Penang Route 6

Penang Route 6 Shop

klik kan ye

Monday, August 30, 2010

Satu maut angkara kotak misteri


DI tingkat 12 Apartmen Desa Tun Razak, Kuala Lumpur tempat kotak misteri meletup semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang suri rumah yang tinggal di tingkat 12, Blok 2, Apartmen Desa Tun Razak di sini semalam mulanya teruja apabila melihat sebuah kotak dengan dua biji limau bali berada di hadapan pintu rumahnya.

Namun keseronokannya itu bertukar curiga apabila pada kotak sebesar televisyen 14 inci yang ditemui pada pukul 8.30 pagi itu tidak bertulis apa-apa.

Suri rumah yang sangsi dengan kotak tersebut dihantar kepada keluarganya kemudian bertanya suami dan jiran-jiran mengenai perkara itu.

Namun selepas tiada sesiapa mengetahui mengenai kotak misteri itu, wanita itu cuba membukanya sebelum merasa hairan kerana terhidu bau minyak petrol.

Pemangku Ketua Polis Daerah Cheras, Supritendan Abdul Rahim Hamzah Othman berkata, wanita terbabit yang mula takut dengan kehadiran kotak itu kemudian turun ke kedai kafe siber miliknya di tingkat bawah untuk meminta bantuan pekerjanya.

“Seorang pekerja wanita dan pekerja lelaki naik dan membantu mengangkat kotak tersebut yang mahu dibawa masuk ke dalam rumah,” cerita beliau ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Saturday, August 28, 2010

Pelik tapi benar "Ikan 'berkaki empat'


GAMBAR menunjukkanseekor ikan 'berkaki empat'.

JAKARTA - Seekor ikan 'berkaki empat' ditemui di dalam laut pada kedalaman lebih 500 meter di Wilayah Sangihe Talaud dekat perairan Indonesia, lapor sebuah akhbar semalam.

Kaki ikan itu sebenarnya sirip tetapi semasa ia berada di lantai laut, sirip tersebut bertindak seperti kaki untuk mengimbangi pergerakan.

Imej ikan itu dirakamkan oleh sebuah kenderaan robotik yang dilengkapi kamera dalam projek sekumpulan saintis termasuk dari Amerika Syarikat untuk meninjau kehidupan marin di laut dalam.

Gambar seekor ikan seperti jerung turut dirakamkan selain hidupan laut seperti tumbuhan berwarna merah. - Agensi

Friday, August 27, 2010

Lelaki Pakai Telekong Culik Pelajar IPT


Inilah rumah sewa pelajar perempuan di Taman Chempaka, Ipoh yang diceroboh lelaki bertelekung putih semalam.

IPOH – Seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) semalam trauma selepas menjadi mangsa culik selama sejam oleh seorang lelaki bertelekung putih dalam satu kejadian di Taman Chempaka di sini.

Dalam kejadian pada pukul 7.10 pagi itu, mangsa yang berusia 19 tahun dikatakan terpaksa mengikut kehendak lelaki terbabit selepas rumah teres dua tingkat yang didiaminya bersama tujuh rakan perempuan diceroboh oleh lelaki bertelekung itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Supritendan Ibrahim Abu Bakar berkata, sebelum kejadian tersebut tiga pelajar berada di tingkat bawah mengulangkaji pelajaran manakala lima lagi pelajar berada di dua bilik lain di tingkat atas.

“Tiba-tiba lelaki berseluar dan bertelekung putih yang hanya nampak mata masuk ke ruang tamu lalu mengambil sebilah pisau di dapur.

“Lelaki itu kemudian mengacu-acukan pisau sambil meminta tiga pelajar di tingkat bawah rumah itu mengumpulkan semua komputer riba dan telefon bimbit masing-masing di satu tempat di dalam rumah itu,” kata Ibrahim ketika dihubungi di sini semalam.

Selepas hajatnya ditunaikan, lelaki bertelekung itu menyuruh tiga pelajar terbabit menyorok di dalam bilik air sebelum suspek naik ke tingkat atas dan masuk ke dalam sebuah bilik.

“Di salah sebuah bilik itu suspek menjerit menyuruh lima pelajar yang berada di situ berdiri sambil memberitahu dia membawa asid.

“Salah seorang daripada pelajar itu kemudian diugut supaya mengikutinya jika tidak mahu dicederakan,” kata Ibrahim.

Mangsa didakwa terus mengikuti suspek itu masuk ke dalam kereta Perodua Myvi warna kelabu

Wednesday, August 25, 2010

Budak lelaki tiga tahun mati disembelih di Kota Baharu

KOTA BAHARU - Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun mati dipercayai disembelih seorang saudara terdekat di sebuah rumah di Kampung Sungai Budor di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 11.40 pagi tadi, Mohd Adam Muzaffar Muhaimi mati di tempat kejadian manakala lelaki yang menyerangnya cedera di leher dipercayai akibat cuba menyembelih dirinya sendiri.

Menurut datuk mangsa, Nik Hashim Nik Abdullah, 64, beliau menyedari kejadian itu setelah diberitahu oleh anaknya, Nik Suzila, 32 iaitu ibu kepada Adam Muzzaffar.

Nik Hashim, yang ketika itu sedang berehat di rumahnya yang terletak tidak jauh dari rumah mangsa, terus menghubungi polis yang kemudian menahan lelaki itu dan merampas sebilah pisau di tempat kejadian.

Lelaki terbabit berusia dalam lingkungan 33 tahun dipercayai pernah mendapat rawatan mental di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini.

Lelaki itu, seorang pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di Kota Baharu, dipercayai sudah lama tidak makan ubat bagi rawatan penyakit mentalnya itu.

Adam Muzaffar adalah anak kedua daripada tiga beradik.

Ketika kejadian, adik bongsungnya, Suhaida, 2, ditinggalkan oleh ibunya di rumah Nik Hashim kerana menolong jirannya melapah ayam.

Pemangku Timbalan Ketua Polis Kelantan, ACP Mazlan Lazim yang ke tempat kejadian berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Monday, August 23, 2010

Iran lancar pesawat bom tanpa juruterbang



GAMBAR yang bertarikh 22 Ogos lalu menunjukkan pesawat pengebom tanpa juruterbang dilancarkan dari sebuah lokasi rahsia di Iran.

TEHERAN - Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad semalam merasmikan pesawat pengebom tanpa juruterbang pertama negara itu yang digelar Duta Maut.

Menurut satu laporan sebuah stesen televisyen di negara itu, pesawat yang berukuran empat meter panjang itu mampu mengangkut empat buah peluru berpandu dan mempunyai jarak penerbangan sejauh 1,000 kilometer.

Namun jarak itu masih tidak mencukupi untuk tiba di negara musuh ketat Iran iaitu Israel.

"Pesawat itu juga merupakan Duta Maut untuk musuh-musuh kemanusiaan, membawa satu pesanan keamanan dan persahabatan," kata Mahmoud pada majlis perasmian Industri Pertahanan Iran yang juga hari kemerdekaan negara itu.

"Matlamat pesawat yang diberi nama Karrar itu adalah untuk memastikan musuh pertahanan dilumpuhkan," kata Mahmoud.

Menurutnya, pesawat itu dibina untuk pencegahan dan tujuan pertahanan Iran.

Presiden Iran itu turut memperjuangkan program ketenteraan dan menyatakan ia akan diteruskan sehingga musuh hilang harapan untuk menyerang Iran. - AP

____________________________________________________________________

Thursday, August 19, 2010

60 peratus berzina kerana pengaruh video lucah


BAHAN lucah yang mudah diperoleh di Internet juga menjadi faktor pendorong berlakunya kes perzinaan.

KUALA LUMPUR – Satu kajian yang dibuat oleh seorang pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun lalu mendapati 60 peratus kes perzinaan berpunca daripada menonton bahan-bahan lucah.

Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja UKM, Dr. Khaizil Ismail berkata, Kajian Remaja Berisiko Tinggi yang dijalankan selama enam bulan itu dijalankan di pusat-pusat pemulihan akhlak di seluruh negara merangkumi kira-kira 600 responden yang berumur antara 15 dan 20 tahun.

“Biasanya gadis yang sudah berzina dengan pasangan akan mengandung dan kemudian mengambil keputusan membuang bayi yang dilahirkan bagi mengelakkan rasa malu atau diketahui keluarga.

“Perzinaan yang berlaku akan menyebabkan terhasilnya anak luar nikah. Jadi, saya menyokong kenyataan bahawa kes-kes buang bayi yang semakin banyak sekarang ini adalah berpunca daripada menonton bahan-bahan lucah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Tuesday, August 17, 2010

Pensijilan halal akan diwajibkan


JAMIL KHIR (bersongkok) melepaskan konvoi Jelajah Sahabat Yadim 1Malaysia di pekarangan Masjid Putra, Putrajaya semalam.

PUTRAJAYA - Semua pengusaha produk makanan, kosmetik dan farmaseutikal akan diwajibkan untuk mendapatkan sijil halal selepas pindaan Akta Perihal Dagangan 1972 dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pindaan akta itu juga bagi memantap dan memperkemaskan peraturan industri halal negara.

"Kita tidak boleh menyalahkan pihak syarikat sahaja, mungkin ada kekangan yang lain tetapi apabila akta itu dipinda nanti, ia membolehkan mereka berusaha untuk mendapatkan sijil halal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jelajah Sahabat Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) 1Malaysia di Masjid Putra di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan beberapa hotel bertaraf lima bintang yang tidak memohon pensijilan halal.

Monday, August 16, 2010

Ayam import untuk stabil harga

WALAUPUN ramai merungut harga ayam RM7 sekilogram, kerajaan berpendapat ia masih di tahap munasabah. - Gambar hiasan.

WALAUPUN ramai merungut harga ayam RM7 sekilogram, kerajaan berpendapat ia masih di tahap munasabah. - Gambar hiasan.

JITRA - Kerajaan akan mengeluarkan permit import ayam jika harganya terus meningkat menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Wira Mohd. Johari Baharom berkata, permit itu mungkin dikeluarkan jika harga ayam melebihi daripada kadar RM7 sekilogram sekarang yang dianggap masih munasabah.

"Harga RM7 itu masih rendah berbanding di negara-negara jiran.

"Kos pengangkutan, makanan dan permintaan naik mungkin menyebabkan harganya meningkat.'' katanya di sini semalam.

Kita pun hairan, bila datang bulan ramadhan semua barang naik ye.

Friday, August 13, 2010

Apa Hal Pulak Ni, Aksi berani dua penerjun













SEORANG penerjun terjun dari sebuah kren di Stratford Hight Street, London baru-baru ini.

LONDON – Seorang jurukamera amatur di Britain merakamkan aksi berani dua penerjun payung terjun dari sebuah kren berhampiran tapak Sukan Olimpik 2012 di bandar raya ini, lapor sebuah akhbar semalam.

Ketika kejadian baru-baru ini, jurukamera tersebut, Dan McCurry secara tidak sengaja merakamkan aksi mereka apabila dia bangun pagi untuk mengabadikan imej matahari terbit membelakangi pencakar langit di Stratford Hight Street.

Tanpa pengetahuannya, dua penerjun payung terjun sanggup menyabung nyawa memanjat kren pencakar langit itu bagi melepaskan gian untuk melakukan terjunam.

Dia berjaya merakam aksi penerjun pertama dan kedua yang kemudian mendarat di tepi sebatang jalan raya di sini sebelum menghilangkan diri.

Sukan terjun paracut dilarang di Britain. – Agensi



Wednesday, August 11, 2010

Warga Rusia Juara Terjunan


AKSI Artem Silchenko semasa dia terjun pada ketinggian 26.82 meter di Poligano, Itali pada Ahad lalu.

POLIGANO, Itali - Seorang warga Rusia, Artem Silchenko menjadi juara terjunan dari ketinggian 26.82 meter yang disaksikan lebih 40,000 orang di sini pada Ahad lalu, lapor sebuah akhbar semalam.

Sukan terjunan itu dianjurkan berdasarkan peristiwa pemerintah terakhir Maui, Raja Kahekili melompat dari cerun curam pada 1770 dan jatuh ke dalam air tanpa percikan air.

"Saya berpendapat saya telah menunjukkan terjunan terbaik pada pertandingan di Poligano," kata Silchenko yang menjadi naib juara sebanyak dua kali sebelum ini.

Beberapa peminat terjunan menganggap aksi Silchenko berisiko semasa dia memusingkan badannya ketika membuat terjunan. - Agensi

Tuesday, August 10, 2010

Maya, Remy nafi berdua ke Jakarta


MAYA dan Remy pada sidang akhbar teater Natrah musim kedua di Istana Budaya, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR - Pelakon janda Maya Karin, 31, dan aktor kacak Remy Ishak, 28, menafikan dakwaan yang mengatakan mereka dilihat bersama di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Jakarta, Indonesia pada 1 Ogos lalu.

Menurut Maya Karin, pada tarikh itu dia berada di Alor Setar, Kedah dan pada 2 Ogos pula dia telah berangkat ke Thailand untuk menjalani pengambaran filem Ombak Rindu.

"Saya menafikan dakwaan tersebut. Ia adalah fitnah kerana pada waktu yang dinyatakan, saya dan Remy Ishak berada di dua lokasi yang berbeza.

"Pengarah filem saya, Osman Ali juga berani menjadi saksi yang saya memang berada di lokasi pengambaran pada waktu itu. Kalau tidak percaya anda boleh menghubunginya," tegas Maya ketika ditemui pada sidang akhbar teater Natrah musim kedua di Istana Budaya di sini semalam.

Maya juga mencabar agar sumber yang dinyatakan melihat dia dan Remy berdua-duaan di Indonesia tampil memberi penjelasan.

Sementara itu, Remy turut menafikan dakwaan tersebut kerana pada waktu yang dinyatakan dia sedang menjalani pengambaran di Kuala Lumpur.

Thursday, August 5, 2010

Penagih Di Kedah Meningkat


ALOR SETAR - Kadar penagih dadah di Kedah bagi enam bulan tahun ini menunjukkan peningkatan kepada 26,330 berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu 20,426 penagih.

Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah, Mohammad Nazer Mustafa berkata, namun daripada jumlah keseluruhan itu daerah Kota Setar dan Pokok Sena merupakan kedua tertinggi di Kedah.

Menurutnya, enam bulan awal tahun ini sejumlah 4,682 penagih dicatatkan bagi dua daerah itu berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu sebanyak 4,726.

“Jumlah penagih dadah pada tahun ini berada di tahap yang membimbangkan dan Kedah juga termasuk dalam senarai negeri yang diberi tumpuan untuk menurunkan kadar penagih dadah.

“Trend peningkatan kadar penagih dadah ini juga berlaku kepada golongan berusia di lingkungan 13 hingga 29 tahun iaitu dalam kalangan golongan yang produktif,” katanya.

Mohammad Nazer berkata, ketagihan yang berlaku dalam kalangan golongan yang produktif itu berpunca daripada pengaruh rakan yang merupakan faktor utama mereka menagih dadah.

Menurutnya, selain daripada faktor pengaruh rakan juga, keseronokan dan perasaan ingin mencuba merupakan faktor yang menjadi pendorong kepada penagih untuk mengambil dadah.

Menurutnya, AADK kini giat menjalankan operasi menyelamat bagi menjejaki penagih yang tidak menghadirkan diri ke sesi kaunseling dan motivasi bagi menurunkan jumlah penagih dadah dan sekali gus mengurangkan jumlah jenayah jalanan.

“Kita akan menjejaki penagih yang gagal menghadiri sesi kaunseling dengan menghubungi dan menghantar surat. Namun, jika mereka gagal untuk hadirkan diri barulah kita akan jejaki mereka.

“Langkah yang dilaksanakan AADK terhadap penagih dadah ini terutama sekali yang membabitkan golongan yang berhenti menagih adalah berikutan kita tidak mahu mereka terjebak semula dengan penagihan dadah,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Nazer berkata, trend pengambilan dadah sentetik seperti pil juga semakin berleluasa berbanding pengambilan dadah tradisional seperti daun ganja yang sering digunakan penagih sebelum ini.

Menurutnya, selain pengambilan dadah sentetik, aktiviti penagih dadah yang melibatkan penggunaan daun ketum juga berada di tahap yang membimbangkan apabila kandungannya turut dicampur dengan bahan kimia dan racun tikus.

Mohammad Nazer berkata, ibu bapa kini perlu lebih serius dalam mengawasi anak mereka agar tidak terjebak dengan kegiatan yang boleh merosakkan diri ini termasuklah kegiatan menghidu gam.