Assalammualaikum :D
Beberapa hari lagi umat Islam akan menyambut ulang tahun keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Di Malaysia, saat menjejak tanggal 12 Rabiulawal, setiap dari kita mula bersiap sedia menghadapi hari-hari yang dinanti. hari cuti umum!. Pada hari cuti umum ini, akan diadakan keraian-keraian Islami yang dipenuhi aturcara mengenang Rasulullah dengan berselawat merdu, bernasyid dan berceramah. Tidak akan ketinggalan walau satu tahun pun, upacara-upacara sebegini akan diadakan. Persoalannya, sejauhmanakah sambutan ini benar-benar bermakna pada kita?
Pengulangan dari tahun demi tahun mampu menjadikan sambutan ini sekadar satu upacara ritual yang harus dilaksanakan. Tidak menjadi masalah sekiranya kita hanya mengikut-ikut orang lain pada awalnya dengan mengharapkan sebuah keikhlasan beribadah di hujungnya, tetapi amatlah merugikan kerana Maulidurrasul sebenarnya mampu menjadi satu ibadah cinta agung yang mampu mengundang pahala dan syafaat daripada Rasulullah tercinta. Menarik bukan? Tetapi, bagaimana pula caranya?
Segalanya bermula dengan sebuah kisah cinta. Setiap yang dilakukan menjadi lebih bermakna jika dihadiri dengan perasaan cinta. Dengan rasa cinta, kita tidak akan berkira walau sebanyak mana kudrat yang perlu kita gunakan untuk membuktikan sebuah nilai cinta pada insan tersayang. Pasti para pembaca sendiri pernah melakukan sesuatu yang tidak digemari, tetapi harus dilakukan juga atas dasar tanggungjawab. Cuba bandingkan dengan suatu perkara yang dilakukan dengan penuh rasa cinta, khas buat orang yang dicintai. Saat hadirnya cinta, yang susah jadi mudah, yang lama jadi sekejap, yang panas pun boleh menjadi sejuk. Inilah pesona dan penangan cinta.
Begitulah juga kita dengan Rasulullah S.A.W. Cinta seharusnya dipupuk dalam-dalam. Andai ada cinta, barulah kita benar-benar dapat merasakan betapa kita menanti-nanti tanggal 12 Rabiulawal. Bukan lagi sekadar kerana sebuah cuti umum yang diadakan dengan pelbagai program mengingati kuputeraan seorang yang ditugaskan menyampaikan risalah Allah, tetapi satu hari teristimewa yang amat dinantikan, untuk dilakukan pelbagai perkara yang mampu membuatkan baginda semakin sayang pada kita semua.
Semestinya perasaan itu tidak mampu hadir serta-merta. Bukan mudah menerbitkan cinta. Bukan mudah juga untuk jatuh cinta. Untuk mencintai, semestinya kita harus mengenali. Bukan cukup kalau sekadar mengenali bibliografi, tetapi harus menganjak jauh mengenali hati budi. Percayalah bahawa, setelah mengenali baginda, terlalu mudah untuk kita jatuh cinta dengan insan agung yang dicintai Allah ini. Peribadinya sahaja sudah cukup membuatkan yang mengenalinya tertawan. Mana tidaknya, akhlak baginda merupakan cerminan al-Quran. Pelbagai kisah menarik yang tercatat dalam sirah yang mampu membuatkan kita tersenyum, merindui kehadiran baginda dalam kehidupan kita. Tambahan pula apabila mengetahui, saat hayatnya, kita semua yang tak pernah diketemuinya ini disebeut-sebut, malah hingga ke akhir hayatnya, baginda masih mengingati umatnya dengan lafaz syahdu.. \"ummati..ummati..ummati...\".
Mana mungkin kita gagal untuk jatuh cinta pada baginda?
Bukan setakat mencintai.. Setelah mencintai, pastinya jiwa menggesa untuk berkorban membuktikan cinta. Dengan cinta, lafaz \"Aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah\" pastinya lebih bermakna. Kesaksian yang terkepil dengan satu amanah penyaksian misi dakwah Rasulullah yang harus diteruskan sudah tentu menjadi satu azam yang terpasak dalam jiwa. Bukan lagi menjadi sebuah tanggungjawab yang dirasakan terpaksa untuk dilangsaikan, tetapi sebagai satu bukti rasa cinta mengharapkan Rasulullah S.A.W turut mencintai kita,mencintai umat yang tegar menuntun perjalanan profesyen utama baginda, profesion seorang pendakwah.
Lafaz selawat "Sallallhu 'ala Muhammad, Sallallahu 'alaihi wasallam" juga mudah dilafazkan dengan getar rasa cinta dalam jiwa. Tiap lafaz dialunkan dengan rasa cinta dan rindu yang cukup mendalam, mengharap syafaat daripada baginda di akhirat kelak. Lafaz ini pastinya dikumat-kamitkan selalu dengan penuh pengharapan supaya nanti saat ketemu di akhirat, kitalah yang diperhatikan baginda saat baginda berpaling melihat umatnya, dengan senyuman terindah. Subhanallah..betapa indahnya!
Setiap perkara sunat yang diperturunkan juga dapat dilakukan dengan penuh rasa ikhlas, tanpa sedikit pun rasa terbeban. Betapa indahnya kehidupan, apabila tertambahnya sebuah nilai agung yang membuatkan urusan dunia yang asalnya hambar, menjadi urusan akhirat yang akan dihitung ke Syurga. Bersukan bukan lagi sekadar menjadi pengisi masa terluang untuk bersuka-suka, tetapi sesuatu yang besar ertinya pada pemantapan kekuatan ummah apabila ianya disarankan oleh Rasulullah. Membahagiakan ahli keluarga dan jiran tetangga bkan lagi menjadi aksi-aksi sebuah akhlak asasi, tetapi sebuah tanggungjawab yang bernilai Syurga.
Dengan cinta inilah, seluruh kehidupan kita mempunyai roh sebuah kehidupan bernilai akhirat, sejajar dengan matlamat baginda didatangkan kepada umatnya, termasuklah kita, umat akhir zaman. Kedatangan baginda memberi sebuah sinar kehidupan, yang memperjelas jalan-jalan ke Syurga. Semestinya, pilihan berada di tangan kita. Mempertaruhkan sebuah ketaatan dengan satu keterpaksaan, atau menyulam ketaatan dengan sebuah keikhlasan rasa cinta? Tepuk dada tanya selera. Akhir kalam, ayuh kita risik-risikkan khabar jiwa kita semua.. Seistimewa manakah nilai sambutan keputeraan baginda pada tahun ini pada kita? juga.. seistimewa manakah baginda Rasulullah dalam 364 hari yang lainnya pada pada kita? Semoga nanti di akhirat, semua diantara kita berjaya memenangi syafaat dan senyuman Rasulullah..
Selamat menyulam cinta.
Eid Milad, Ya Rasulullah....
Kami merinduimu.