Najib minta maaf kali ke-3, respons pengundi bagaimana?
G MANIMARAN dan NIZAM ZAIN
30 November 2012
Reaksi perwakilan
ketika mendengar ucapan dasar Perhimpunan Agung Umno 2012, semalam. -
Foto Sinar Harian oleh Muhammad Zulfadhli Ahmad Zaki
TIDAK wujud individu, pemimpin, organisasi atau parti
yang tidak pernah melakukan kesalahan. Untuk itu sebagai kepimpinan
parti dan kerajaan, Umno menyusun memohon maaf atas kekhilafan, kata
Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menyampaikan ucapan dasar pada
Perhimpunan Agung Umno 24 jam yang lalu.
Seorang pegawai kanan yang ditemui Sinar Harian Online berkongsi
maklumat sekiranya Najib meneruskan ucapan hampir 90 minit, Dewan
Merdeka akan menyaksikan detik yang disaksikan pada tahun 2002.
Najib sebagaimana dijangkakan dengan tegas mengatakan "Umno sudah
mengalami perubahan" dan bersedia untuk kembali membentuk kerajaan pada
Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Pada keseluruhannya ucapan dasar kali memperlihatkan peningkatan keyakinan Najib berbanding tahun lalu.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah menyifatkan ucapan
dasar Najib kali ini lebih komprehensif dan disampaikan secara
artikulatif.
"Saya lihat tiga perkara utama," kata beliau kepada Sinar Harian Online.
Salah satu daripada tiga perkara itu ialah ahli-ahli Umno perlu konsisten dan bersungguh-sungguh dalam menabur bakti.
"Perlu tulen dan tidak dibuat-buat... kerana akhirnya rakyat dapat lihat kebaikan atau keburukannya," katanya.
Kedua, menurut beliau, kerajaan pimpinan Umno sentiasa melakukan transformasi yag tepat dengan keperluan.
"Ia seimbang iaitu dari satu segi, ia bersifat semasa dan futuristik,
manakala dari segi yang lain, ia berpaksi pada prinsip-prinsip yang
kukuh. Ini falsafah pergerakan teguh," katanya merujuk kepada pelan
transformasi yang dilakukan.
Saifuddin yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata, Umno
parti yag bukan sahaja berkhidmat kepada orang Melayu, tapi berkhidmat
kepada semua rakyat Malaysia.
Pilihan raya umum empat tahun lalu merupakan detik hitam buat
Umno-Barisan Nasional (BN) apabila kalah teruk kali pertama kali dalam
sejarah meskipun lebih 50 tahun mendominasi pentadbiran Kerajaan
Persekutuan di negara ini.
Sudah pasti kejadian yang memalukan itu tidak mungkin mahu diulangi
kembali lebih-lebih lagi buat parti yang memperjuangkan hak keistimewaan
orang Melayu dan Bumiputera yang kian lama menyusut tahap kepercayaan
rakyat terhadapnya susulan pergolakan dalaman ahli-ahli dan jentera
parti pada 2008 lalu.
Momentum itu turut dilonjakkan menerusi Perhimpuan Agung Umno 2012 yang
sarat dengan mesej, nasihat dan mengembalikan semangat kekitaan.
Beberapa pemimpin Umno yang ditemui Sinar Harian Online mengakui mereka
tersentuh dengan sifat mahmudah yang ditonjolkan presiden parti apabila
memulakan bicara dengan memohon kemaafan dan menggesa semua ahli
memuhasabah diri sebelum berjuang pada pilihan raya akan datang.
“Kalau semua perwakilan sedar tadi Perdana Menteri sebut bagaimana
menilai diri, insaf tentang kekuatan kita, ukur keupayaan kita, cari
peluang untuk kita buktikan kepada rakyat bahawa kitalah parti yang
terbaik untuk memimpin BN dan membawa negara ini ke mercu kejayaan,”
kata seorang lagi ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Idris Harun.
Pemimpin dari Melaka ini mengingatkan ahli dan jentera parti itu supaya
menjadikan detik 2008 sebagai pengajaran buat malah lebih berwaspada
dan meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat dengan mengetepikan
kepentingan peribadi demi memastikan BN kembali memenangi hati rakyat
pada PRU13.
“Kekuatan parti dalam bentuk mengotakan apa yang dikatakan,
merealisasikan semua dasar di peringkat pelaksanaan, perancangan,
maknanya kalau bukan Umno parti lain boleh pimpin Malaysia ini.
“Kita hilang lima negeri, hilang dua pertiga majoriti di Parlimen,
menjadi pengajaran kepada kita supaya kita cari persamaan, kita jangan
iri hati, jangan sabotaj, Umno ini memang parti yang kuat, hanya Umno
boleh mentadbir dan membawa Malaysia ke hadapan yang lebih mencabar pada
masa depan,” katanya.
Tegasnya jika Umno-BN mahu mengekalkan kuasanya di Putrajaya sebagai
Kerajaan Persekutuan pada penggal akan datang, semua ahli dan jentera
parti perlulah akur kepada keputusan yang dibuat ditetapkan oleh parti
itu tanpa sebarang syak wasangka demi memastikan kemenangan milik
Umno-BN pada pilihan raya akan datang.
Umno parti tiada tandingan
“Umno dah cukup kuat, establishment dah ada, gagasan pun dah ada,
lengkap dengan struktur, sistem dan strateginya semua dah ada, jalan
toleh ke belakang lagi, engkaulah partinya, syaratnya, apa saja yang
ditentukan pemimpin nanti, kita dengar, kita taat dan kita akan menang
pilihan raya nanti.
“Tiada parti lain yang boleh kalahkan Umno sebab parti pembangkang
seperti PKR, Pas atau DAP semuanya cakap tak serupa bikin, parti
anak-beranak, parti yang carca marba, apa yang dijanji langsung dia tak
buat, langsung tak menampakkan ada akan kemajuan negeri-negeri di bawah
pimpinan mereka melainkan kemelut politik,” tegasnya.
Umno katanya tidak hanya mensasarkan pengundi Melayu sahaja untuk
meraih kemenangan nanti sebaliknya kaum bukan Melayu turut menjadi
perkiraan penting kerana Umno bukan parti perkauman sempit sebaliknya
memperjuangan nasib semua kaum yang berbilang bangsa di negara ini tanpa
prejudis.
“Kita (Umno) tetap menghargai dan menghayati kepentingan kaum-kaum lain.
“Pengundi bukan Melayu pun mempunyai cita rasa, punyai kehendak dan
kemahuan tersendiri, mereka tidak mahu pemimpin yang omong kosong,
mereka mahu pemimpin yang boleh menjanjikan keamanan dan kesejahteraan
negara berterusan,” jelasnya.
Umno mengetuai Perikatan sebelum ia dijenamakan semula sebagai BN
susulan prestasi lemah Perikatan pada Pilihan Raya Umum 1969. Prestasi
paling buruk disaksikan pada 2008.
Katanya, kebolehan Umno-BN mentadbir urus negara telah terbukti sejak
lebih 50 tahun lalu malah meletakkan martabat negara sebaris dengan
negara-negara maju dan dikenali dunia.
Hal ini katanya, amat berbeza dengan lima negeri yang diperintah
Pakatan Rakyat (PR) kerana dilihat tidak menunjukkan perkongsian kuasa
yang adil lagi saksama susulan sesetengah parti komponen pembangkang itu
dinafikan hak sebagai pentadbir negeri.
“DAP baru duduk Pulau Pinang dah tak bagi peluang Pas untuk jadi Exco
Kerajaan Negeri. Pas pula tak bagi wakil DAP jadi Exco Kerajaan Negeri
di Kedah.
“Begitu juga di Selangor yang ditadbir PKR, ada orang kuat Pas dipecat
kerana tak yakin dengan kewibawaannya dan PKR pula yang jaga hal ehwal
Islam sedangkan Pas pada peringkat mereka amat sinonim dengan Islam,”
katanya sambil menyifatkan pembangkang gagal mencapai kata sepakat dalam
pengagihan kuasa dan faktor ini menyukarkan orang bukan Melayu untuk
mempercayainya mereka kelak.
Sementara itu, Timbalan Ketua Umno Bahagian Kota Marudu, Baintin Adun @
Abd Halim pula menekankan jika Umno-BN mahu kekal relevan dan terus
menerajui pentadbiran negara, Presiden Umno perlu memastikan gerak kerja
parti dan perkhidmatan disampaikan terus ke akar umbi, bukan sekadar
ucapan semata-mata.
“Pemimpin di akar umbi akan terus mendekati rakyat untuk menerangkan
betapa penting pembangunan yang ada yang dilaksanakan oleh Umno-BN di
Putrajaya,” katanya sambil menjelaskan, Umno-BN di Sabah kerap kali
diserang dengan pelbagai tohmahan oleh pembangkang menerusi siri ceramah
politik mereka sejak akhir-akhir ini.
“Tugas semua penyokong dan ahli Umno perlu terus mendekati rakyat dan
menerangkan apa isu sebenar dan apa sebenarnya yang diperkatakan oleh
pembangkang itu betul atau tidak.
“Balik saja dari kongres ini, kami menerangkan segala apa yang telah
diperjelaskan dalam perhimpunan ini kepada akar umbi supaya kita dapat
mempertahankan kelangsungan pemerintahn Umno-BN,” katanya.
BN akan dimaafkan?
Beliau juga tidak menafikan sebelum ini Umno banyak kelemahannya, namun ia telah diatasi segera.
“Memang ada sabotaj dalam parti apabila tidak terpilih sebagai calon.
Umno bercakap banyak tetapi tidak melaksanakan apa yang patut diberikan
kepada rakyat.
“Hari ini sudah jauh berubah, rakyat sememangnya mahu apa yang mereka
minta dan pertolongan terus dapat atau sekurang-kurangnya dapat
perhatian daripada kerajaan,” jelasnya.
Berbeza pula pandangan bagi ahli jawatankuasa Umno Kampar, Mohd Ghazali
Said berkata, jika mahu mengekalkan ketuanan Melayu, Umno-BN perlu
memastikan menang besar pada PRU13.
“Kalau tidak akan punah segala-galanya, itu nasihat PM antara hidup dan
mati BN pada PRU13 mesti dapatkan kemenangan besar dua pertiga,”
katanya sambil menasihatkan ahli parti itu supaya tidak taksub kepada
kepentingan peribadi hingga menjejas matlamat parti untuk kekal sebagai
pentadbir negara kelak.
Katanya, pertelingkahan yang wujud sebelum akibat tidak tercalon pada
pada pilihan raya 2008 antara penyumbang utama kekalahan Umno-BN akibat
sabotaj dalaman menjejaskan imej parti di kalangan rakyat.
“Lupakan segala perselisihan faham, tumpu kepada parti, jangan
pentingkan peribadi, pentingkan politik semata-mata untuk kemenangan.
Persiapan mesti dibuat seratus peratus untuk mengekalkan kuasa.
“Rakyat boleh dikatakan sekarang hampir kepada BN, kaum Cina sekalipun
tetap menyokong BN pada masa sekarang, kita nampak gagasan 1Malaysia
yang dibuat oleh Presiden nampak begitu berkesan hingga ke hari ini,”
katanya.
PRU13 sudah pasti tahun depan. Kemungkinan antara 12 hingga 15 minggu lagi.
Sebagaimana diperkatakan oleh pegawai kanan Perdana Menteri, Najib kini
meletakkan harapan sebagai "seorang bapa ke atas anak." Anak yang
bernama ahli-ahli Umno dan BN selepas lebih tiga tahun memimpin Umno, BN
dan negara selaku Presiden, Pengerusi dan Perdana Menteri.
Sejauhmanakah penerimaan permintaan maaf Najib. Rakyat sudah sedia memaafkan BN?
Jika ya, adakah ia akan diterjemahkan dalam bentuk undi dan akan diberi
peluang kedua - mengembalikan kerusi majoriti dua pertiga di Parlimen
dan kembali memerintah empat kerajaan negeri?