Oleh : Amidi Abdul Manan
Suasana hari raya masih terasa.
Selepas seminggu beraya di kampung, kini kehangatannya mula dirasai pula di
bandar. Majlis rumah terbuka memeriahkan lagi suasana. Kunjung-mengunjung yang
menjadi tradisi masyarakat Islam di Malaysia, tatkala Syawal terus disuburkan
dengan perkumpulan ahli keluarga dan rakan taulan.
Siri perkumpulan ini dimeriahkan
lagi dengan cuti hujung minggu yang panjang bagi meraikan hari kebangsaan dan
Hari Malaysia. Aidilfitri secara harfiahnya boleh difahami sebagai hari
meraikan fitrah. Fitrah yang dimaksudkan ialah fitrah keinsanan yang sudah
disucikan daripada pencemaran selepas tewasnya hawa nafsu selama sebulan akibat
daripada kekangan kelaparan. Hawa nafsu yang keterlaluan perlu ditewaskan jika
kita inginkan pengembalian potensi kemanusiaan dalam diri kita.
Fitrah adalah satu perkataan yang
mempunyai kaitan dengan perubahan. Malik Ben Nabi dalam mengemukakan teori
ketamadunannya, menggelarkan kelompok yang berupaya menggerakkan sebuah
kebangkitan semula sejarah sesuatu bangsa dengan gelaran Rajul al-Fitrah. Rajul
al-Fitrah dicirikan dengan daya ubah yang tinggi selain semangat berdikari yang
kental.
Generasi ini tidak mudah berpuas
hati dengan keadaan dimiliki hari ini. Mereka sentiasa berusaha memperbaiki
diri, baik dari sudut ilmu dan kemahiran. Mereka lebih bersikap reseptif dalam
mempelajari sesuatu, mahupun menerima idea perubahan. Generasi ini juga amat
dekat dengan persekitaran. Menggunakan segala manfaat yang boleh diambil
daripada persekitarannya dan mampu menggunakan kreativiti bagi menghasil produk
baru.
Generasi Rajul al-Hadarah
Lawan kepada generasi ini digelar
oleh Malik Ben Nabi sebagai Rajul al-Hadarah. Generasi ini adalah generasi yang
selesa dan senang dengan kenikmatan hidup hari ini. Generasi ini dicirikan
dengan kemalasan untuk berusaha dalam memperbaiki diri. Malah untuk keselamatan
dirinya pun diletakkan kepada pihak berkuasa atau pun pihak lain yang dirasakan
patut bertanggungjawab.
Generasi ini tidak mahu bersusah
payah mempelajari ilmu dan kemahiran baru dan menolak segala bentuk idea baru
yang dirasakan boleh menggugat keselesaan kehidupan seharian mereka.
Golongan inilah yang akhirnya
akan menjerumuskan sesebuah tamadun ke dalam fasa kemerosotan yang dicirikan
dengan kematian idea. Generasi ini juga mempunyai sifat materialistik yang
keterlaluan terhasil akibat kegagalan memahami situasi atau keadaan yang
melampaui batasan fizikal.
Inilah maksud yang lebih mendalam
apabila dilihat dalam konteks ketamadunan manusia daripada kalimah fitrah itu
sendiri. Fitrah mestilah berupaya menghasilkan perubahan diri ke arah kebaikan.
mampu melahirkan manusia tulus mengakui kelemahan dirinya dan terlindung
daripada pencemaran keangkuhan. Fitrah juga mestilah mampu menyucikan segala
bentuk kemalasan dan mampu menghijrahkan diri ke martabat lebih tinggi lagi.
Gandingan fitrah dan huriyyah
Apabila gandingan perayaan antara
fitrah dan huriyyah (kemerdekaan), ia menjadi lebih besar maknanya. Ia
sepatutnya menjadi suatu perayaan yang mengangkat karamah insaniah (kemuliaan
insan) ke tahap sepatutnya.
Manusia yang kembali kepada fitrahnya
adalah manusia yang berjaya memerdekakan dirinya daripada sebarang kekangan
yang boleh merendahkan martabat keinsanannya. Justeru, hari kemerdekaan yang
bakal menjelma ini wajar kita jadikan satu hari untuk melakukan muhasabah.
Merenung masa depan sebuah negara dan tamadun.
Jika kita ingin menjadi generasi
pencetus kebangkitan sebuah tamadun, kita perlu menghilangkan rasa selesa
dengan keadaan hari ini dan bangun bergerak ke arah lebih baik. Generasi muda
mesti keluar daripada zon selesa dan mula mengubah diri dengan potensi fitrah
yang terbina sepanjang Ramadan lalu.
Peringatan kepada kita
Jangan kita alpa dan lalai kerana
masa tidak pernah menunggu kita. Rasa selesa dengan keadaan hari ini secara
keterlaluan akan membuatkan kita lambat untuk berubah. Guna suasana selesa ini
untuk melakukan perubahan ke arah lebih baik. Bukankah semangat Ramadan
menuntut kita agar terus menambah dan memperbanyakkan amalan apabila menuju ke
penghujungnya?
Jangan kita leka dengan
kemerdekaan negara yang kita peroleh hari ini. Kita hanya merdeka dari segi
pemerintahan dan pentadbiran tetapi kita masih terjajah dari sudut ekonomi
apabila kita hanya sebagai penumpang bukan pemain global dari sudut ekonomi
dunia. Kita juga masih perlu membina pelbagai kemahiran dan kepakaran jika kita
benar-benar ingin bebas dari sebarang penguasaan asing.
Begitu juga dengan penjajahan
pemikiran yang secara keseluruhannya menguasai dunia Islam hari ini. Inilah
perjuangan kemerdekaan generasi muda hari ini. Lengkapkan diri kita dengan ciri
Rajul al-Fitrah jika kita benar-benar cinta akan sebuah kemerdekaan.
Penulis ialah Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Sumber : http : //www.bharian.com.my/