January 31, 2012
KUALA LUMPUR, 31 Jan - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan dibantu agensi agama negeri kini memantau pergerakan Kelab Taat Suami, menegaskan kelab yang majoriti besar dianggotai bekas pengikut Al-Arqam masih memiliki buku panduan seks terbitan kelab itu.
Buku panduan seks bertajuk “Seks Islam, Perangi Yahudi Untuk Kembalikan Seks Islam Kepada Dunia” telah diharamkan Kementerian Dalam Negeri pada November lalu.
Pihak kementerian berkata sesiapa yang memiliki buku yang mengulas mengenai seks suami isteri secara terperinci itu boleh didenda sehingga RM5,000.
Mereka yang didapati menerbitkan semula buku itu, bagi tujuan jualan boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
"Mereka (Kelab Taat Suami) masih menyimpan buku panduan seks itu, dan kita juga telah lihatnya sendiri dalam rakaman video dalam program anjuran mereka baru-baru ini.
"Kementerian Dalam Negeri telah haramkan buku ini, tapi mereka masih lagi menyimpannya dan kita akan siasat perkara ini," kata sumber Jakim kepda The Malaysian Insider.
Sumber itu berkata pada program anjuran Kelab Taat Suami sempena pelancaran sambutan Maulidur Rasul baru-baru ini pihak Jakim mengesan buku itu dibawa oleh ahli kelab itu.
Selain itu, kata sumber itu, satu tangkapan dibuat ke atas seorang ahli Kelab Taat Suami di Ipoh, Perak semasa sempena pelancaran sambutan Maulidur Rasul kerana memiliki buku panduan seks itu.
"Jakim kini sedang memantau pergerakan Kelab Taat Suami kerana kita percaya mereka masih menyimpan dan memiliki buku itu, selain itu ia juga melibatkan hal ehwal agama Islam.
"Kita pantau di seluruh negara dengan dibantu jabatan agama negeri." katanya.
Jelas sumber itu, tindakan tegas akan diambil terhadap Kelab Taat Suami sekiranya Jakim mempunyai bukti tentang perkara itu.
"Kalau ada aduan dan bukti yang kuat kita akan mengambil tindakan tegas terhadap Kelab Taat Suami," katanya menambah kelab pimpinan Fauziah Ariffin tidak sepatutnya memiliki buku yang telah diharamkan.
Pada pelancaran sambutan Maulidur Rasul di Pusat Perdagangan Pelangi, Damansara di sini, Fauziah berkata kelab itu mendapat sambutan yang menggalakkan selepas kerajaan mengharamkan buku panduan seks itu.
Beliau juga berkata pihaknya akur dengan pengharaman dibuat Kementerian Dalam Negeri itu menambah rakyat akan “menilai mana yang baik dan mana yang buruk.”
“Buku itu sudah diwartakan sebagai haram oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), jadi kita tidak terbitkan lagi namun orang ramai beranggapan ia sangat berguna kepada perkahwinan mereka kerana buku itu memberi makna yang besar.
“Kami tidak mahu timbulkan kontroversi, kita tidak mahu timbulkan masalah dan kita akan membiarkan masyarakat menilai mana yang baik, mana yang buruk,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment