Kenapa aku berhenti di situ? Kemudian
aku berjalan pantas mendapatkan abang Joe yang masih menunggu.
“Abang
Joe, nak tanya sikit lagi boleh”
“Apa
dia?”
“Kenapa
Ana tengok encik Afdhal tu, hari-hari buat benda yang sama? Tu pun sebab
masalah dia juga ke?” soalku.
“Dia
buat apa?” abang Joe tidak dapat membaca maksudku.
“Iyalah,
tiap-tiap pagi berdiri depan pintu kaca tu sambil baca surat khabar. Baju pula
tu hari-hari warna hitam. Itu memang simptom orang adalah masalah jiwa, ke?”
Abang
Joe ketawa besar.
“Abang Joe, ni... Ana tanya betul-betul, dia
ketawakan pula.” Aku tunjuk riak tidak puas hati.
“Ana...
Ana...” Abang Joe sudah mula berhenti ketawa. “Semangat betul nak tolong encik
Afdhal, ya.” Tambah abang Joe lagi.
“Abang
Joe, Ana tanya betul-betul ni. Nanti Ana tak nak tolong baru tahu.” Aku
hidangkan sedikit kata ugutan untuk pendengaran abang Joe.
“Amboi,
pandai ugut dah sekarang. Okaylah. Pasal berdiri depan pintu kaca tu, abang Joe
memang tak tahu kenapa. Memang hari-hari dia macam tu. Kalau Ana nak tahu,
surat khabar tu bukan dia bacapun. Just
pegang untuk tutup muka.”
“Hah,
kenapa pula macam tu?” aku bertambah pelik.
“Tak
tahulah abang. Ana carilah sendiri kenapa.” Senang jawapan balas dari abang
Joe.
“Sejak
bila encik Afdhal mula berdiri kat situ?” lagi aku ajukan soalan. Bukan sudah
bersedia, rela menerima tugas untuk
membantu encik Afdhal. Semua pertanyaanku itu sekadar ingin tahu.
“Lama
dah, sejak tahun lepas.” Jelas abang Joe.
“Pasal baju pula, untuk pengetahuan Ana, dah bertahun-tahun Afdhal cuma
pakai baju warna hitam. Tak ada warna lain.”
“Kenapa
pula?”
“Entahlah,
Ana. Susah abang nak cakap. Tapi yang abang tahu, Dia memang tak ada baju colour lain. Semua hitam.”
“Encik
Afdhal tu ada joint Black Metal kut?” aku buat andaian. Mana tidaknya, setahu
aku hanya golongan Black Metal saja setia dengan warna hitam ni.
“Ish,
merepek aje Ana ni. Mana ada. Abang kenal Afdhal tu dari kecil lagi tau. Semua
yang dia buat, semua abang tahu.” Abang Joe tidak membenarkan kata-kataku.
“Dahlah, jom.” Kini abang Joe kembali melangkah.
Kalau
bukan Black Metal, habis tu apa? Bebelku sendiri sambil mata terus memerhati
pada encik Afdhal yang masih begitu statik! Ketika abang Joe sampai di Arena
Printing, aku baru mula menambah langkah untuk sampai ke tempat yang sama.
Aku
perhatikan abang joe hanya membiarkan encik Afdhal begitu. Sikitpun abang Joe
tidak menegur encik Afdhal. Dia terus masuk ke dalam tanpa memandang encik
Afdhal sekalipun. Kedua-dua lelaki itu memeningkan kepala.
Saja
aku memperlahankan langkah. Mahu memerhati tindakan lanjut encik Afdhal. Apa
agaknya yang membuatkan dia setia berdiri di situ? Kalau difikirkan berulang
kali, takut nanti aku pula yang mengalami tekanan. Baik aku dapatkan jawapan.
Sesekali,
encik Afdhal mengeluarkan kepalanya daripada halangan surat khabar. Seolah dia
mencari sesuatu. Aku soroti pandangannya itu. Langsung aku tidak temui apa-apa
yang menarik. Sah gila ni! Kesian, gila pada usia muda! Jadi aku kembali
melajukan langkah kaki. Ada baik ikut saja cara abang Joe tadi. Jangan hiraukan
encik Afdhal.
SELESAI
mengambil wuduk, aku kembali menyarung tudung. Mahu segera ke ruangan solat.
Nampaknya akulah orang pertama yang akan menggunakan ruang solat itu. Ini
bermakna, akulah yang bakal merasmikannya. Aku tersenyum sendiri sambil
berjalan. Alhamdulillah. Mudah sikit nak solat.
Sementara menunggu waktu zuhur
masuk, aku duduk di atas sejadah yang aku bawa dari rumah Pak Lang. Zikirullah
membasahi lidah. Hati jadi tenang dengannya. Harap amalan kecil itu dapat
membantu di akhirat kelak.
“Hoi!”
Aku mengankat wajah apabil suara
yang berteriak itu seperti tertuju padaku. Encik Afdhal! Alamak, apa pula yang
dia nak ni? Ada sedikit getar dalam hati. Terus aku bangun “Ya, encik Afdhal?”
“Jangan ingat kau dah settle kan semua, kau boleh sembahyang
sesuka hati kau.” Jerkah encik Afdhal tiba-tiba.
“Kenapa ni, encik Afdhal?”
“Kau dengar sini baik-baik. Kalau
kau nak sembahyang, itu kau punya pasal. Yang aku tahu, aku tak nak tengok ada
orang sembahyang depan mata aku. Faham!”
Aku terdiam. Arahan jenis apakah
ini? Tengok orang sembahyang pun tak boleh? Ini dah kategori gangguan jiwa tahap
kritikal! Jadi aku hanya mendiamkan diri. Tidak ada guna bercakap dengan orang
yang sudah terganggu emosi. Mungkin dia sendiri tidak sedar apa yang
diperkatakannya.
“Tak habis-habis sembahyang, dia
sembahyang, semua nak sembahyang. Pening kepala akulah...”
Kata-kata itu dibicarakan oleh encik
Afdhal sambil berjalan pergi. Samar-samar ianya kedengaran. Dan aku pasti
banyak lagi yang dibebelkan encik Afdhal kerana aku masih mampu mendengar bunyi
percakapannya. Cuma tidak jelas perkataannya.
Aku
gelenggekan kepala. Ada terkesan di hati. Apa yang menyebabkan encik Afdhal jadi
begitu? Ada kalanya dia kelihatan elok-elok saja. Namun sampai satu ketika
pula, tingkah lakunya berubah sama sekali. Mengapa? Perlukah aku cari jawapannya?
Patutkan aku menunaikan janji untuk membantu encik Afdhal? Aku tidak dapat
membuat keputusan pada ketika ini.
MAKAN
malam hari ini begitu istimewa. Kerana apa? Sudah pasti kerana abang Naim ada
bersama. Bukan senang nak dapat duduk macam ni. Pak Lang, Mak Lang, Abang Naim
dan aku. Memang macam sebuah keluarga bahagia. One happy family at home!
Abang Naim mengetuai bacaan doa
seperti arahan Pak Lang. Itu menjadikan abang Naim nampak cukup berkarisma sebagai ketua keluarga. Alangkah
bahagianya kalau abang Naim punya rasa yang sama, seperti yang aku rasa. Dengan
itu aku akan jadi manusia yang paling bahagia dalam dunia.
“Macam mana kerja hari ni, Naim?”
Pak Lang bertanya.
“Alhamdulillah, ayah. Semuanya
okay.” Balas abang Naim.
“Okay? Habis tu kenapa muka Naim
nampak macam tak okay aje?” Pak Lang seolah dapat membaca riak wajah abang
Naim.
Abang Naim diam. Setelah dia meneguk
air baru abang Naim menjawab. “Tak ada apalah, ayah. Naim cuma rasa tak sedap
aje. Sebab sekarang Naim banyak kena pegang kes cubaan membunuh diri.”
“Astagfirullahalazim... kenapa jadi
sampai macam tu?”
“Biasalah, ayah. Gangguan emosi ni,
bukan benda main-main. Kalau yang memang nampak dari luaran tu, senang sikit
nak rawat. Tapi yang menjadi masalahnya bila simpan sendiri. Simpan sampai satu
tahap, dah tak boleh tahan terus aje nak bunuh diri.”
Pak Lang dan Mak Lang menggeleng.
Tidak henti lafaz istigfar dari mulut mereka.
“Banyak sangat ke kes macam tu,
Naim?” soal Mak Lang pula.
“Taklah banyak macam dekat
negara-negara luar tu, Umi. Mungkin sebab majoriti kita orang Islam. Cuma
sekarang ni, bunuh diri ni, dah macam jadi
trend pula. Putus cinta bunuh diri, gagal exam pun nak bunuh diri.
Macam-macamlah, umi. Itu yang kita orang tengah buat kajian. Kalau dibiarkan,
makin parah jadinya.” Terang abang Naim panjang lebar.
Saat ini aku aku teringatkan encik
Afdhal. Entah, kenapa lelaki itu selalu saja muncul dalam kotak fikiran sejak
dari pagi tadi. Rasa kesal pula sebab mendesak abang Joe sehingga abang Joe
menceritakan semuanya. Nasi yang masih banyak dalam pinggan sudah tidak
tertelan.
Kata-kata
abang Naim tadi seakan merentap jiwa. Encik Afdhal tu, sudahlah duduk di atas
bumbung. Kalaulah dia bunuh diri malam ni, aku pasti akan rasa berdosa. Berdosa
kerana tidak membantu walaupun mengetahui. Ish, Nauzubillah... jauhkanlah encik
Afdhal daripada melakukan semua kerja bodoh itu. Sia-sia hidup di dunia kalau
akhirnya ke neraka!
“Ana...”
“Hah!”
aku tersentak apabila terdengar namaku disebut.
“Jauh
mengelamun. Ana okay?” abang Naim memandang tepat.
“Okay...”
aku tunjukkan senyuman.
“Kenapa
tak makan?”
“Eh,
tak ada apa-apa. Nak makanlah ni.” Terpaksa juga aku menyuap nasi masuk ke
dalam mulut walaupun tekak sudah menolak sejak tadi.
“Ana
kalau ada apa-apa, bagi tahu abang. Jangan simpan sendiri. Abang tak sanggup
nak handle kes Ana, tau.”
Peringatan
yang abang Naim berikan itu membuatkan aku rasa disayangi. Terima kasih abang
Naim.
“Dahlah,
Naim. Tak payahlah bercerita pasal kerja kat rumah ni. Kita bercerita pasal
keluarga lagi bagus.” Mak Lang membuat permintaan.
“Pasal
keluarga? Apa lagi yang tak kena pasal keluarga kita ni?” Soal Pak Lang sambil
mencuci tangannya.
“Bukan
tak kena bang haji. Naim ni ha, nak juga saya tahu bila dia nak kahwin?” Mak
Lang bersungguh.
“Nak
kahwin macam mana Umi. Ana kan tengah belajar lagi.” Abang Naim menjawab laju.
“Apa
pula kena mengena dengan Ana? Naim nak kahwin dengan Ana, ke?” soal Umi penuh
terkejut.
“Masa
kecil-kecil dulu, Ana ada cakap dengan Naim yang Ana nak kahwin dengan Naim,
Umi. Ini yang Naim nak tuntut janji.”
Aku
tersedak mendengar kata-kata itu. Mak Lang segera menepuk belakangku. Pasti
merah wajahku saat ini. Abang Naim seronok ketawa.
“Kamu
ni, Naim. Dari kecil, sampai besar... tak sudah-sudah mengusik Ana.” Marah Pak
Lang.
Abang
Naim masih dengan tawanya. “Siapa suruh Ana janji dulu, ayah. Naim ingatkan
aje.”
Kalaulah
aku boleh terbang, dah lama aku terbang tinggi. Malunya. Betul ke, aku buat
janji sebegitu waktu kecil dulu? Aku tak ingat. Namun ianya tidak mustahil. Kan
pada kecil aku memang kagum dan sukakan abang Naim.
“Naim...”
Mak Lang turut memberi amaran pada anak lelakinya.
Aku tunduk sendiri. Mujur batuk yang keluar tidak
lama mana. Segera aku basuh tangan, dan mengangkat pingganku ke dapur tanpa
sebarang kata. Malu punya pasal. Tapi dalam diam, ada bahagia sedang membuat
sarang di hati. Kalau betul aku pernah berjanji begitu, sudah pasti aku akan
tunaikannya. Abang Naim!
Bersambung....
KATA AH :
Assalamualaikum. Salam Sejahtera. Kali ini AH postkan entry JJC 4 lebih awal. Semoga semua sukakannya. Terima kasih atas sokongan Semua.
P/S : AH dapat makluman drpd penerbit Mungkin Novel Saat Ada Cinta akan ada di pasaran bulan Jun atau Julai nanti. Sama2 Kita tunggu ya.. :)