12
Sebenarnya kakiku amat malas untuk
melangkah ke pejabat hari ini, namun kerana Alia terpaksa juga aku melangkah ke
pejabat pada hari sabtu begini. Aku ingin mengelak dari ajakan Alia yang tidak
sudah-sudah mahu aku ke sekolahnya bagi meraikan hari keusahawanan yang
berlangsung di sekolahnya hari ini. Malas aku mahu menurut semua kemahuannya
itu. Nanti macam-macam lagi yang dimintanya daripadaku. Jadi langkah yang paling
selamat untuk mengelakkan, aku pura-pura bergegas bersiap untuk ke pejabat.
Masuk sahaja ke ruang lobi yang
lengang tanpa sesiapa aku melangkah ke set sofa yang terdapat di ruang lobi
itu. Hari sabtu begini agak kurang pekerja-pekerja di wisma ini yang datang
bekerja kerana kebanyakkan syarikat mengamalkan cuti pada hari sabtu. Cuma ada beberapa
syarikat di wisma ini yang membuka syarikat pada hari sabtu. Jadi suasana agak
sunyi, hanya beberapa pengawal keselamatan sahaja yang ke hulu dan ke hilir,
memastikan keselamatan bangunan sedari tadi.
Telefon bimbitku bernyanyi meminta
perhatianku. Melihat nama Zulhairi yang tertera mengundang senyuman di bibir. Entah
apalah yang dia mahu. Dia jika tidak mengangguku di awal pagi begini tidak sah
rasanya.
“Assalamualaikum.” Aku memulakan
kata sebaik sahaja talian itu aku sambut.
“Kat mana?”
“Amboi, kut iya pun tak sabar nak
tahu aku kat mana, at least jawaplah
salam aku dulu.” Aku bagi nasihat. Zulhairi kalau sudah tidak sabar memang
begitulah perangainya. Pasti dia mahu dapatkan pertolongan daripadaku saat ini.
Itu yang tidak sabar semacam. Mungkinkah kerana Madihah? Aku terus mengukir
senyuman dalam diam. Bagus juga tu.
“Okay, okay… Waalaikumusalam. Kau
kat mana ni?”
“Office.”
Balasku cepat, aku tidak mahu dia terus tertanya-tanya dan tertunggu-tunggu
jawapan dariku. Terdesak sangat rasanya dia hari ini. Entah apalah yang
bunyinya penting sangat.
“Dah agak dah.” Keluhan kecilnya
terdengar di telingaku.
“Kenapa?”
“Kau buat apa kat office
hari-hari cuti ni?” nada tidak puas hati jelas ketara pada nadanya.
“Kerjalah. Ada ke orang pergi shopping kat office? Apa punya soalanlah kau ni.”
“Syarikat kau kan cuti hari sabtu.
Yang kau gatal-gatal pergi kerja tu buat apa?”
Aku sudah mengaru kepala, apa
kenalah dengan Zulhairi hari ini? Rasanya sebelum-sebelum ini pun pernah juga aku
bekerja pada hari sabtu, tak pernah pula dia mahu menimbulkan isu seperti hari
ini. Apalah sebenarnya yang bermain dalam kepala dia tu?
“Alah, saja je. Aku banyak kerja
yang nak ke…”
“Kau tak payah nak kelentong akulah.
Macamlah aku baru kenal kau semalam. Kau pergi kerja hari ini sebab nak
mengelak pergi sekolah Aliakan? Kau sahaja nak larikan dirikan? Pandai gila kau
nak mengelakkan.”
Belum
sempat aku menghabiskan kata Zulhairi pantas memotong. Bukan main lancar ayat
itu meluncur keluar dari mulut Zulhairi.
Ya,
semua yang Zulhairi cakapkan itu memang betul. Tidak sedikit pun tersasar.
Susah betul aku nak menipu kawanku yang seorang ini. Jadi aku hanya mendiamkan
diri. Malas mahu memanjang isu. Aku amat berharap dia terus meletakkan telefon
tanpa memanjangkan perbualan.
“Kau
tunggu aku kat lobi, lagi lima minit aku sampai. Aku tengah on the way”
“Kau
nak buat apa datang sini. Kau pun kerja juga ke ?” aku agak terkejut.
“Ish,
kau nilah. Aku nak ambik kaulah. Kita sama-sama pergi sekolah Alia hari ni.”
Cadang Zulhairi tanpa mendapat persetujuan dariku.
Aku
cukup tersentak. “Eh, nak buat apa pergi sekolah Alia?” Aku sudah semakin
kalut. Bermati-matian aku mengelak diri, alih-alih Zulhairi pula yang
mengajakku ke sana.
“Dah,
kau jangan pura-pura tak tahu. Dan lagi satu kau jangan memandai-mandai nak
mengelak ye. Kalau kau mengelak juga, tahulah nasib kau nanti.
Assalamualaikum.”
Zulhairi
terus mematikan talian sebelum sempat aku menjawab salam. Aku merengus nafas
kencang. Geram apabila dipaksa sebegitu. Mata aku pejam seketika sambil menarik
nafas dalam. Cuba untuk mengawal rasa tidak puas hati yang bertandang.
Aku mula membuka mata apabila terasa
ada yang duduk di sebelah. Terasa diperhatikan. Apabila mata lapang terbuka,
wajah Wafi yang tersenyum memenuhi ruangan mata. Terkejut aku dibuatnya. Dia
memandangku tanpa berkelip. Aku membetulkan duduk yang terasa canggung dengan adanya
pandangan sebegitu.
“Assalamualaikum.” Sapanya, masih
dengan senyuman yang panjang.
“Waalaikumusalam.” Balasku juga
dengan senyuman yang aku rasakan tidak berapa menjadi.
“Jom sarapan.” Pelawanya membuatkan
benakku berkerja keras mencari alasan untuk menolak ajakkannya itu.
Aku terdiam agak lama. Mulutku
terasa berat untuk mengeluarkan walau sepatah kata. Sejak dia menolongku
beberapa hari lalu aku seolah-olah sudah tidak dapat mengelak lagi dari
dirinya.
“Jangan nak kata yang awak dah
sarapan. Baru pukul 7.30 ni, takkan dah sarapan? Lagipun muka awak tu tak macam
orang yang dah sarapan.” Lembut sahaja ayat yang dituturkan Wafi seperti mana
kebiasaannya.
“Memang tak sarapan lagi, sebab aku
memang tak nak sarapan hari ni. Malas. Lagipun aku tengah tunggu Zul, dia nak
datang ambil aku” Aku sangat berharap alasan yang aku berikan itu dapat
diterima. Lagipun aku tidak mereka-reka alasan itu.
Wajah Wafi terus bertukar riak apabila
nama Zulhairi aku bawa ke dalam perbualan kami. “Ambil awak? Awak dengan dia
nak pergi mana? Bukan awak baru sampai wisma ni ke? Takkan dah nak balik?”
Pelbagai soalan Wafi ajukan. Senyumannya juga sudah hilang entah ke mana.
“Memanglah saya baru sampai.
Ingatkan nak sambung buat kerja sikit hari ni. Tapi tulah ada hal sikit dengan
Zul sekejap lagi.”
“Hal apa?” Wafi masih lagi kelihatan
tidak puas hati.
Aku mengeluh dalam hati. Tadi
Zulhairi, sekarang Wafi pula yang cuba mencabar kesabaranku. Kenapalah banyak
sangat soalan yang perlu aku jawab hari ini? Kalau boleh mahu sahaja aku
melenyapkan diriku sendiri dari berhadapan dengan Wafi yang tidak berhenti
bertanya, juga daripada Zulhairi yang akan tiba tidak lama lagi. Aku jadi lemas
tiba-tiba.
“Hal apa?” sekali lagi soalan itu
Wafi ajukan untukku.
“Tak ada hal apa sangat pun. Hal
biasa-biasa je.” Aku seboleh-bolehnya tidak mahu Wafi mengambil tahu hal
diriku. Lebih-lebih lagi apabila ianya melibatkan hal adik-adikku.
“Kalau…” belum sempat Wafi
menghabiskan katanya. Zulhairi sudah berdiri terpacak di hadapan kami dengan
ucapan salam.
Aku terus bangun dan menjawab salam
yang dihulurkan Zulhairi. Wafi turut bangun sama. Zulhairi mengunjukkan tangan
dan disambut kemas oleh Zulhairi. Kedua-duanya saling berbalas senyuman.
“Jom.” Tanpa sebarang kata pada
Wafi, Zulhairi terus tersenyum padaku pula.
“Su, saya joint boleh?”
Aku yang masih lagi kalut untuk
membuka langkah terbejat dengan tindakanku sendiri. Soalan Wafi itu terasa amat
janggal di telinggaku. Terasa pelik pun ada. Aku memandang Zulhairi. Zulhairi
juga menunjukkan air muka yang sama.
Aku baru mahu membuka bicara, tapi
mulut Zulhairi lebih pantas dari tindakanku.
“Bukan tak boleh Wafi, tapi kita orang
ada hal family sikit hari ini. Lain
kalilah ye kau joint kita orang.”
Zulhairi menjawab bagi pihakku.
Hal family? Aduh, jawapan Zulhairi ini pasti akan mengundang lebih
daripada seribu persoalan di minda Wafi. Aku yakin, lagi aku berlama-lama di
situ, lagi banyak soalan yang akan dia ajukan buatku. Dan aku pasti bertambah
lemas dan rimas.
“Kita orang gerak dululah, Wafi.”
Aku terus membuka bicara apabila terlihat Wafi seakan mahu mengajukan soalan
pada Zulhairi. “Jom, Zul.” Aku terus bergerak dan Zulhairi turut mengikut jejak.
AKU
dah agak, tekaanku sedikitpun tidak meleset. Masuk sahaja dalam kereta
Zulhairi, terus aku kena sembur. Kuat membebel pula dia hari ni. Sakit telinga
aku. Tadi masa beriringan masuk ke dalam kereta ini tidak pula dia mahu membebel.
Diam saja, tak mahu berkata-kata. Lepas jejak sahaja dudukku ke dalam kereta,
Zulhairi tak henti-henti bercakap.
“Buat penat aku tekan loceng rumah
kau bertalu-talu, rupanya kau tak ada kat rumah. Nasib baik aku ni bijak, tahu
mesti kau pergi pejabat hari ini.” Bebelnya masih lagi berterusan.
“Kau ni jangan membebel boleh tak?”
marahku.
“Kau tu kalau aku tak membebel, kau
bukan nak dengar cakap. Keras sangat hati dan perasaan tu.” Zulhairi membalas
kata.
Aku merengus sambil memeluk tubuh.
Sakit hati apabila kawan baikku sendiri mengata aku sebegitu. Walaupun sudah
acapkali aku mendengar ayat tu keluar dari mulutnya, tapi setiap kali itu
jugalah aku akan terasa hati. Namun aku hanya mampu mendiamkan diri.
“Mana kau tahu hari ni sekolah Alia
buat hari keusahawanan?” Aku ajukan soalan itu, kerana malas mahu mendengar dia
memburuk-burukkan perangaiku. Buat sakit hati saja. Lagipun itulah satu-satunya
perkara yang aku tak puas hati sampai sekarang. Musykil. Daripada mana Zulhairi
boleh mengetahui tentang aktiviti persekolah adik-adikku? “Alia tukan adik aku. Mestilah aku
tahu.” Senang sahaja jawapan yang Zulhairi beri.
“Seingat aku Alia tak ada abang. Dia
ada seorang kakak aje! Jadi sejak bila pula dia jadi adik kau?”
“Adik kau bukan adik aku juga ke?”
Soal Zulhairi sambil memandangku sekilas.
Aku mencebikkan bibir. Mulalah tu
nak memanjakan adik-adik aku. Kalau budak-budak itu semua buat perangai
semuanya salah Zulhairi kerana dia yang selalu memanjakan mereka. Sudah banyak
kali aku tegah tapi dia buat juga. Sampai malas aku nak melarang lagi.
“Kau pun mengaku yang Alia tu adik
kau. Jadi apa salahnya kau tunaikan permintaan dia. Dia bukan nak benda
bukan-bukan pun. Dia nak kau datang hari ni. Hari keusahawanan sekolah dia. Susah sangat ke?” Perlahan pula
nada suara yang Zulhairi gunakan. Mungkin cuba memujukku.
“Nak buat apa pergi hari
keusahawanan tu? Tak penting pun. Sajalah tu nak mengada-ngada.” Aku masih cuba
membela diri. Memang aku rasa tiada apa-apa kepentingan pun untuk aku berada di
sana. Nak buat apa?
“Dia nak kau tengok dia berniaga.
Bagi sokongan moral kat dia dan kawan-kawan dia. Lagipun gerai yang dia buka
tukan bawah selian dia. Dia nak kau ada kat sisi dia. Susah sangat ke?”
Aku tidak tahu daripada mana
Zulhairi tahu tentang itu semua. Sedangkan aku sendiri tidak tahu menahu
tentangnya. Mungkin Alia sendiri yang bercerita pada Zulhairi. Tapi kenapa dia
tidak bercerita padaku saja? Kalaulah Alia bercerita padaku pun, belum tentu
aku mendengarnya.
Aku alih pandangan ke arah jam digital
yang ada dalam kereta, baru pukul lapan pagi. Otak mula berfikir. Zulhairi
Pasti dia tidak mahu meninggalkan Alia. Buatnya Zulhairi mahu menunggu sampai
Alia balik. Jadi maknanya aku akan berada di sekolahnya hampir setengah hari?
Oh, tidak aku tidak mahu.
“Zul, teman aku sarapan kejap. Aku
tak sarapan lagilah.” Sengaja aku mencipta alasan itu. Sekurang-kurangnya aku
tidak perlu tiba di sekolah Alia terlalu awal.
“Alah kau ni, tadi tak sarapan ke?”
Aku menggeleng.
“Tak payahlah singgah-singgah ni.
Nanti dah sampai sekolah tu kau belilah makanan yang ada kat situ. Namapun hari
keusahawanan, mesti banyak budak-budak sekolah jual makanan.” Zulhairi tidak
mahu menunaikan permintaanku.
“Tak apalah, tunggu sampai sekolah
ajelah.” Aku buat muka sedih. Sengaja mahu meraih simpatinya. Zulhairi
memandangku seketika, aku memalingkan wajah memandang keluar kereta dan…
“Yelah, yelah. Kita singgah makan
dulu.”
Yes!
Aku tahu dia tidak akan menolak permintaanku sama sekali. Mataku masih lagi
memandang keluar kereta tapi senyuman kemenangan sudah terukir kemas di
bibirku.
MELIHAT
kemeriahan sebaik sahaja aku masuk ke dalam kawasan sekolah membuatkan aku
terasa teruja. Tidak sangka semeriah ini sambutan hari keusahawanan yang
diadakan di sekolah ini. Dari pintu masuk utama lagi sudah kelihatan ramai
orang yang hadir. Bukan sahaja pelajar sekolah, malahan ibu bapa turut
memeriahkan acara hari ini. Patutlah Alia beria-ia memintaku untuk menghadirkan
diri.
“Along… Abang Zul.” Dari jauh Alia
sudah melambaikan tangannya padaku dan Zulhairi yang baru sahaja sampai ke kawasan
dewan terbuka.
Zul
mempercepatkan langkah mendapatkan Alia yang berada di gerai jualannya. Aku
turut melakukan hal yang sama. Sebaik sahaja bersalaman denganku, Alia pantas
memelukku tanpa rasa segan silu pada kawan-kawannya yang memerhati. Aku terkedu
sebenarnya. Tidak sangka Alia akan memperlakukan aku sebegitu di khalayak ramai,
walhal dia hubungan kami tidaklah sehebat mana.
“Thanks along sebab sudi datang support Lia.” Alia masih lagi dengan wajah
cerianya memandangku.
“Macam
mana jualan bunga okay ke?” Soal Zulhairi pada Alia.
Aku terkejut, Alia menjual bunga?
Dan Zulhairi mengetahuinya, sedangkan aku tidak. Nampaknya sejak Zul menjadi
guru tuisyen adik-adikku, dia semakin bertambah rapat dengan mereka.
“Okay abang Zul. Bunga yang kita
orang gubah, semuanya dah habis, sekejap aje laku. Padahal tak adalah lawa
sangat kita orang gubah, cincai aje. Tak macam yang Along gubah, perfect. Kalau along yang gubah mesti
lagi banyak yang laku. Kan Along?” Bersungguh-sungguh Alia bercerita.
Aku hanya mendiamkan diri walaupun
Alia bercerita tentang kehebatanku mengubah jambangan bunga. Bukannya pandai
sangat pun tapi kerana selepas SPM dahulu aku pernah kerja di kedai bunga, jadi
mengubah bunga ini sudah termasuk dalam senarai kemahiran yang aku ada.
“Kalau Lia nak tahu, Along ajak
abang datang sini hari ni pun sebab dia nak tolong Lialah. Nak tolong gubahkan
bunga untuk gerai Lia ni.” Bohong Zulhairi.
Aku membesarkan mata memandang
Zulhairi, bila masa pula aku yang mengajaknya ke sini? Bukankah dia yang
memaksaku tadi? Satu lagi hal, bila masa pula aku merancang untuk menyumbang
tenaga dan kemahiran aku untuk gerai jualan Alia? Zulhairi aku pandang dengan
gunungan rasa tidak puas hati. Namun lelaki itu masih lagi boleh berlagak
selamba.
“Ye ke Along? Yes, cayalah. Jom ikut Lia.” Alia menarik tanganku membawaku ke
dalam gerainya. Aku pula umpama pak turut, menuruti saja langkah Alia tanpa
banyak soal. Sebenarnya bukan aku bersungguh-sungguh mahu Alia, namun mata
kawan-kawannya yang turut ada di gerai jualan itu asyik memandangku membuatkan
aku tidak boleh berkata tidak.
Alia memberhentikan langkahnya di
belakang gerainya. Di hadapanku kini ada sebuah meja yang berserekan dengan
peralatan dan bahan mengubah bunga.
“Kawan-kawan Lia yang tolong gubah
baru aje pergi beli makanan. Kesian dia orang dari pagi belum makan. Along
tolong Lia gubah sikit ya. Dapat satu dua pun jadilah, janji hasil tangan
Along. Dapat perkhidmatan daripada pakar, bolehlah Lia jual mahal sikit” Pandai
betul Alia memancing aku dengan puji-pujian.
“Alah, tolong adik beradik apa
salahnya.” Bisik Zulhairi di telingaku.
Bisikkannya itu menimbulkan rasa
geram di hatiku. Namun belum sempat aku menyatakan perasaanku Alia pantas
menyerahkan sesuatu pada Zulhairi.
“Nah abang kupon yang abang suruh
Lia belikan minggu lepas.”
Zulhairi menyambut kupon yang Alia
berikan dan menyerahkan lebih daripada separuh pada Alia.
“Eh, tak apalah bang Zul. Tu abang
Zul punyakan” Alia pantas menolak.
“Lah, abang beli pun memang untuk
adik-adik abang. Nanti bagi kat Azira sekali okay.”
Kali ini laju pula Alia menyambut
kupon yang Zulhairi berikan dengan anggukan kepala. Kemudian dia meninggalkan
kami berdua di meja ini.
Aku tidak suka Zulhairi memanjakan
adik-adikku sebegitu. “Kau ni kan…”
Pantas Zulhairi mengangkat tangannya
dan dihalakan ke wajahku. “Dah, aku tahu kau nak kata apa. Suka hati akulah,
duit aku bukan duit kau pun.”
“Ergggg… Kau ni kan.” Aku sudah
mengenggam penumbuk. Geram betul aku dengan dia ni. Degil sungguh.
“Jangan marah-marah. Bawa bersabar.
Apa kata kau terus aje gubah bunga-bunga ni. Biar aku belikan air untuk kau.
Mudah-mudahan reda sikit rasa marah kau tu. Tata.” Terus sahaja Zulhairi
berlalu, dan seketika kemudian dia hilang di sebalik kelibat-kelibat manusia yang
ramai.
Aku menarik nafas, cuba
menghilangkan rasa marah. Cutter yang
berada di hadapanku, aku ambil. Cutter
itu bermain-main di tanganku. Barangan yang berselerakan di atas meja aku
perhatikan satu persatu. Tiada rasa untuk mengubah pada ketika ini. Namun
sebaik sahaja aku terlihat bunga segar yang terdapat di dalam baldi di sisi
meja itu membuatkan aku tersenyum lebar.
Terdapat pelbagai bunga mawar, carnation,
lily dan beberapa jenis bunga lagi. Membuatkan aku teruja tiba-tiba. Sudah agak
lama aku tidak membuat gubahan bunga. Rasanya kali terakhir adalah sewaktu
pesta konvokesyen aku dan Zulhairi dahulu. Aku mengubah sendiri bunga untuknya
waktu itu. Apa yang paling mengembirakanku, Zulhairi begitu gembira menerima
bunga dariku walaupun pada waktu itu tangan sudah penuh dengan jambangan bunga.
Aku memilih beberapa bunga mawar
biru dan mawar putih. Aku letak di atas meja untuk membuat gubahan. Laju sahaja
tanganku memotong batang bunga itu lalu menyusunnya mengikut gerak hatiku.
Zulhairi kembali bersama-sama denganku semasa aku sedang membalut bunga itu
dengan kertas pembalut lutsinar. Kehadirannya tidak aku pedulikan, aku lebih
menumpukan perhatian pada gubahan yang aku lakukan. Dia juga seperti faham
dengan kehendak hatiku, dia turut diam duduk di hadapanku. Air dan makanan yang
dibelinya diletakkan sahaja dpada ruang yang ada.
Aku menarik nafas lega apabila satu
gubahan telah siap. Aku membetulkan beberapa bahagian dengan senyuman. Tidak
sangka, sudah lama tidak mengubah bunga, aku masih dapat melakukannya dengan
baik. Aku mendekatkan jambangan bunga tu ke hidungku. Aku suka dengan bau bunga
hidup. Sewaktu aku mencium bunga itu, mataku dapat menangkap pandangan Zulhairi
yang tidak lepas dari wajahku. Pantas aku mengalihkan bunga tersebut dari
wajahku. Aku mengangkat-angkat kening, bertanya secara tidak langsung
pendapatnya tentang gubahan itu. Tapi Zulhari masih lagi membatu.
“Hoi!” aku membaling Zulhairi dengan
bunga tulip plastik. Bunga itu tepat kena ke wajahnya, aku tertawa kecil. Geli
hati melihat Zulhairi yang seolah-olah baru tersedar daripada lamunan.
“Ish, apa kau ni main
baling-baling?” Zulhairi menyapu wajahnya seketika sebelum menunduk mengutip
bunga yang aku baling padanya yang sudah jatuh ke lantai.
“Padan muka kau. Yang kau pandang
aku macam tu buat apa? Rasakanlah.” Aku masih lagi dengan tawaku.
“Eleh, kedekut sangat. Pandang sikit
pun tak boleh. Bukannya luak pun.” Dia mencebikkan bibir padaku. Tangannya
sibuk membelek bunga tulip plastik berwarna jingga yang aku baling padanya.
Malas aku mahu melayan dirinya yang
asyik dengan bunga tulip itu. Gubahan jambangan bunga yang sudah aku siapkan
aku letak ke tepi. Aku mengambil pula beberapa bunga carnation, mula
untuk membuat gubahan yang baru.
“Su.”
Aku mendiamkan diri. Malas mahu
melayan Zulhairi. Aku kalau sudah berhadapan dengan bunga-bunga segar begini
memang boleh lupa diri.
“Su.” Sekali lagi Zulhairi
memanggilku.
“Erm,” aku masih lagi menumpukan
perhatian pada kerjaku.
“Suraya!” jerit Zulhairi.
“Apa?” Aku mengangkat wajah dan
memandangnya. Wajahnya masam mencuka tapi hanya seketika, kemudian senyuman
lebar menghiasi wajahnya. “Apahal?” soalku malas mahu menunggu dia meluahkan
kata terlebih dahulu.
“Aku nak gubah bunga juga boleh?”
Soalan Zulhairi mengundang tawaku.
“Woi, aku serius ni, kau gelak-gelak
pula.”
Aku menekan perutku, cuba menahan
tawa yang semakin ketara. “Okay, okay… aku tak gelak lagi.” Aku berdehem
membetulkan suara akibat terlebih gelak tadi. “Pandai ke, kau?” aku bukan mahu
memperkecil Zulhairi, tapi aku tidak yakin dengan kemampuan dia.
“Alah, bagilah aku cuba dulu!”
Zulhairi masih mahu.
“Okay, kau buatlah. Tapi kalau tak
laku jangan salahkan aku pula.” Aku masih lagi tersenyum-senyum. Susah betul
aku mahu membuang rasa geli hati ini.
“Siapa kata aku nak jual?” balas
Zulhairi dan bangun dari duduknya dan duduk di kerusi yang berada di sebelahku.
Dia
kelihatan bersungguh-sungguh kali ini. Dan aku yang tidak mahu merencatkan
kehendaknya itu terus memberikan tunjuk ajar apa yang patut. Sepanjang aku
mengajar dia hanya menganggukkan kepala. Entah betul-betul faham atau tidak aku
tidak tahu. Selepas itu aku membiarkan dia memilih sendiri bunga yang dirasakan
sesuai mengikut citarasanya.
Aku
kembali menyambung tugasku. Beberapa kawan Alia datang semula untuk membantuku.
Pantas aku melarang, bukan apa, terasa seronok pula melakukan tugas ini.
Tambahan pula bunga segar yang tinggal tidak terlalu banyak yang perlu digubah,
jadi aku seorang pun boleh melakukannya sehingga selesai.
Senyumanku
terlihat apabila satu lagi gubahan sudah pun siap. Aku memandang Zulhari yang
sedang sibuk memilih kertas pembalut dan reben. Bersungguh-sungguh dia mahu
mengubah sendiri jambangan bunga itu. Tidak mahu menganggunya aku meneruskan
kerjaku.
“Siap!”
kuat suara Zulhairi kedengaran.
Aku
yang sedang asyik membetulkan reben pada gubahanku pantas berpaling memandang
dirinya yang masih lagi membelek gubahannya. Berkerut dahiku memandang bunga
yang digubahnya. Aku mengulum senyuman, takut dia ternampak aku
mentertawakannya. Untuk orang yang baru belajar membuat gubahan bunga
sepertinya gubahannya itu bolehlah dikategorikan sebagai menarik, cuma
kombinasi bunga dan warna bahan yang dipilih tidak bersesuaian. Calla Lily, dan Rose Peach digabungkan dalam satu
gubahan. Rasanya belum pernah dibuat orang. Dengan kombinasi bunga tersebut
membuatkan aku terasa jambangan ini agak pelik.
“Okay,
cari kad pula.” Zulhairi menyelongkar kad-kad yang terdapat di dalam kotak
kecil yang berada di sebelahku. Setelah menjumpai kad yang berkenan di hatinya,
dia mengambil pen dan mencatit sesuatu di dalam kad itu.
“Siap
ada kad. Kau nak bagi siapa bunga tu?” Aku yakin dia mahu memberikan bunga ini
pada seseorang. Jika tidak masakan dia beria-ia sehinga begini sekali.
“Adalah.”
Zulhairi cuba berahsia denganku.
“Kau
nak bagi Madihah ke?” Nama itu tiba-tiba terlintas di mindaku. Hatiku senang
jika benar bunga ini dia tujukan untuk Madihah. Ini bermakna hubungan mereka
akan bertambah erat selepas ini. Aku yakin Madihah akan menyukai jambangan
bunga ini. Walaupun jambangan ini pelik pada pandangan mataku. Namun jika
Madihah tahu ini adalah hasil penat lelah dan kesungguhan Zulhairi pasti ianya
lebih bermakna. Menerima bunga daripada kekasih hati saja sudah boleh mengembirakan
hati apatah lagi menerima jambangan bunga yang digubah sendiri oleh kekasih
hati, pasti ianya akan menjadi saat yang paling indah.
“Kenapa
pula nak bagi Madihah? Merepek aje kau ni.” Zulhairi masih lagi membetulkan
jambangan bunga gubahannya.
“Habis
tu, kau nak bagi siapa?”
Zulhairi
hanya tersenyum. “Adalah.”
Aku
sudah malas mahu bertanya, jika dia sudah menggunakan perkataan yang sama
setiap kali aku bertanya, itu bermakna dia memang tidak mahu aku mengetahui
perkara itu. Aku juga tidak berminat untuk memaksa, maka aku membiarkan sahaja
perkara itu.
“Wah, banyaknya yang along dah buat,
cantik-cantik pula tu.” Alia datang ke sisiku ketika aku sedang menyiapkan
gubahan yang kelima.
“Tapi yang ni lagi cantik tau Alia.”
Zulhairi menunjukkan gubahannya pada Alia.
Alia tertawa kecil.
“Kenapa ketawa?” Soal Zulhairi.
“Siapa yang gubah tu?” Alia pula yang menyoal Zulhairi dan aku hanya
memerhatikan mereka saling bersoal jawab.
“Abang Zullah. Kenapa tak cantik
ke?” Zulhairi melihat semula jambangan di tangannya.
“Bolehlah.” Alia masih lagi dengan
tawanya.
“Amboi seronok gelakkan abang Zul
ye. Dahlah tu, kira bunga ni berapa dengan bunga ni sekali.” Zulhairi
menayangkan jambangan yang digubahnya tadi dan bunga tulip plastik yang aku
baling padanya tadi.
“Bunga plastik tu, buat apa kau nak
beli pula?” entah kenapa tak pasal-pasal dengan bunga yang aku balingkan tadi
pun mahu dibelinya.
“Kau nikan suka membantah apa yang
aku buat. Suka hati akulah aku nak beli apa pun. Lagipun kupon kat aku ni banyak
lagi, masa nilah nak kena guna.” Nampak sangat Zulhairi sengaja mahu mencari
alasan untuk membeli bunga plastik itu.
Aku mula mengesyaki sesuatu, mesti
ada udang di sebalik batu. Kenapa pula tiba-tiba saja Zulhairi mahu membeli
bunga plastik itu. Bukan boleh pakai sangat Zulhairi ni kadang-kadang.
“Okaylah, untuk abang Zul Alia bagi special diskaun.”
“Diskaun apanya. Kalau macam nilah
berniaga, bila nak untung?” aku bantah. Bukan apa. Oleh kerana Zulhairi enggan
berkongsi cerita tentang bunga itu. Jadi aku sengaja buat bantahan.
“Kau ni, Su. Tak habis-habis nak
dengki dengan aku. Biarlah, akukan pelanggan VVIP Alia hari ni.” Zulhairi terus
mendapatkan kupon yang disimpan di dalam poket seluarnya. “Macam tulah adik
abang.” Sempat pula Zulhairi tersenyum pada Alia.
“TERIMA
kasih abang Zul.” Ucap Alia sebaik sahaja kereta Zulhairi berhenti di hadapan
rumahku.
“Sama-sama.” Zulhairi berpaling ke
tempat duduk belakang, memandang Alia dan Azira dengan senyuman.
Sejak keluar dari sekolah lagi
mereka bertiga berbual dengan begitu rancak sekali. Tambahan pula Azira yang
memegang jambangan bunga yang digubah Zulhairi, asyik mengusik Zulhairi dan
jambangan bunganya.
“Mat Romantik, saya letakkan bunga
anda ini di sini je ye.” Azira masih lagi cuba mengenakan Zulhairi, dan
Zulhairi tetap tersenyum riang. Jambangan bunga itu Azira tinggalkan sahaja di
tempat duduk belakang sebelum dia dan Alia keluar dari kereta.
‘Mat Romantik’, itu gelaran yang
Azira berikan pada Zulhairi apabila dia tahu Zulhairi yang mengubah sendiri
bunga itu. Dan Zulhairi pula terima sahaja segala apa yang Azira katakan dengan
senyuman.
“Okaylah Zul, aku masuk dulu. Terima
kasih untuk hari ni.”
“Su, kejap.”
Aku kembali duduk sebaik sahaja
Zulhairi menghalangku untuk keluar. Aku memandangnya dan dia pula menoleh ke
tempat duduk belakang dan mengambil jambangan bunga yang digubahnya tadi dan
diserahkan kepadaku.
“Nak aku bagikan kat Madihah ke?”
Aku mengangkat-angkat keningku. Tadinya tak mahu mengaku konon…
“Bu…”
“Alamak, tak romantiklah ‘Mat
Romantik’ kita, kalau aku yang tolong kau bagikan. Gentlemanlah sikit, kau bagilah sendiri kat Madihah.” Aku terus
menyambung sebelum sempat Zulhairi menyambung bicaranya.
“Kau ni, dari tadi Madihah, Madihah,
Madihah. Kau ingat aku bersusah payah gubah bunga ni untuk dia ke?”
“Bukan ke?” Tanyaku.
Dia mengeleng laju.
“Dah tu, kau gubah untuk mak kau?”
Aku masih terus bertanya.
Dia mengeleng lagi.
“Habis tu, kau gubah untuk siapa?”
Dia menyuakan bunga itu lebih rapat
padaku. “Kau.”
“Aku?” jari telunjukku aku suakan ke
wajahku sendiri. Zulhairi mengangguk. “Kenapa nak bagi aku pula? Kau ni demam
ke apa?”
“Kau ni kan. Aku dah bagi kat kau,
kau ambik jelah. Ni first time aku
gubah bunga sendiri. Aku nak bagi kat kau, salah ke?”
“Tak salahlah, cuma pelik je.” Aku
sudah kelam-kabut, rasa pelik pula jika aku menerima bunga itu darinya. Ini
bukan kali pertama aku menerima jambangan bunga darinya, sudah banyak kali
sebenarnya. Tapi itu semua sewaktu majlis konvokesyen dan beberapa tahun semasa
hari lahirku. Hari ini, bukan ada apa-apa yang aku raikan, jadi tidak mungkin
aku akan menyambut huluran bunga itu. Kalau aku tak ambil bunga itu boleh atau
tidak?
“Okaylah, kalau taknak ambik tak
apalah. Aku tak nak paksa.” Zulhairi sudah mula berjauh hati.
“Eh, siapa kata aku tak nak? Aku
naklah.” Aku terus merampas bunga yang sudah Zulhairi letakkan di atas ribanya.
“That’s
my girl.” Ujar Zulhairi riang.
“Tak nak aku jadi girl kau!” Kataku dan terus keluar dari
kereta. Terdengar Zulhairi ketawa kuat.
Aku turut tersenyum. Sepanjang
perjalanan aku melangkah ke dalam rumah, jambangan bunga yang berada di dalam
tanganku, ku tatap. Hatiku sebenarnya senang menerima jambangan bunga yang aku
gelar jambangan pelik di gerai jualan Alia tadi. Kalaulah Azira dan Alia tahu
bunga itu pemberian Mat Romantik untukku, pasti mereka akan berfikir yang
bukan-bukan. Jadi bunga ini harus aku sorok!
Bersambung...
Kata AH:
Salam Kemerdekaan & terima kasih krn sudi mengikuti SAC...