Ahad, 23 Januari 2011
Kelongsong Sentuhan Murabbi Tidak Terisi
Jiwaku dicengkam resah lantaran kelongsong Sentuhan Murabbi sekian lama tidak terisi. Lebih tiga minggu. Sibuk memang sibuk, maklumlah sesi persekolahan baru bermula. Bukan sibuk yang menghalangku mencoret kisahku bersama murabbi mursyid itu. Langkahku terhenti kerana banyak peristiwa yang dirakam dalam memoriku sudah lusuh, kabur, berkulat, bahkan ada yang sudah hilang warna. Memang kudapat menulis atau mereka, tetapi apa yang kumahu adalah yang sebenar dan benar-benar. Kucuba dapatkan daripada isteriku yang juga sekelasku dan juga rakan seangkatanku. Ini semua juga meminta waktu untuk dapatkan maklumat tersebut.
Ya, itulah nilai catatan. Memang amat terasa sekarang harganya, bahkan tak ternilai dengan wang ringgit atau harta benda. Catat memang kucatat, tetapi hanya mencatat penyampaian ijtimak am dan kuliah-kuliah para murabbi. Alhamdulillah catatan itu masih tersimpan dan kujagai sehingga kini. Satu sudah hilang entah di mana. Aku pun dah lupa. Tetapi perjalanan hidupku di Matri dan perjalanan Matri tak pernah kucatat. Cuma selepas kembalinya almarhum murabbiku yang disayangi, baru kurasai betapa perjalanan Matri perlu didokumentasikan.
Mereka yang sentiasa selongkar kelongsong Sentuhan Murabbi kumohon maaf jika tidak ketemui coretan baru. Doakan semoga Allah segarkan kembali memoriku dan memudahkan kembali kuhubungi rerakanku seangkatan.
Langgan:
Catatan (Atom)