Pages

Monday, February 28, 2011

Merlimau dan Kerdau. Ujian Untuk Pas Sebelum Ke Puterajaya

Hari yang ditunggu-tunggu oleh semua pemerhati politik tanahair telah berlalu iaitu penamaan calon bagi 2 PRK N28 Kerdau, Pahang dan N27 Merlimau, Melaka. Kedua-duanya memperlihatkan pertandingan 2 penjuru antara PAS sebagai jemaah yang benar-benar istiqamah memperjuangkan Islam dengan UMNO yang kononnya memperjuangkan hak-hak orang melayu.

Di N28 Kerdau, pas mempertaruhkan calonnya seorang usahawan berjaya iaitu Hj Hassanudin Salim yang akan menentang Calon Umno Syed Ibrahim Syed Ahmad. Manakala di N27 merlimau calon Pas Yuhaizad Abdullah akan berdepan dengan calon Umno iaitu Roslan Ahmad yang merupakan seorang AJK Umno bahagian Jasin.

Pertarungan yang berlangsung akan mengambil masa 10 hari ini iaitu yang akan berakhir sehingga pukul 5 petang 6 Mac telah memperlihatkan satu kempen yang terlalu berat sebelah. Seperti biasa dalam PRK yang sebelumnya Umno dengan tidak rasa malu dan bersalah telah menggunakan seluruh jentera kerajaan bagi tujuan kempen mereka. Media yang dekat dengan rakyat seperti RTM dan TV3 dipergunakan dengan optimumnya oleh mereka sehinggakan penulis sendiri terasa seperti RTM atau TV3 itu hak mutlak Umno. Penulis sendiri yang memang telah merasa terlalu meluat dengan media ini terasa seperti jumud dan bekunya pemikiran rakyat apabila dipaparkan keburukan pembangkang seperti tiada satupun kebaikan pada mereka, sedangkan dipamerkan semua yang baik diperlakukan oleh Umno seperti meraka terlalu maksum. Sehingga ada juga ahli Umno yang tegar menyebutkan, "RTM ni, seperti semua yang pembangkang buat salah, sedangkan Umno semua baik."

Terkini di merlimau, diadakan perhimpunan guru-guru seluruh malaysia bagi sekolah-sekolah yang menerima anugerah sekolah cemerlang. Bukan anugerah yang penulis pertikaikan, akan tetapi, kenapa didakan di merlimau. Adakah kalau seandainya tidak berlaku PRK di merlimau Menteri Pelajaran akan adakan majlis itu di sini. Satu lagi penyalahan gunaan kuasa oleh Umno berlaku. Kalau difikirkan, bagi pengundi di merlimau, apa untungnya anugerah ini kepada mereka.

Apapun, dua PRK ini akan menjadi ujian getir bagi Pas sebagai sebuah parti yang membawa Islam sebagai asas perjuangan. Kita mesti kembali kepada sabda Nabi, "Suatu yang batil tetapi berstrategi akan dapat mengatasi sesuatu yang benar tetapi tidak berstrategi". Ini asasnya dan inilah yang perlu kita fikirkan bersama kemudian rancang dan atur sebagai resepi utama untuk menawan Putrajaya.

Kita memang telah sedia maklum akan kejahatan dan kebobrokan Umno melalui penasihatnya APCO. Meraka sudah pasti akan membuat perancagan yang maha jahat bagi PRU13 nanti. Apakah kita hanya sekadar melihat penipuan meraka atau kita atur strategi sendiri bagi mengatasinya. Inilah yang seharusnya kita buat dan laksanakan. Jangan lagi ada kekeruhan dalam jemaah islam ini. jangan lagi ada ketidak puasan hati dalam jemaah ini. jangan lagi ada suara-suara mengkritik buta tanpa asas dalam jemaah ini. dari kita menabur debuan fitnah dan tohmah adalah lebih baik kita sama-sama fikirkan bagaimana cara mengatasi taktik dan strategi jahat Umno melalui APCO.

Inilah masanya kita mengaut seribu pengalaman setelah Allah memberikan kepada kita peluang melalui PRK Kerdau dan Merlimau. Kutip dan kendung mutiara berharga melalui dua PRK ini walau kita tidak memperolehi kejayaan padanya.

Perlu diingat, kegagalan dalam pilihanraya bukan kegagalan bagi sebuah pejuangan Islam tetapi kejayaan apabila kita mampu menerapkan dan menyerap sesuatu yang berharga padanya. Sebagaimana Cikgu Mala berjaya menerapkan tentang hukum haramnya bagi seorang perempuan Islam bersalaman dengan lelaki yang bukan muhrim baginya. inilah kejayaan bagi Islam. Dan ini lebih bermakna dan lebih berharga tetapi kemenangan dan memperolehi kuasa seterusnya membina sebuah negara Islam adalah jauh lebih berharga.

Oleh itu, ayuh pejuang-pejuang Parti Islam. Gemblingkan semua tenaga yang ada bagi kita sama-sama memenangkan parti islam dan seterusnya yang paling penting agama Islam itu sendiri. kita juga wajib bercita-cita untuk melihat Malaysia aman dan makmur sebagai sebuah negara yang baik dengan Allah sebagai Tuhan yang maha pengampun. jadikan kemennangan di Kerdau dan Merlimau sebagai asas bagi kita mengerakkan langkah yang lebih teratur untuk ke Putrajaya.

InsyaAllah. Islam sentiasa menang. Yakin dan percayalah.

Wassalamm...

Saturday, February 19, 2011

Kasihkan Rasulullah, Bagaimanakah?


Syukur kepada Allah yang masih lagi memberikan kepada kita nikmat Islam dan Iman serta usia yang panjang yang dengannya kita semua mampu untuk meraikan 12 rabiulawal untuk kali yang ke 1432. 12 rabiulawal mengikut pendapat yang paling soheh adalah tarikh kelahiran nabi kita Muhammad s.a.w. Sejarah sambutan maulidurrasul adalah diasaskan oleh kerajaan Fatimiah di Mesir. Walaupun ada berbagai pendapat tentang hukum merayakan maulidurrasul, tetapi ianya tidaklah diharamkan sepenuhnya dikebanyakan Negara umat Islam. Berbagai program dirancang dan dilaksanakan dengan tujuan untuk melahirkan rasa kasih kepada baginda Nabi s.a.w. Antara program yang selalu kita lihat bilamana sambutan maulidurrasul ini diadakan iaitu diadakan perarakan, diadakan bacaan marhaban, diadakan syarahan dan akhir sekali makan.

Benarkah semua ini diprogramkan sebagai tanda kasihkan Rasulullah? Benarkah dengan perarakan, marhaban, syarahan yang sekejap dan makan boleh melahirkan perasaan kasihkan rasulullah? Artikel ini bukan bertujuan untuk melarang diadakan sambutan maulidurrasul malahan penulis sendiri terlibat sama dalam mengadakan beberapa siri ceramah maulidurrasul tetapi yang nak dijelaskan disini bagaimanakah cara yang sebenarnya kita ingin melahirkan tanda kasih kita kepada baginda nabi s.a.w. yang bukan hanya pada 12 rabiulawal tetapi juga pada setiap waktu dan ketika.

Apa yang kita lihat, suasana sekarang menampakkan kita hanya menunjukkan nilai kasih dan sayang kita pada nabi hanya pada sambutan kelahiran nabi Muhammad S.A.W iaitu pada rabiulawal semata-mata. Ini kerana kita menghabiskan banyak duit ringgit dan tenaga demi perarakan, jamuan makan dan sebagainya. Apakah perarakan semata-mata boleh menunjukan nilai kasih kita kepada baginda nabi. Kalau perarakan dapat menunjukkan nilai kasih kita kepada nabi maka baik lagi Abu Lahab kerana gembiranya dia dgn kelahiran baginda nabi lalu berarak mengelilingi kaabah sebanyak 7 kali. Kalau jamuan sebagai tanda kasihkan nabi maka apa kurangnya abu lahab yang menyembelih 10 ekor unta sebagai tanda kelahiran baginda rasulullah. Begitu juga dengan marhaban dan berzanji yang dibaca dengan penuh lenggok dan gaya. Tapi apapun yang dibaca, langsung tak difahami oleh sesetengah orang. Mungkin syarahan ada juga sedikit nilai padanya kerana dapat memberi sedikit ilmu dan pengetahuan kepada yang hadir mendengar. Tapi mampukah kita melahirkan tanda kasih andai yang hadirpun ada yang tak bertudung. Kalau bertudungpun hanya menutupi jambul di depan sahaja.

Nabi bersabda dengan mafhumnya, “Barang siapa yang tidak mengikut sunnahku bukan daripada umat ku.” Inilah tanda aras kita tentang kasihnya kita kepada baginda Nabi S.A.W. Mengamalkan sunnah nabi adalah paling utama dalam kita menunjukkan kita kasihkan nabi. Apakah dengan kita menyambut maulidurrasul adalah sunnah nabi. Sudah tentu jawapan tegasnya adalah tidak. Sebabnya nabi tak pernah melakukan semua ini. Mengamalkan sunnah nabi pula bukan terpilih kepada apa yang memberi munafaat kepada kita semata-mata atau setiap apa yang dirasakan bersesuaian dengan keinginan kita. Tapi meliputi semuanya yang termampu kita amalkan. Bermula dari corak berpakaian yang paling senang kepada membina sebuah Negara. Adakah ini telah berjaya diamalkan oleh mereka yang menganjurkan sambutan maulidurrasul untuk menunjukkan tanda kasih kepada nabi? Apa yang penulis lihat disepanjang sambutan maludurrasul yang dianjurkan pakaian yang dikenakan tidak menepati sunnah. Pergaulan yang tidak berbatas antara lelaki dan perempuan. Ini peringkat yang agak mudah sebagai satu sunnah tetapi inipun semacam tak mampu dihayati untuk diamalikan.

Nabi Muhammad s.a.w. telah membawa bersamanya syariat Islam yang syumul. Bersamanya ada ibadat samada wajib ataupun sunat. Solat, ada yang wajib dan ada yang sunat begitu juga ibadat yang lain seperti puasa dan zakat. Nabi yang kita kasih telah bersusah payah membawa kepada kita Ibadat solat semasa Israk dan Mikraj. Nabi yang kita kasih juga semasa Rohnya yang mulia akan bercerai dengan badannya yang mulia itu sentiasa menuturkan “as-solah, as solah, as solah”. menunjukkan kepada umatnya akan kewajipan bersolat. Tetapi sejauhmana kita yang mengaku kasihkan nabi merasakan solat ini penting? Kita yang mengadakan sambutan maulidurrasul dalam suasana yang sangat gemilang ini, sejauh mana telah memperelokkan solat samada pada rukun Qauli. Fi’li atau Qolbi. Belum lagi kita membicarakan soal solat jemaah. Yang bukan hanya menjadi perkara yang wajib kifayah tetapi tidak pernah ditinggalkan oleh nabi s.a.w. Janganlah mengaku kitalah yang paling kasihkan nabi bila dengan gah menyambut maulidurrasul kemudian mempertikaikan sambutan orang lain yang tidak meriah andai solat jemaah tak mampu kita laksanakan walau hanya satu waktu sahaja. Ayuh yang kasihkan nabi, buktikan kita benar-benar kasihkan nabi sebagaimana Nabi terlalu sayangkan umatnya. Ini jelas dan nyata apabila disaat roh sampai di kerongkong Nabi masih lagi menyebut “Ummati, Ummati”. Dan disaat pedihnya sakaratul maut nabi sempat berdoa supaya umatnya tidak terlalu pedih, sakit dan payah semasa sakaratul maut. Buktikan kasih kita dengan kita mengamalkan sunnah nabi setakat yang termampu, amalkan segala yang diwajibkan dan tinggalkan segala apa yang dilarang. Selalu berselawat kepada Nabi kerana dengannya kita yang memperolehi nikmat dari selawat tersebut. Sekali sahaja dalam kemalasan kita Allah akan berselawat kepada kita 10 kali.

Semoga sambutan maulidurrasul yang akan datang lebih bermakna dan bernilai serta lebih menaikkan nilai kasih yang sebenar kita kepada nabi s.a.w dengan kita mengamalkan segala sunnahnya, melakukan segala yang diwajibkan serta meninggalkan segala apa yang telah dilarang.

Wallahu a’lam.
Semoga kita semua mendapat syafaatdaripada Nabi Muhammad s.a.w. di akhirat nanti.

Thursday, February 10, 2011

Hukum Meraikan Hari Valentine Day

Perbicaraan kita kali ini berkaitan dengan hari Valentine Day. Sedar atau tidak bahawa sambutannya pada tahun ini ialah pada tarikh yang sama dengan Sambutan Kelahiran Nabi kita Muhammad s.a.w. Dalam kita yang sedar dan insaf ini bersama-sama bermarhaban, berzanji dan berselawat kepada jujungan kita, pastinya akan ada dikalangan anak-anak muda Islam kita yang juga akan turut sama menyambut hari Valentine Day yang sesat ini dengan sambutan yang sesat di tempat-tempat yang dianjurkan oleh golongan tertentu yang cuba untuk menyesatkan mereka. Berikut disertakan di sini pandangan ulama tentang hari valentine Day ini.

Asal-usul Valentine

Tindakan mengaitkan pertengahan bulan Februari dengan cinta dan kesuburan sudah ada sejak dahulukala. Menurut tarikh kalender Athena kuno, periode antara pertengahan Januari dengan pertengahan Februari adalah bulan Gamelion, yang dipersembahkan kepada pernikahan suci Dewa Zeus dan Hera.

Di Roma kuno, 15 Februari adalah hari raya Lupercalia, sebuah perayaan Lupercus, dewa kesuburan, yang dilambangkan setengah telanjang dan berpakaian kulit kambing. Sebagai bagian dari ritual penyucian, para pendeta Lupercus meyembahkan korban kambing kepada sang dewa dan kemudian setelah minum anggur, mereka akan lari-lari di jejalanan kota Roma sembari membawa potongan-potongan kulit domba dan menyentuh siapa pun yang mereka jumpai. Terutama wanita-wanita muda akan maju secara sukarela karena percaya bahwa dengan itu mereka akan dikarunia kesuburan dan bisa melahirkan dengan mudah.

Pandangan Ust. Zaharuddin dengan Sambutan Valentine Day

1) Kita hanya boleh merayakan perayaan yang diiktiraf oleh Islam iaitu Idil Fitri dan Idil Adha. Nabi SAW bersabda :
(إن لكل قوم عيدا وإن هذا عيدنا)
Ertinya : Sesungguhnya bagi setiap kaum itu perayaan masing-masing, dan ini (IdilFitri dan Idiladha) adalah perayaan kita" ( Riwayat AL-Bukhari, 952 ; Muslim, 1892)
Justeru, sebarang perayaan yang disambut oleh umat Islam mestilah terhad kepada dua perayaan ini sahaja.
Bagaimanapun, jika sesuatu majlis, keraian dan sambutan itu dianjurkan bukan atas asas atau nama agama serta tiada kaitan dengannya bahkan dibuat atas dasar adat semata-mata. Ianya boleh dan harus diraikan dengan syarat sambutannya tidak diserapi apa jua unsur maksiat dan syirik. Sebagai contoh sambutan kemerdekaan Negara, sambutan ulangtahun penubuhan sesebuah syarikat dan sebagainya. Cuma ia bukanlah disambut sebagai hari raya ketiga atau keempat, tetapi hanya sebagai majlis keraian setaraf dengan majlis perkahwinan dan sepertinya sahaja.
Ini bermakna, setiap tujuan dan asal usul perayaan itu perlulah disemak. Maka jika disemak perayaan Valentine ini. Ternyata ia berasal dari cerita dongeng, karut dan syirik berakitan dewa dan sebagainya. Selain dari asalusul, cara dan kaedah implementasnya juga mesti dilihat, jika secara adatnya ia disambut dengan dosa dan maksiat. Ia sekali lagi dilarang di atas dasar tersebut pula.

2) Tidak harus pula meniru orang Kafir dan ahli maksiat dalam meraikan majlis yang dianjurkan. Imam Ibn Taymiah dan Ibn Qayyim telah menyebut bahawa telah Ijma' (sepakat keseluruhan Ulama) melarang penyerupaan dalam meraikan perayaan agama ( atas asas agama) selain Islam. ( Iqtidha, 1/454 ; Ahkam Ahli Zimmah, 2/722)

3) Islam tidak mengiktiraf hari kasih sayang. Kasih sayang dalam Islam bersifat universal, tidak dibatasi waktu dan tempat dan tidak dibatasi oleh objek dan motif. Hal ini sesuai dengan hadis :
"Cintailah saudara seislam seperti kamu mencintai dirimu sendiri." (Riwayat Bukhari).
Islam sangat melarang keras untuk saling membenci dan bermusuhan, namun sangat menjunjung tinggi akan arti kasih sayang terhadap umat manusia.
Rasulullah saw. bersabda : "Janganlah kamu saling membenci, berdengki-dengkian, saling berpalingan, dan jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Juga tidak dibolehkan seorang muslim meninggalkan (tidak bertegur sapa) terhadap saudaranya lebih dari tiga hari" (Muslim)
Kasih sayang dalam Islam diwujudkan dalam bentuk yang nyata seperti silaturahmi, menjenguk yang sakit, meringankan beban tetangga yang sedang ditimpa musibah, mendamaikan orang yang berselisih, mengajak kepada kebenaran (amar ma'ruf) dan mencegah dari perbuatan mungkar

4) Sambutan hari Valentine ini menjadi semakin terkeji apabila ia menjurus kepada perlakuan maksiat, mengadaikan ‘dara' kepada kekasih yang bernafsu ‘syaitan' dan dengan perlakaun seks bebas yang kononnya bagi membuktikan 'ketulenan' cinta seseorang kepada kekasihnya..

5) Islam juga melarang umatnya dari terlibat, duduk serta bersekongkol dalam majlis yang mempersendakan Islam dan bercanggah dengannya. Ini dari firman Allah yang bererti :

وَقَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آيَاتِ اللّهِ يُكَفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلاَ تَقْعُدُواْ مَعَهُمْ حَتَّى يَخُوضُواْ فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ إِنَّكُمْ إِذًا مِّثْلُهُمْ إِنَّ اللّهَ جَامِعُ الْمُنَافِقِينَ وَالْكَافِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا
"Dan sungguh Allah telah menurunkan kepada kamu di dalam Al Qur'an bahwa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. Karena sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam Jahanam" ( An-Nisa : 140 )
Diriwayatkan dari Umar r.a. bahwa dia pernah mendengar Rasulullah s,a.w. bersabda:
"Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhir, maka janganlah duduk pada suatu hidangan yang padanya diedarkan arak." (Riwayat Ahmad)
Maka majlis arak yang haram itu adalah sama hukumnya dengan majlis Valentine yang mana sumber, asal usul dan cara pelaksanaannya yang terdedah kepada pelbagai jenis maksiat. Tidak harus sama sekali untuk menghadiri majlis sempena Valentine di mana-mana jua.
"Jadi adakah pergi shopping sempena 'sale' hari Valentine juga salah?
Jawabnya, sekadar membeli belah ia tidak salah, namun TIDAK DIBENARKAN menyertai seseuatu PERHIMPUNAN, SAMBUTAN KHAS kerana Valentine seperti majlis Konsert, Nyanyian dan sepertinya.

6) Hukum memberikan hadiah sempena hari Valentine juga adalah menjadi haram berdasarkan kaedah dari firman Allah : "Janganlah kamu bantu membantu dalam perkara dosa dan permusuhan"
Bagaimanapun hukum menjual bunga sahaja, ia tidak kurang dari kategori jualan yang syubhah, makruh atau haram khas di hari Valentine.
Diriwayatkan, ada seorang laki-laki yang memberi hadiah satu bekas arak kepada Nabi s.a.w., kemudian Nabi memberitahu bahwa arak telah diharamkan Allah. Orang laki-laki itu bertanya:
Lelaki: Bolehkah saya jual?
Nabi: Zat yang mengharamkan meminumnya, mengharamkannya juga menjualnya.
Lelaki: Bagaimana kalau saya hadiahkan arak kepada orang Yahudi?
Nabi: Sesungguhnya Allah yang telah mengharamkan arak, mengharamkan juga untuk dihadiahkan kepada orang Yahudi.
Lelaki: Habis, apa yang harus saya perbuat?
Nabi: Tuang saja di dalam parit air. (Al-Humaidi dalam musnadnya)
Justeru, kita dapat melihat bahawa benda yang haram, maka haram juga dijualnya mahupun dihadiahkan. Dalam hal menjual bunga, ia juga boleh menjadi syubhah di hari Valentine seperti ini, kerana diketahui ianya dibeli khas untuk meraikan Valentine yang haram. Seperti juga hukum menjual anggur kepada tukang buat arak yang telah diketahui. Ia tidak dibenarkan dalam Islam menurut pendapat yang terkuat.

7) Para ulama juga menyatakan LARANGAN untuk saling mengirim ucapan Valentine, cinta dan kasih bersempena hari itu. Perlu dianggapkan hari Vlentine itu tidak wujud dan ia adalah sebuah hari biasa sahaja.

( Tidak perlulah bagi kita mengigati seorang kekasih yang belum pasti menjadi isteri atau suami kepada kita. Ingatlah selalu kepada Allah dan rasulnya itu adalah lebih baik bagi kita. Selepas itu ingat juga kepada ibubapa kita dengan diiringi kepada mereka pohonan doa kepada yang Esa. Itu adalah lebih mulia bagi kita yang bergelar makhluk, umat dan anak.)

Tuesday, February 1, 2011

Selamatkan Al Azhar Dari Telunjuk Barat dan Yahudi

Universiti Al Azhar yang diasaskan pada tahun 359H oleh kerajaan Fatimiyah iaitu kira-kira setahun selepas panglima Jawhar al Siqali berjaya menakluki Mesir daripada kerajaan Ikhsyidiyah pada tahun 358H. Al Azhar yang asalnya hanyalah sebuah Masjid yang dibina khas oleh kerajaan Fatimiah sebagai pusat ibadah bagi tentera Jawhar yang bermazhab syiah Ismailiyyah. Ianya siap dibina pa 7 hb ramadhan tahun 361H. Sejak tarikh itu masjid ini dikenali dengan nama Jami'al azhar iaitu mengambil sempena nama Fatimah Az Zahra'. Masjid ini juga dianggap sebagai masjid syiah pertama yang dibina di mesir.

Seorang ulama syiah yang bernama Yaakub bin Killis, telah diamanahkan untuk membuka kelas pengajian al Quran,as Sunnah dan kuliah-kuliah fekah mengikut pendekatan Syiah. Dengan itu bermulalah sejarah al Azhar sebagai pusat pendidikan syiah di Kaherah Mesir. Pencapai yang membanggakan telah diraih yang akhirnya al azhar telah diangkat menjadi sebagai Institusi Pendidikan dengan membina asrama-asrama sebagai tempat tnggal para pelajar yang menuntut di sana.

Selain dari tiga bidang yang tersenarai, al Azhar telah memperkenalkan beberapa ilmu tambahan iaitu, ilmu tatabahasa dan sastera arab, ilmu mantik, ilmu hisab dan ilmu falak. Selain itu kuliah undang-undang juga diwujudkan dengan dikendalikan sendiri oleh Yaakon Bin Killis yang pada waktu itu menjawat jawatan menteri yang menjaga hal ehwal al Azhar.

Selama 2 abad di bawah kerajaan Fatimiyyah, akhrinya Mesir telah jatuh ketangan kerajaan Abbasiyyah bilamana Salahuddin al Ayyubi berjaya mengalahkan kerajaan Fatimiyyah pada tahun 566H. Kedudukan al Azhar sebagai Institusi Pengajian Syiah akhirnya telah bertukar menjadi Institusi Pengajian Tinggi Sunni. Dengan demikian al Azhar makin diminati dan dihormati sebagai sebuah Institusi Pendidikan terulung.

Al Azhar sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam yang Ulung terpaksa dan dipaksa mengalami perubahan akibat pertukaran kerajaan yang memerintah negara Mesir. Kecemerlangannya merudum diketika ini, bilamana kerajaan yang memerintah mesir sekarang diketuai oleh seorang presiden yang sedang menghadapi tekanan dari jutaan rakyat mesir supaya berundur iaitu Hosni Mubarak, adalah pemimpin kebendaan (sekular) dan pengikut telunjuk barat dan Israil yahudi laknatuluLah. Arahan pemerintah supaya menghapuskan pengajian jihad adalah tanda yang jelas Hosni Mubarak adalah pengikut telunjuk barat dan Israil.

Kenapa takut dengan pengajian jihad? bukankah perkataan jihad ini telah disebut banyak tempat di dalam al Quran dan as Sunnah? Bukankah perkataan jihad itu dengan maksud supaya umat Islam berkerja dalam apa jua sekalipun dengan bersungguh-sungguh dan niat kerana Allah S.W.T? Atau mungkinkah kerajaan yang memrintah mahu supaya umat Islam dalam keadaan yang lemah dan Dhaif tanpa perlu banyak berusaha, kemudian bergantung hidup dengan ehsan pemerintah? Kelemahan dan kedhaifan ini yang akhirnya akan dieksploitasi oleh pemerintah untuk menang dalam pilihanraya dengan habuan sedikit kebendaan.

Sekalung tahniah kepada rakyat mesir yang sedar dan Insaf serta bangkit menjatuhkan kerajaan diktator Hosni Mubarak. Kembalikan pemerintahan Mesir kepada mereka yang benar-benar ikhlas untuk melihat kebangkitan Islam mengikut acuan yang sebenar. Kedepankan kepimpinan Al Ikhwanul Muslimin yang berkelayakan dan berkemampuan untuk menduduki kerusi Presiden yang ditinggalkan oleh Hosni Mubarak. Dan yang paling penting, kembalikan Al-Azhar sebagai Institusi Pendidikan terulung di dunia yang pernah menjadi kilang tempat melahirkan para pemimpin dan amilin dunia Islam. Bebaskan al Azhar dari cengkaman dan telunjuk barat serta yahudi laknatulLah. Kembalikan Roh Ilmu di Jami'Al Azhar.

Wallahua'lam.

Rujukan: Sejarah Dan Tamadun Islam, UKM Bangi,2006.