‘BN akan menang besar PRU14’
MUHAMAD MAT YAKIM
3 Oktober 2016
Dr Mohammad Redzuan
“BN akan menang besar PRU14,” kata Prof. Datuk Dr. Mohammad Redzuan
Othman, seorang ahli akademik yang cukup dikenali kerana hasil
kajiannya yang kadang kala mencetuskan kontroversi. Kerana bertegas
dengan prinsip ketelusan dan pertanggungjawaban akademiknya, Mohammad
Redzuan terpaksa keluar meninggalkan biliknya sebagai Pengarah UMCEDEL
(Pusat Kajian Demokrasi & Pilihan Raya Universiti Malaya) - yang
beliau sendiri tubuhkan - apabila hasil kajiannya tidak memihak kepada
pemerintah.
Begitupun, beliau tidak menoleh ke belakang dalam memacu integriti dan
kredibilitinya sebagai ahli akademik. “Akademik, adalah mengatasi
politik,” katanya kepada Editor Sinar Harian, MUHAMAD MAT YAKIM dan
jurufoto, AFIQ RAZALI di pejabat Naib Canselor Universiti Selangor
(Unisel), Shah Alam, baru-baru ini.
Mohamad Redzuan kemudiannya bercakap panjang mengenai isu-isu
persempadanan semula kawasan pilihan raya yang menjadi topik panas
seminggu dua ini. Beliau juga turut menyentuh beberapa isu lain dalam
pertemuan yang penuh mesra.
Bagaimana Prof. melihat cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya kali ini?
Sejarah menunjukkan bahawa setiap kali dibuat persempadanan, BN akan
mencatat kemenangan besar. Kemenangan yang dicapai BN pada 2004,
kebanyakan orang anggap bersebab dengan faktor Pak Lah semata-mata.
Sebenarnya tidak. Pak Lah hanyalah salah satu faktor.
Pada PRU 2004, banyak kerusi yg dimenangi pembangkang dalam PRU 1999
dirampas semula oleh BN bukan kerana faktor Pak Lah. Sebaliknya kerana
persempadanan semula. Saya ambil contoh bagi Dun Kajang. Mengapa Dr.
Shafie Abu Bakar, (Adun Pas Kajang 1999-2004) kalah di Dun ini? Kenapa
pula Kak (Datuk Seri Dr.) Wan (Azizah Wan Ismail) di Permatang Pauh
mendapat undi yang jauh merosot jika dibandingkan dengan kemenangan yang
dicapai dalam PRU 1999? Dan apa yang berlaku di Terengganu (apabila BN
mengambil alih pemerintahan negeri dari tangan Pas)?
Ternyata persempadanan merupakan faktor yang mencorakkan keputusan yang berlaku.
Sebagai contoh di Dun Kajang, apabila kami membuat ground mapping,
didapati terdapat dua peti undi dengan pengundi campuran yang dimasukkan
dalam Dun Kajang. Peti undi ini juga boleh dimasukkan ke dalam Dun
Dusun Tua. Dalam kata lain, jika peti undi itu boleh memenangkan BN di
Dusun Tua, ia boleh dimasukkan ke Dun Dusun Tua. Kalau boleh membantu
memenangkan mereka di Dun Kajang, akan dimasukkan ke Dun Kajang. Ini
merupakan penyumbang kepada kekalahan Pas di Dun Kajang pada 2004. Walau
bagaimanapun, sejak PRU 2008, ini sudah tidak relevan kerana kawasan
yang mempunyai undi campuran tidak lagi memihak kepada BN.
Persempadanan memang dibuat untuk memenangkan BN?
Pada PRU 2004, ramai orang Melayu memihak kepada pembangkang berikutan
Peristiwa Mata Lebam. Orang Cina pula solid kepada BN. Persempadanan
2004 dibuat dengan membanyakkan kerusi campuran dengan pengundi Melayu
dan bukan Melayu pada nisbah 60:40 atau 55:45. Ini membawa kepada
banyak kawasan campuran diwujudkan terutama di pantai barat Semenanjung.
Pada pilihan raya 2008, kawasan campuran memihak kepada pembangkang (BN
tewas). Jadi persempadanan yang baharu ini perlu dibuat mengikut
kelompok. Kaum Cina satu kelompok, Melayu satu kelompok.
Contohnya, di kawasan Parlimen Seputeh. Kalau dahulu (DAP) menang di
situ dengan mendapat undi yang besar, sekarang BN tidak kisah kalau DAP
menang dengan mendapat undi yang lebih besar kerana kawasan ini adalah
majoriti Cina. Apa yang mereka buat ialah beri tumpuan di Parlimen
Lembah Pantai. Ini dilakukan dengan membawa masuk kawasan polis (Bukit
Aman) dicampur dengan kawasan Melayu di Pantai Dalam. Dengan cara itu,
mereka akan dapat (menang) Lembah Pantai.
Kawasan-kawasan lain?
Titiwangsa, sukar untuk Pas menang balik. Bandar Tun Razak memang sukar
nak dibuat persempadanan semula atas sebab kawasan itu agak padat. Bagi
kawasan Parlimen Lembah Pantai, saya boleh katakan sukar bagi
pembangkang mengekalkan kerusi ini. Dengan anggaran 6,000 undi polis
Bukit Aman masuk (Lembah Pantai) dan pertambahan pengundi baharu,
harapan YB Nurul Izzah untuk mengekalkan kawasan berhadapan laluan
sukar.
Mengapa Prof. kata begitu?
Keadaan tidak sama dengan 2004. Kalau dahulu, apabila dibuat
persempadanan, orang terima sahaja tetapi sekarang, selain SPR, orang
lain pun ada kepakaran membuat kajian. Sebagai contoh kami juga boleh
buat ground mapping sama seperti yang SPR buat bagi mengetahui apa yang
dilakukan dengan kawasan yang baru dibentuk.
Dari segi pendedahan media, masyarakat kita juga sudah terbuka. Sebelum
2004, parti pembangkang tidak memberi perhatian serius tentang
persempadanan tetapi sekarang, mereka sudah tahu bagaimana nak protes
malah boleh membuktikan sebab mereka tidak puas hati.
Dalam soal ini,
apa yang kita pentingkan adalah masyarakat mahukan ketelusan dan
keadilan.
Masyarakat boleh menerima siapa sahaja yang menang pilihan raya, siapa
yang menang akan disokong untuk memerintah tetapi biarlah kemenangan itu
diperoleh dengan cara jujur. Kalau menang dengan cara tidak jujur,
memerintah tidak mempunyai legitimasi dan cenderung bertindak secara
sewenang-wenangnya. Rakyat dikaburi dengan alasan pemerintah sudah
mendapat mandat.
Apa yang sedang berlaku ini, bagi saya boleh dianggap seperti satu
penyelewengan. Ini jenis penipuan yang dihalalkan. Mereka akan beritahu
“kami menang pilihan raya, dapat banyak kerusi, dapat banyak undi”
tetapi realitinya?
Mereka menang dengan cara yang tidak gentleman. Saya yakin majoriti
rakyat mendukung amalan demokrasi, mereka terima siapa yang mendapat
mandat rakyat, satu undi menang pun kena terima, itu kematangan
demokrasi tetapi biarlah dengan cara yang baik.
Bagaimana pula dengan tempoh berkempen?
Selain persempadanan, faktor lain dalam amalan demokrasi juga
mempengaruhi keputusan pilihan raya. Tempoh masa berkempen juga terbukti
menentukan keputusan PRU.
Antara ‘kesilapan’ besar Pak Lah ialah membenarkan kempen 13 hari pada
PRU 2008. Zaman Mahathir, hanya sembilan hari sahaja berkempen dalam
PRU 1999. Kalau tempoh berkempen dalam PRU ini dibenar dua minggu,
kerajaan Mahathir boleh tumbang pada waktu itu.
Pada 2008, dari segi undi popular, kajian menunjukkan sebanyak tiga
peratus sokongan untuk BN menurun setiap hari pada minggu kedua kempen.
Kalau kempen pilihan raya 2008 dibuat selama 16 hari, BN hilang lebih
banyak kerusi.
Saya pernah membuat kajian yang khusus tentang The Trail of Anwar
Ibrahim, di mana (Datuk Seri) Anwar Ibrahim berkempen di seluruh negara
dalam PRU 2008. Hampir semua kawasan di mana Anwar turun berkempen sama
ada jatuh ataupun jika BN menang, dengan majoriti tipis.
Dari Perak,
Kedah dia terus ke Pahang. Dari Pahang balik ke Kuala Lumpur. Sebagai
contoh, Parlimen Padang Rengas berkemungkinan jatuh jika Anwar sempat
berceramah kerana di kawasan tersebut. Anwar dijadualkan berceramah di
Kampung Stesyen yang mempunyai 3,000 pengundi Cina dalam kerusi Parlimen
Padang Rengas tetapi terpaksa membatalkannya pada saat akhir kerana
beliau sampai ketika jam sudah melewati pukul 12 tengah malam. Kalau
Anwar berceramah di situ malam itu, ada mungkin (Datuk Seri) Nazri
(Aziz) juga kalah. Ini adalah kelebihan ‘aura politik’ yang ada pada
Anwar Ibrahim berbanding dengan pemimpin politik yang lain.
Dengan persempadanan ini, Lim Kit Siang pun saya percaya mungkin kalah
kalau terus bertanding di Gelang Patah. Johor, Selangor dan Negeri
Sembilan paling banyak kerusi campuran. Sekarang kerusi campuran
dikurangkan (melalui persempadanan semula) dan dibanyakkan kerusi sama
ada pengundi Cina sahaja ataupun Melayu sahaja.
Ini akan mendorong kepada berlakunya perebutan sesama parti
pembangkang. DAP ambil kawasan PKR, PKR nak bertanding mana? Kawasan
Melayu pula, Pas kata itu kawasan mereka. Macam mana pula dengan Amanah
dan Bersatu? Jadi, ini akanmembantu kemenangan BN.